Categories
AGENDA NASIONAL

CIMB, AirAsia tarik diri sebagai penaja Liga Malaysia 2021

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Dua syarikat swasta iaitu CIMB dan AirAsia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan penajaan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata mereka menghormati keputusan kedua-dua syarikat berkenaan untuk tidak menyambung penajaan namun menegaskan perancangan bagi menghadapi Liga-M 2021 tetap berjalan seperti biasa.

Beliau memaklumkan MFL telah mengadakan pertemuan dengan wakil CIMB beberapa hari lepas berhubung isu penajaan dan mereka masih menunggu surat rasmi daripada bank berkenaan berhubung penamatan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Saya mewakili pihak MFL mahu mengambil kesempatan untuk melahirkan penghargaan kepada setiap penaja ini di atas sumbangan mereka kepada bola sepak negara ketika kita semua berdepan detik sukar dalam pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani mengesahkan syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) terus komited menjadi penaja utama Liga-M 2021 menerusi perjumpaan yang diadakan antara beliau, Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin bersama wakil pengurusan tertinggi TM pada 21 September lalu.

Ab Ghani turut memaklumkan pengeluar minuman isotonik iaitu F&N 100Plus bersetuju meneruskan penajaan dalam bentuk barangan sahaja tanpa melibatkan tajaan secara tunai seperti musim lalu, manakala status Shopee selaku penaja masih berada di peringkat rundingan berdasarkan kehadiran penonton di stadium pada musim 2021.

Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa MFL sedang mengadakan rundingan dengan beberapa penaja baharu yang menyatakan minat untuk menjadi penaja Liga-M musim hadapan.

“Saya mewakili MFL juga sentiasa mendoakan kepada setiap rakan kongsi dan kelab yang bermain dalam Liga-M 2021 akan cekal teruskan perjuangan walaupun terpaksa mengharungi cabaran yang getir demi memajukan liga tempatan,” jelas Ab Ghani.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Edisi kedua e-Piala Malaysia 2020 Ahad ini – MFL

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil inisiatif untuk mengubat kekecewaan peminat bola sepak tanah air dengan mengumumkan edisi kedua kejohanan sukan elektronik (e-sukan) e-Piala Malaysia 2020.

MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran kali ini juga berdasarkan sambutan luar biasa peminat sukan itu dalam edisi pertama kejohanan yang diadakan dari 1 hingga 10 Julai lepas.

“Berikutan pembatalan Piala Malaysia musim ini disebabkan pandemik Covid-19, MFL mengambil peluang ini untuk mengubat kekecewaan penyokong bola sepak tempatan dengan menganjurkan kejohanan e-sukan ini secara dalam talian sambil berharap ia dapat menghidupkan kembali aura Piala Malaysia yang terjejas pada musim ini,” menurut kenyataan itu.

MFL memberitahu edisi kejohanan kali ini akan lebih menarik kerana ia memaparkan format baharu.

“Seramai 256 pemain amatur akan bersaing dalam pertandingan kalah mati untuk merebut slot lapan terbaik, mereka kemudian akan berhadapan dengan lapan lagi pemain daripada edisi sebelum ini pada pusingan akhir untuk meraih gelaran juara e-Piala Malaysia 2020.

“Kesemua 16 pemain akan diberi penghormatan mewakili 16 pasukan yang bersaing dalam Piala Malaysia 2020 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Terengganu FC, Perak, Selangor, UiTM FC, PJ City FC, Pahang, Melaka, Sabah, Felda United FC, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kuching FA, Kelantan dan Kelantan United FC,” menurut kenyataan itu.

MFL menjelaskan format pada pusingan akhir juga secara kalah mati manakala undian perlawanan antara pemain juga akan mengikut format sama seperti Piala Malaysia.

“Dengan sokongan daripada penerbit permain video Fifa, EA Sports untuk kejohanan ini, tidak mustahil pemain amatur di seluruh negara mampu melakar kejutan sekali gus berpeluang menceburi kerjaya yang lebih jauh dalam arena e-sukan,” menurut MFL.

Kejohanan e-Piala Malaysia 2020 akan berlangsung dengan pusingan kelayakan pada 22 November diikuti pusingan akhir dari 1 hingga 4 Disember. Juara kejohanan ini juga akan membawa pulang hadiah bernilai RM5,000.

