Categories
AGENDA NASIONAL

Puluhan tan metrik terjual, Harumanis laku keras dalam talian

PADANG BESAR, 3 M MEI: Larangan merentas negeri akibat penularan wabak Covid-19 tidak menjejaskan penjualan mangga Harumanis, apabila ia ‘laku keras’ dijual menerusi platform dalam talian.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis Mohamad Paisal Amri berkata, dari awal musim sehingga kini, pihaknya berjaya menjual sebanyak 20 tan metrik Harumanis ke seluruh negara.

“Permintaan Harumanis pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya, apabila kita mendapat pasaran baharu ke Sabah menerusi penglibatan pihak swasta, bagi merancakkan lagi penjualan Harumanis secara e-dagang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Paisal berkata FAMA akan sentiasa membantu pengusaha bagi meningkatkan hasil jualan mereka dari semasa ke semasa.

“Kita galakan pengusaha agar memberi tumpuan kepada jualan secara dalam talian, kerana ia pilihan terbaik ketika ini dikala negara dilanda wabak Covid-19,” katanya.

Seorang pengusaha Harumanis Aziz Itam, 61, berkata penjualan Harumanis secara dalam talian amat menggalakkan berbanding tahun lepas, namun hasil jualan secara bersemuka agak merosot akibat larangan merentas negeri.

“Perkhidmatan kurier tahun ini sangat baik, apabila buah yang dihantar sampai kepada pembeli dalam masa kurang dari tiga hari dan mendapat ‘sambutan’ positif,” katanya.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, beliau menjual sebanyak 150 sehingga 200 kilogram dalam masa seminggu, dan hampir satu tan matrik sepanjang bulan Ramadan.

“Anak-anak banyak membantu saya dalam melakukan jualan secara dalam talian menerusi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp, dan rata-rata pembeli adalah dari Kuala Lumpur, Pahang dan Johor,” katanya.

Nada berbeza diberikan oleh Che Rus Man, 57, yang berkata permintaan Harumanis pada tahun ini agak merosot daripada tahun sebelumnya.

“Tempoh matang buah untuk dituai yang tidak sekata menyebabkan pakcik menghadapi kesukaran dalam memasarkan buah kepada pemborong, menyebabkan hasil jualan tahun ini agak merosot,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

Kulit harumanis baik untuk kecantikan

KANGAR, 26 JUN: Jika mangga harumanis sangat digemari kerana keenakan isinya, kini kulitnya pula didapati mempunyai khasiat tersendiri dan sesuai dijadikan sabun kecantikan.

Sekumpulan pelajar tahun akhir program Kosmetologi Kolej Vokasional (KV) Kangar di sini, berjaya menghasilkan sabun kecantikan berasaskan kulit buah mangga yang menjadi ikon Perlis itu.

Ketua Jabatan Hospitaliti dan Pelancongan KV Kangar, Yushartini Md Yusof berkata kolej itu bekerjasama dengan Kedah BioResources Corporation Sdn Bhd (KBioCorp) di Kulim, Kedah, membuat kajian kulit harumanis sebelum diinovasikan menjadi sabun.

“Usaha pelajar ini buat julung kali berhasil mencipta produk berasaskan harumanis yang mendapat permintaan tinggi sejak diperkenalkan pertengahan tahun lepas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di bengkel Kosmetologi KV Kangar di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata nama komersial atau saintifik produk itu adalah sabun mangifera dan pihaknya merancang menambah pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Anugerah projek terbaik

Yushartini berkata idea asal hanyalah sebagai projek tahun akhir pelajar berkenaan untuk menghasilkan produk yang boleh dipasarkan melalui koperasi-koperasi sekolah dan jualan dalam talian.

“Namun inovasi yang dibuat dengan menggunakan sabun asas, multivitamin tambahan, minyak terapi dan pewangi khas tanpa bahan kimia untuk mengeluarkan aroma asli harumanis diterima baik oleh pengguna,” tambahnya.

Beliau berkata projek itu berjaya merangkul johan pertandingan Young Entrepreneurs Strive for Success (YESS) pada Ogos 2018 yang melayakkan mereka menyertai Konvensyen YESS peringkat kebangsaan pada September tahun sama dan memenangi anugerah projek terbaik.

Bercerita lanjut, katanya, kajian dijalankan sejak awal 2018 di mana ujian pH (ukuran keasidan atau kealkalian sesuatu larutan) sahaja dilakukan beberapa kali termasuk yang dijalankan bersama KBioCorp.

Sementara itu penolong pengurus KBioCorp, Ahmad Suhaimi Jamaludin berkata, sebenarnya beliau dipanggil oleh KV Kangar untuk memberi pendedahan mengenai kaedah penghasilan produk sabun kepada para pelajar di situ.

“Ketika mengajar itulah tercetus idea mereka mengenai penggunaan produk sampingan harumanis memandangkan Perlis memang sinonim dengan mangga itu.

“Kredit hendaklah diberikan kepada KV Kangar. Saya hanya pembuka jalan. Saya hanya bimbing mereka mengenai teknik untuk hasilkan pati kulit harumanis,” katanya yang juga merupakan ketua unit Herbal Processing Pilot Plant KBioCorp ketika dihubungi Bernama.

Kulit harumanis percuma

Menurut Yushartini, projek itu tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan kulit harumanis kerana dibekalkan secara percuma oleh dua orang guru program Kosmetologi KV Kangar yang mempunyai ladang harumanis.

Selain musim harumanis berbuah iaitu dari April hingga Jun setiap tahun, bagi memastikan bekalan tidak putus, kulit harumanis dijemur hingga kering supaya tahan lama.

Pada masa ini sabun mangifera dihasilkan secara manual dan projek itu beroperasi di bengkel kolej berkenaan. Sebuku sabun itu seberat 58 gram dijual pada harga RM8.90.

Beliau yang berharap pelajar berkenaan akan menjadi usahawan dan menjana pendapatan dari rumah setelah tamat pengajian kelak, juga bercadang selepas ini untuk menghasilkan sabun cecair harumanis sebagai projek pelajar tahun akhir.