Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ulas buku kegemaran papar liku hidup, ajak rakyat membaca

SHAH ALAM, 23 APRIL: Dato’ Menteri Besar memilih buku bertajuk ‘Mass’ berkisar perjuangan idealisme dalam kehidupan untuk mengisi masa senggang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata karya novelis terkenal Filipina F.Sionil Jose menceritakan liku kehidupan, resah dan gelisah rakyat serta menggambarkan perbezaan darjat.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengulas antara buku kegemarannya di Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor pada 23 April 2020

“Melalui karya ini, perkara penting perlu dikekalkan ialah idealisme, citra sempurna supaya diletakkan di atas dan terus kekal berprinsip,” katanya ketika sesi ulasan buku secara langsung melalui Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Ulasan tersebut sempena Program Jom Baca Bersama sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang dilancarkan di seluruh negara hari ini.

Amirudin berkata watak utama iaitu Samson bertarung dalam kehidupan, namun dikurniakan bakat serta kepintaran untuk melawan pemerintah zalim.

“Sebenarnya dia (Samson) sendiri terlibat dengan pengedaran dadah terbesar di Filipina, jadi dirinya bertarung antara prinsip dan idealisme.

“Saya akui pengaruh nasionalisme kiri agak tebal dalam buku ini, ia karya menarik untuk kita berkongsi pengalaman. Teruskan membaca dan jadikannya sebagai amalan kehidupan,” katanya.

Mass yang diterbitkan pada 1973 ialah novel sejarah dan politik dengan latar belakang masyarakat di Filipina.

F. Sionil José pernah menerima anugerah The 1980 Ramon Magsaysay bagi kategori kewartawanan, sastera dan seni komunikasi kreatif dan Anugerah Artis Kebangsaan untuk Sastera pada 2001.