Semua perlawanan akan disiarkan secara langsung dalam laman Facebook MFL bermula 7.45 malam setiap hari sepanjang kejohanan itu.

Orang ramai dan pemain e-sukan yang berminat menyertai dan inginkan maklumat lanjut tentang kejohanan itu boleh melayari https://bit.ly/ePM20Reg.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan Liga-M boleh adakan aksi persahabatan mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Pasukan Liga Malaysia (Liga-M) kini boleh menilai tahap persediaan masing-masing bagi menghadapi baki saingan liga bermula akhir bulan ini, susulan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pasukan Liga Super dan Liga Premier boleh memulakan aksi pemanas badan sebelum Liga-M bersambung pada 26 Ogos ini selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lepas.

Selepas latihan kontak dibenarkan bermula 15-28 Julai, semua pasukan melalui penilaian MFL dalam tempoh bertenang sehingga semalam, sebagai usaha memastikan tiada individu dijangkiti Covid-19 dan tiada laporan daripada pasukan berhubung adanya gelaja wabak itu dalam kalangan pegawai dan pemain.

“Pasukan hanya dibenar untuk mengadakan perlawanan di antara pasukan Liga Super dan Liga Premier 2020 setelah pegawai dan pemain pasukan tersebut telah menjalani ujian calitan dan disahkan bebas gejala dan mendapat kelulusan MFL atau dengan pasukan yang mereka sudah bertemu di perlawanan peringkat awal sebelum liga ditangguhkan.

“Perlawanan hanya dibenarkan di stadium atau venue perlawanan sahaja, dan gelanggang perlawanan tersebut hendaklah didaftarkan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Stadium tersebut hendaklah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan. Perlawanan itu hendaklah dimainkan tanpa penonton dan hanya pegawai serta pemain pasukan yang berdaftar serta telah menjalani ujian calitan sahaja dibenar berada di dalam stadium atau venue perlawanan,” katanya.

Ab Ghani berkata beberapa pasukan telah menghantar permohonan dan makluman perlawanan persahabatan, termasuk aksi antara Selangor dan Pulau Pinang, Rabu ini.

Sementara itu, mengenai status Kuching FA, beliau berkata pasukan itu berada dalam keadaan terkawal selepas lima pemain mereka didapati positif Covid-19 berpunca daripada kluster Sentosa.

MFL sentiasa memantau keadaan Kuching FA sehingga mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan di Kuching, bagi tujuan kelulusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan, katanya.

“Buat masa ini keputusan (ujian saringan) untuk kelima-lima pemain negatif dan mereka sudah dipindahkan dari hospital ke Kompleks Belia dan Sukan di Kuching. Pihak hospital akan membuat pemantauan dari sana dan mereka akan dikuarantinkan selama 14 hari.

“Bagi pemain yang lain, kesemuanya didapati negatif untuk ujian pertama, dan ujian kedua akan dibuat esok sehingga Khamis depan, dan kesemua pegawai dan pemain akan tamat kuarantin pada 7 Ogos ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya kesemua pasukan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh MFL ketika beraksi di gelangang serta SOP Kementerian Kesihatan ketika berada di luar venue dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL: Liga-M bermula 26 Ogos, semua perlu patuh SOP

SHAH ALAM, 17 JULAI: Saingan Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M) 2020 yang tertangguh sejak 16 Mac lalu disambung semula pada 26 Ogos, kata ketua pegawai eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Datuk Ab Ghani Hassan berkata Ahli Lembaga Pengarah mencapai kata putus mengenainya selepas menilai tempoh persiapan pasukan bertanding bagi memastikan kualiti liga lebih kompetitif.

“Tarikh baharu saingan Liga-M ditetapkan adalah terbaik buat semua pasukan selepas sesi latihan fasa dua dibenarkan kerajaan bermula 15 Julai.

“Beberapa perkara perlu dipatuhi antaranya setiap stadium perlawanan hendaklah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disahkan MFL selain wajib menjalani proses nyahkuman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata MFL mengedarkan tatacara operasi piawai (SOP) perlawanan kepada semua pasukan manakala pegawai perlawanan perlu melakukan pemeriksaan stadium perlawanan.

