Categories
SELANGOR

Rakyat tertekan ekoran harga barang dan kos sara hidup meningkat

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 8 JAN: Kemelut kenaikan beberapa harga barangan keperluan harian mendapat bantahan pelbagai pihak kerana ternyata sangat membebankan terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

Tidak cukup dengan itu, rakyat terus menerima tekanan apabila kerajaan pusat bertindak mengumumkan pelbagai kenaikan lain seperti tarif elektrik, cukai pintu dan tol.

Tinjauan Selangor Kini di sekitar Shah Alam mendapati majoriti orang ramai yang ditemui mengakui kenaikan harga barangan secara mendadak memberi impak besar terhadap kehidupan seharian mereka, terutama apabila perbelanjaan kini melebihi pendapatan.

NUR SHAHIDA AHMAD Kakitangan awam, Nur Shahida Ahmad, 27, berkata sebahagian besar gaji yang diperoleh setiap bulan akan dibelanjakan untuk membeli barang keperluan harian seperti barang dapur dan membayar sewa rumah.

Katanya, walaupun pendapatan isi rumah bersama suami mencecah RM4000 sebulan, namun kos kehidupan yang tinggi di kawasan bandar tidak menjamin seseorang itu dapat hidup selesa.

“Gaji kakitangan awam tidak seberapa, bahkan kenaikan tahunan juga tidak begitu tinggi. Tambahan pula hidup dalam kawasan bandar, kalau gaji seseorang itu RM2000 sebulan belum tentu mencukupi.

“Apabila harga barang naik, kita terpaksa atur semula kewangan supaya perbelanjaan bulanan tidak melebihi pendapatan. Kini, selepas harga petrol naik, kos perjalanan juga meningkat,” katanya.

ABDUL KAMAL SUDIN 56Abdullah Kamal Sudin, 55, yang berpendapatan kira-kira RM1000 sebulan turut mengalami masalah sama hampir setiap bulan untuk menyara isteri dan tiga orang anak yang masih bersekolah.

Beliau yang berkhidmat sebagai pekerja am berkata, dalam sebulan perlu mengagihkan pendapatan untuk membayar bil elektrik, barangan dapur dan keperluan sekolah anak.

“Dengan gaji sebegini sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung keperluan saya sekeluarga,bahkan semakin terbeban apabila kerajaan mengumumkan pelbagai kenaikan pada tahun ini.

“Kerajaan harus mengawal harga barangan, bukan sesuka hati menaikkanya kerana hanya menekan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah seperti saya,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Miskina Abdullah, 63, mengakui pendapatan hariannya kian merosot kerana pembeli kini lebih berhati-hati dalam membeli barangan.

Katanya, keadaan itu berlaku selepas kerajaan bertindak mengumumkan pelbagai kenaikan mulai tahun lalu.

MISKINA ABDULLAH“Saya akui bila harga barang naik, perniagaan kian merosot kerana orang ramai tidak mahu lagi berbelanja untuk membeli barangan. Mereka lebih berhati-hati kerana tidak mahu berbelanja lebih.

“Kalau dulu pendapatan harian boleh mencecah sehingga RM700, kini merosot hingga RM300 sahaja. Perbezaan itu amat ketara tetapi terpaksa juga dihadapi,” katanya.

Sejak kenaikan harga petrol dan diesel, pemilik kenderaan yang hanya membayar RM1.85 seliter untuk petrol RON95 dan RM2.10 seliter bagi RON97, kini membayar masing-masing RM1.90 dan RM2.50, bermula Julai lalu.

Pada masa sama, harga sayur, ayam, ikan dan hampir semua barang keperluan juga turut dinaikkan, anakala cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula akan diperkenalkan kerajaan dengan kadar permulaan sebanyak 6 peratus, bermula 1 April 2015.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Barang naik : BN memangsakan rakyat, tingkat kemalangan dan jenayah

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Impak inflasi bukan sahaja membabitkan aspek kewangan tetapi kesan sosial ke atas keutuhan kekeluargaan apabila ibu bapa mula membuat pelbagai kerja tambahan yang akan menjejas pelbagai aspek keharmonian keluarga.

“Ini sudah pasti. Apa lagi? Ada lagi dan yang ini tentunya menyayat hati,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad yang dipetik daripada Harakahdaily.

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01Beliau berkata, mengikut kajian sebuah badan penyelidikan (International Association of Traffic and Services) setiap kali bahan bakar iaitu petrol dan diesel naik dan inflasi tercetus, maka golongan berpendapatan rendah akan merubah cara hidup mereka.

“Menteri Barisan Nasional (BN) tidak perlu suruh rakyat ikat perut atau suruh ambil jalan alternatif kalau tidak bayar kenaikan tol sebab mereka memang tahu sangat untuk ‘survive’,” katanya.

Katanya, hanya menteri yang boleh hidup mewah membeli-belah di Harold, London dan bandar besar dunia ketika cuti krismas dan Tahun Baru, tetapi rakyat sudah mula mengikat perut serta bergelut untuk menyiapkan anak yang bakal memulakan sesi persekolahan.

Dzulkefly berkata, apabila rakyat bertukar daripada kereta Kancil dan Proton Saga kepada menunggang motosikal untuk ke pejabat, maka dapatan kajian membuktikan kadar kemalangan meningkat.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara punyai risiko kematian jalan raya tertinggi di dunia, yang mana penunggang motosikal terdedah tiga kali ganda risiko kemalangan berbanding menaiki kereta.

“Dengan kenaikan kos saraan hidup ini atau inflasi barang naik, rakyat Malaysia berdepan dengan kemalangan maut. Apakah kerajaan BN sedar akibat perbuatan mereka menaikkan secara mendadak ini? BN memangsakan rakyat,” katanya.

Katanya, satu dapatan kajian sekumpulan penyelidik Universiti Saians Malaysia (USM) juga menemui hubungan faktor inflasi dan kadar jenayah, pada 2009.

“Sayugia dingatkan kerajaan Najib dengan NKRA jenayah serta KPInya pasti akan tercalar apabila rakyat lebih mudah menukar kerjaya mereka atau menambah pendapatan dengan meragut, mencuri dan merompak. Dapatan menemui hakikat bahawa ketika dalam tekanan kos sara hidup yang tinggi iaitu inflasi akan turut meningkatkan kadar jenayah.

“Rakyat juga diheret ke kancah jenayah atau menjadi mangsa jenayah. Pencetusnya siapa?,” katanya.