Categories
AGENDA SELANGOR

Sambut baik rancangan pembangunan ekonomi di Sabak Bernam

SHAH ALAM, 30 NOV: Ketua Pembangkang menyambut baik pengumuman Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengenai rancangan pembangunan ekonomi di Sabak Bernam.

Bagaimanapun, Datuk Rizam Ismail berharap Kerajaan Negeri dapat menyelenggara aset-aset sedia ada di daerah berkenaan yang didakwa tidak dijaga dengan baik.

“Realitinya di Sabak Bernam bukan semata-mata soal pembangunan tetapi yang perlu dilihat adalah kecekapan dalam menguruskan projek pembangunan dan menyelia aset negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Wakil rakyat Sungai Air Tawar itu turut mengalu-alukan projek-projek pembangunan di daerah berkenaan antaranya Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan melibatkan pelaburan sekitar RM500 juta.

“Saya diberitahu tentang Hay Resort di Sabak Bernam yang tidak terurus dan hampir reput. Belanjawan kali ini ada diumumkan peruntukan RM20 juta untuk baik pulih untuk dijadikannya sebagai hotel lima bintang.

“Jika benar apa yang dikata, syukur Alhamdulillah dan terima kasih,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hay Resort Sabak Bernam bakal jadi hotel lima bintang

SHAH ALAM, 18 NOV: Hay Resort di Sabak Bernam akan dinaik taraf kepada hotel lima bintang sekali gus menjadi tarikan pengunjung ke daerah itu.

EXCO infrastruktur berkata proses berkenaan dikendalikan syarikat terkemuka yang mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan industri pelancongan.

“Perbincangan bersama pelabur sudah selesai termasuk design (reka bentuk bangunan), pool (kolam renang). Pelabur itu akan jadikan Hay Resort kembali menarik.

“Tunggu pengumuman lanjut dari Dato’ Menteri Besar,” kata Ir Izham Hashim selepas meninjau rumah pam di pintu air Taman Sri Muda, Seksyen 25 semalam.

Beliau berkata pelaburan itu memberi pulangan memandangkan tiada kemudahan hotel sepanjang laluan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) antara Banting ke Taiping, Perak.

“Hotel cantik hanya ada di Shah Alam. Di Kuala Selangor, Klang ada hotel bajet sahaja,” katanya.

Ketika perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada Ogos, ketua pembangkang menggesa Kerajaan Selangor membaik pulih bangunan resort itu menjadi pusat kuarantin dan isolasi pesakit Covid-19 selain tujuan yang lebih bermanfaat.

 

Hay Resort Sabak Bernam yang dirakam pada 2014. Foto Facebook Hay Resort Sabak Bernam