“MFL turut mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan,” katanya.

Mengulas lanjut Ab Ghani berkata perlawanan Liga Super yang tertunda antara PJ City FC dan Terengganu FC serta Liga Perdana membabitkan UKM FC menentang Kelantan diadakan pada 22 Ogos.

“Selain itu pasukan Liga Super dan Liga Perdana hanya dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos sebaik tamat tempoh bertenang dari 29 Julai hingga 1 Ogos,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL belum putuskan tarikh Liga-M bersambung

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Tarikh rasmi untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 disambung semula akan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas menerima laporan penuh tahap kebersediaan daripada Sekretariat MFL dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata pelbagai faktor perlu dipertimbangkan dalam menyambung kembali saingan liga yang tertangguh sejak 16 Mac lepas demi memastikan saingan lebih kompetitif dan berkualiti.

Katanya, MFL mengambil kira kebimbangan pasukan mengenai risiko kecederaan yang mungkin dihadapi pemain sekiranya pasukan tidak memiliki waktu secukupnya untuk mempersiapkan pasukan ke tahap fizikal terbaik.

“Selain itu pasukan harus membuat persiapan rapi bagi venue yang bakal digunakan terutamanya dari aspek kawalan keselamatan dan kesihatan seperti proses pembasmian kuman dan nyahcemar venue perlawanan.

“Semua pasukan turut digesa untuk menjalankan proses penyelenggaraan dan baik pulih padang perlawanan bagi mengelakkan sebarang perkara yang boleh memberi kesan kepada kelancaran penganjuran perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MFL sebelum ini merancang meneruskan kembali saingan Liga Super dan Liga Premier yang terjejas susulan pandemik Covid-19 masing-masing pada 1 dan 2 Sept berdasarkan format baharu yang dijalankan secara separuh liga manakala Piala Malaysia akan berlangsung pada 17 Oktober sehingga 7 November.

Sementara saingan Piala FA dan Piala Cabaran, yang juga sebahagian daripada pertandingan dalam Liga-M 2020, dibatalkan.

MFL juga akan mempertimbang untuk memberi kebenaran bagi pasukan mengadakan siri perlawanan persahabatan sebelum kempen liga bersambung, namun tumpuan kini adalah kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam Fasa 2 latihan berpasukan.

Justeru, Ab Ghani mengingatkan setiap pasukan untuk terus mematuhi SOP sepanjang Fasa 2 latihan berpasukan yang bermula Rabu depan bagi memastikan kelancaran usaha menyambung semula saingan liga.

“MFL berharap serta memohon supaya semua pasukan mengekalkan disiplin serta komitmen yang tinggi dengan mematuhi garis panduan serta mengutamakan keselamatan dan kesihatan pegawai dan pemain pasukan sepanjang tempoh Fasa 2 latihan berpasukan,” katanya.

Dalam pada itu, MFL berterima kasih kepada kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementeria Belia dan Sukan (KBS) atas bantuan serta sokongan terhadap usaha MFL merealisasikan impian setiap pasukan menjalani latihan berkontak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL rancang sambung Liga-M 2020 pada September

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merancang untuk meneruskan kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 mulai 1 September dengan semua pasukan bertanding dibenar kembali menjalani sesi latihan pada Ogos.

Perancangan itu dibuat selepas kerajaan tidak meluluskan permohonan MFL untuk menyambung semula saingan pada Ogos dan sesi latihan dijalankan pada Julai, seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menurut kenyataan MFL, saingan Liga Super dan Perdana yang bermula September depan adalah berdasarkan format baharu yang dijalankan secara separuh liga, manakala kempen Piala Malaysia bermula 17 September dirombak dengan tiada saingan peringkat kumpulan, sebaliknya saingan 16 pasukan berlangsung secara kalah mati satu pusingan.

Bagi kempen Piala FA dan Piala Cabaran pula, saingan dibatalkan.

“Perubahan kalendar Liga-M 2020 dibuat dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, sebagai rujukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL dalam menyusun perjalanan liga musim 2020,” menurut kenyatan itu.

Menerusi format baharu itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang sudah ditetapkan.

Saingan Piala Malaysia pula menyaksikan 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Perdana diundi bagi menentukan perlawanan awal serta pasukan tuan rumah.

MFL mengingatkan semua pasukan perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) latihan dan perlawanan Liga-M yang dikeluarkan FAM dan MFL berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta garis panduan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam pada itu, MFL mengesahkan Liga-M 2020 akan dibatalkan tanpa mana-mana pasukan dinobatkan sebagai juara sekiranya MKN, KKM dan KBS tidak membenarkan saingan itu disambung sehingga September depan.

Sekiranya ia berlaku, juara Liga Super 2019 akan mendapat slot automatik ke Liga Juara-juara Asia (ACL) 2021 manakala naib juara Liga Super 2019 dan juara Piala FA 2019 akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan menegaskan bahawa pelan perancangan itu akan dikaji semula pada Jun depan berdasarkan perkembangan semasa wabak Covid-19.

“Kami memantau situasi semasa isu wabak Covid-19 dan akan mengemukakan permohonan semula mengenai perancangan jadual Liga Malaysia 2020 berdasarkan arahan terbaharu MKN, KKM dan KBS pada Jun nanti.

“Pihak MFL juga menitikberatkan soal keselamatan semua pihak yang terlibat, dengan SOP perlawanan lebih ketat mengikut saranan MKN, KKM dan KBS, andai Liga Malaysia musim 2020 dapat diteruskan seperti yang dirancangkan itu,” katanya.

Ab Ghani berkata perancangan baharu kalendar Liga-M turut mengambil kira faktor penundaan tarikh Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, ACL 2020 melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan tarikh baharu kejohanan Piala AFF 2020 yang dijangka pada 21 November hingga 15 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

MFL sedia pilihan teruskan Liga Malaysia

SHAH ALAM, 5 APRIL: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersedia dengan beberapa pilihan bagi meneruskan kalendar bola sepak tempatan pada musim ini jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Datuk Ab Ghani Hassan berkata keputusan itu turut bergantung dengan arahan kerajaan mengenai tempoh akhir PKP serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Segala persiapan dan perancangan MFL melibatkan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA, Challenge Cup, TM Piala Malaysia serta saingan liga amatur M3 kelolaan Amateur Football League (AFL).

“Namun begitu segala keputusan ini masih tertakluk kepada arahan kerajaan berhubung status PKP berakhir dan sebaik tempoh akhir PKP diumumkan, MFL akan memaklumkan lebih terperinci berhubung format digunapakai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata MFL akan menunggu terlebih dahulu garis panduan terperinci KKM yang menyarankan masyarakat tidak menyertai sebarang perhimpunan bagi tempoh enam bulan hingga setahun selepas tempoh PKP berakhir.

Pelaksanaan PKP dijadualkan sehingga 14 April ini mempengaruhi perjalanan baki saingan Liga Malaysia 2020 termasuk saingan Liga M3 yang sudah ditangguhkan bermula 16 Mac akibat penularan wabak Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

MFL: Tiada agihan baki hak penyiaran Liga-M 2019

PETALING JAYA, 14 DIS: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini memuktamadkan ketiadaan pengagihan baki hak penyiaran Liga Malaysia 2019 kepada pasukan Liga Super dan Liga Premier.

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, MFL tidak meraih pendapatan hak penyiaran seperti dirancang untuk diagihkan sejumlah RM3 juta dan RM1 juta masing-masing kepada 12 pasukan Liga Super dan 11 pasukan Liga Premier.

Jelas Hamidin, berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A, jumlah agihan kepada pasukan akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL jika pendapatan hak penyiaran dan komersial adalah kurang daripada RM18 juta.

“Liga Malaysia musim 2019 berjalan tanpa penaja utama hak penyiaran. Meskipun tanpa penajaan ini, MFL tetap menguruskan operasi Liga Malaysia dengan baik apabila semua pertandingan iaitu Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup berjaya dianjurkan.

“Jika pendapatan untuk diedarkan kepada pasukan adalah kurang daripada RM18 juta, maka jumlah yang akan diedarkan kepada pasukan akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Rakan Kongsi Luar Biasa MFL di sini, hari ini.

Bagaimanapun, biarpun berdepan kekangan ketiadaan penaja utama, MFL selaku pengendali Liga-M tetap menunaikan tanggungjawab dengan mengagihkan separuh daripada jumlah hak penyiaran dan komersial seperti dijanjikan pada 15 Julai lepas.

Pasukan Liga Super menerima RM1.5 juta sementara RM500,000 disalurkan kepada pasukan Liga Premier.

“MFL tetap memastikan agihan hak pendapatan kepada pasukan pada 15 Julai lepas dan MFL percaya bahawa mereka (pasukan) memahami situasi yang berlaku yang mana tiada penaja utama hak penyiaran pada musim 2019,” katanya.

Pada masa sama, Hamidin mejelaskan, MFL akan membuat bayaran pendapatan untuk musim 2020 berdasarkan pendapatan penajaan diraih dan pengagihan itu bakal dilaksanakan mengikut Perlembagaan MFL.

Dalam pada itu, 24 rakan kongsi MFL bersetuju untuk meminda Artikel 16.1, Perlembagaan MFL berkenaan komposisi Ahli Lembaga Pengarah MFL yang mana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tidak lagi berada dalam Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Pindaan ini dibuat bagi menyelaraskan kedudukan CEO MFL sama seperti kedudukan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak berada dalam senarai barisan Exco FAM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

MFL harap tiada pertikaian pengadil Jepun adili final Piala FA 2019

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berharap tiada pihak akan mempertikai kelayakan tiga pengadil dari Jepun, yang bakal mengadili pentas final Piala FA 2019 antara dua pasukan gergasi Utara, Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menjalankan tanggungjawab dengan baik, dalam proses pemilihan pengadil demi memastikan saingan berprestij itu mencapai tahap terbaik penganjurannya.

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Kedua Perlawanan Akhir Piala FA hari ini turut percaya Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang sememangnya terkenal dengan kredibiliti yang tinggi, sudah pasti akan menghantar barisan pengadil berkualiti.

“Untuk bercakap soal kelayakan seseorang pengadil itu bukan tugas MFL dan sehingga PMOM (Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia) berjalan saya tidak boleh komen mengenai pelantikan seseorang pengadil itu kerana saya sendiri bukan penilai pengadil.

“Bagi saya jika mereka (pengadil Jepun) sudah diberi mandat untuk adili final, maka kelayakan mereka sudah tentu ada pada satu tahap yang baik. JFA sudah tentu tidak akan menghantar pegawai perlawanan yang tidak akan membawa nama baik Jepun ke sini. Saya pasti semua akan berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat di sini, hari ini.

Sebagai rekod, FAM sebelum ini menghantar permohonan kepada tiga negara – Thailand, Australia dan Jepun untuk mendapatkan khidmat pengadil bagi perlawanan akhir Piala FA 2019 dan hanya Australia dan Jepun memberi maklum balas positif.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan mengakui pihaknya mengalu-alukan kehadiran pengadil dari Jepun kali ini.

“Perak tiada masalah siapa juga pengadil kerana FAM lebih arif dalam pemilihan pengadil, kita selaku pasukan akur asalkan perlawanan berjalan dengan baik jadi tidak perlu kita pertikaikan,” katanya.

Turut senada adalah Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin yang percaya pendekatan FAM dan MFL itu seharusnya dipandang daripada sudut positif.

“Kami menyambut positif dengan lantikan pengadil berkecuali tetapi tidak menidakkan kemampuan pengadil tempatan. Mungkin aksi penting ini langkah terbaiknya adalah menggunakan khidmat pengadil asing,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Kevin turut mengesahkan keadaan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan Sabtu ini. – BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Penstrukturan semula hak penyiaran beri manfaat kelab kecil

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi jaminan bahawa kelab kecil akan turut menerima manfaat menerusi struktur baharu hak penyiaran yang berkuat kuasa musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata kelab-kelab kecil yang tidak memiliki kelompok penyokong besar, tidak akan ketinggalan jauh dari segi pendapatan dengan pasukan berstatus gergasi tanah air.

“Tidak ada. Misalnya satu kelab yang besar itu mungkin mendapat sebahagian daripada sumbangan penyokong mereka yang menyumbang terus kepada kelab manakala sebahagian lagi sumbangan akan dikongsikan kepada semua pasukan (yang bertanding di Liga Malaysia).

“Jadi jika kelab-kelab besar lebih berjaya, kelab kecil juga akan mendapat imbuhannya. Itu adalah kebaikan ‘centralize marketing’ program yang MFL lakukan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Pada masa sama, Kevin percaya pendekatan baharu ini bukan sahaja memberi manfaat kepada bola sepak tempatan, tetapi ia turut memberi impak kepada sukan-sukan lain menerusi platform penstrukturan baharu hak penyiaran.

“MFL akan cuba sedaya upaya untuk menjadi peneraju dalam industri sukan tempatan kita ini.

“MFL turut berharap model yang digunakan ini untuk mengagihkan hak-hak siaran terus kepada penyokong dan penonton akan menjadi satu dorongan yang bagus untuk kemajuan bola sepak dan sukan lain di Malaysia,” katanya.

MFL pada Khamis mengumumkan kemasukan rakan kongsi baharu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020.

Menerusi penstrukturan semula, Liga Malaysia bakal menyaksikan hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

MFL bawa perubahan positif Liga Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Pelbagai perubahan positif dapat dilihat dalam saingan Liga Malaysia sejak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dilantik sebagai pentadbir liga bola sepak utama di negara ini sejak empat tahun lepas.

Bekas ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, antara perubahan ketara adalah kejayaan pasukan bertanding meraih hak penyiaran sebagaimana yang diperjuangkan tokoh bola sepak negara yang juga merupakan bekas pengurus pasukan Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

“Dalam kebanyakan organisasi di dunia, (perbandingan) kebaikan dan kelemahan adalah satu perkara tidak dapat dielakkan. Ia adalah lumrah semula jadi apabila ada seseorang cuba memberikan perbandingan.

“Namun jika ada seseorang mengatakan tiada langsung perubahan bagus kepada Liga Malaysia selepas MFL mengambil alih, saya memberikan nada sebaliknya kerana saya melihat banyak kebaikan yang telah berlaku,” jelas Mohd Azraai yang dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Dr. Zulakbal Abd. Karim baru-baru ini yang meragui kemampuan MFL menguruskan Liga Malaysia dalam tempoh empat tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd Azraai, yang berpengalaman luas mengendalikan beberapa pasukan tempatan, berharap agar semua pihak memberi kerjasama erat kepada MFL dalam usaha menjadikan Liga Malaysia lebih dikenali dan mendapat nama di pentas antarabangsa.

“Masih ada kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki. Cuma nasihat saya MFL harus lebih tegas dan konsisten dalam setiap kali melakukan keputusan atau sebagainya.

“Ini kerana MFL sebagai pentadbir liga bola sepak negara harus memiliki pendirian dan mereka tidak perlu takut kerana matlamat MFL mahu memberikan kualiti lagi kepada Liga Malaysia,” jelas Mohd Azraai.

— BERNAMA

 

Categories
SUKANKINI

Langgar kontrak: MFL saman TM

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil tindakan undang-undang terhadap Telekom Malaysia (TM) dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pelanggaran kontrak penajaan.

MFL dalam kenyataan memaklumkan syarikat telekomunikasi itu gagal membuat pembayaran hak penajaan dan penyiaran untuk Liga Malaysia 2019.

MFL turut memaklumkan tindakan undang-undang berkenaan diambil terhadap TM demi melindungi kepentingan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

“Jumlah dituntut terhadap TM di bawah kontrak penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga disampaikan kepada peguam cara TM pada hari ini.

“Memandangkan perkara ini dirujuk kepada proses undang-undang, kami tidak akan memberi sebarang komen lanjut terhadap perkara ini dan menyerahkan pertikaian ini untuk diputuskan di mahkamah,” jelas MFL.

Kedua-dua pihak dilaporkan menandatangani perjanjian untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025.

TM, bagaimanapun didakwa mencadangkan terma-terma baharu termasuk perubahan kepada terma asas yang dipersetujui bersama sehingga wujud perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak.

Untuk rekod, MFL pada 15 Mac lalu, dilaporkan mengambil keputusan menamatkan kontrak penajaan bersama TM, selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah di Johor Bahru.

– BERNAMA