Categories
AGENDA SELANGOR

Sambut baik rancangan pembangunan ekonomi di Sabak Bernam

SHAH ALAM, 30 NOV: Ketua Pembangkang menyambut baik pengumuman Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengenai rancangan pembangunan ekonomi di Sabak Bernam.

Bagaimanapun, Datuk Rizam Ismail berharap Kerajaan Negeri dapat menyelenggara aset-aset sedia ada di daerah berkenaan yang didakwa tidak dijaga dengan baik.

“Realitinya di Sabak Bernam bukan semata-mata soal pembangunan tetapi yang perlu dilihat adalah kecekapan dalam menguruskan projek pembangunan dan menyelia aset negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Wakil rakyat Sungai Air Tawar itu turut mengalu-alukan projek-projek pembangunan di daerah berkenaan antaranya Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan melibatkan pelaburan sekitar RM500 juta.

“Saya diberitahu tentang Hay Resort di Sabak Bernam yang tidak terurus dan hampir reput. Belanjawan kali ini ada diumumkan peruntukan RM20 juta untuk baik pulih untuk dijadikannya sebagai hotel lima bintang.

“Jika benar apa yang dikata, syukur Alhamdulillah dan terima kasih,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Negeri, pusat perlu teruskan kerjasama tangani wabak demi rakyat

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerjasama Kerajaan Selangor dan persekutuan bagi menangani pandemik Covid-19 perlu diteruskan demi keselamatan rakyat, kata ketua pembangkang.

Datuk Rizam Ismail berkata meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpengalaman luas mendepani wabak, namun agensi negeri dan wakil rakyat lebih mahir mengurus kebajikan rakyat.

“Dalam keadaan sekarang kerajaan persekutuan atau Selangor tidak boleh bergerak sendiri menyelesaikan masalah tanpa penglibatan wakil rakyat atau pemimpin setempat.

“Apa yang dapat saya simpulkan kegagalan melawan Covid-19 disebabkan tiada keseragaman gerak kerja atau kebersamaan KKM, negeri dan pemimpin daerah mengurus pandemik,” katanya pada ucapan perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau juga kesal data pesakit Covid-19 dan penerima vaksin oleh KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor tidak digunakan sebaiknya selain tidak dikongsi dengan negeri.

Selain itu, Rizam yang juga wakil rakyat Sungai Air Tawar berkata kerjasama kelompok perlu dititikberatkan supaya perancangan dibuat sebaiknya sekali gus mencapai imuniti kelompok.

“Saya kira Kerajaan Negeri memberikan pelbagai idea mengatasi masalah ini. Pelbagai inisiatif serta bantuan diberi bagi memastikan rakyat boleh meneruskan hidup seperti biasa,” katanya.

Pada 15 Jun, Kerajaan Selangor dan persekutuan bersepakat sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya September.

Sebelum ini, hanya 43,000 orang disuntik setiap hari di negeri ini tetapi pelbagai langkah baharu diambil dalam mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 bagi meningkatkan suntikan vaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua pembangkang Selangor desak PM letak jawatan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Ketua pembangkang Selangor menyeru perdana menteri meletak jawatan berikutan Yang di-Pertuan Agong menzahir rasa “amat dukacita” atas pembatalan Ordinan Darurat tanpa sebarang perbahasan di Parlimen.

Rizam Ismail menegaskan kenyataan Istana Negara jelas menyebut kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin “dengan sengaja telah ingkar dan melanggar titah”.

“Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong…jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Rizam juga menyifatkan Muhyiddin melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga ketua Pemuda Umno Selangor menegaskan pandangan mereka selari dengan Pemuda Umno Malaysia.

“…desakan pemecatan perdana menteri ini harus dilakukan demi mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Malaysia dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Pada 29 Julai, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa “amat dukacita” dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua pembangkang Selangor akui dana tambahan langkaui perbezaan politik

SHAH ALAM, 26 JUN: Lebih ramai golongan terjejas dapat dibantu menerusi peruntukan tambahan RM50,000 kepada wakil rakyat termasuk pembangkang di negeri ini.

Ketua pembangkang juga menganggap pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari dalam Pakej Kita Selangor 2.0 membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat melangkaui politik kepartian.

“Diharapkan kerjasama ini diteruskan pada masa depan dan bukti Kerajaan Selangor boleh bekerjasama tanpa mengira fahaman politik demi kebaikan rakyat dalam mendepani wabak,” katanya Datuk Rizam Ismail.

Selain itu, beliau juga mencadangkan Kerajaan Negeri menyediakan saluran TV Pendidikan bagi membantu pelajar kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengikuti pembelajaran di rumah.

“Sebaik-baiknya Kerajaan Negeri buat juga TV Pendidikan untuk anak-anak Selangor di sekolah bawah Jais supaya mereka boleh menontonnya di rumah,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tawar.

Beliau turut mencadangkan pemberian bantuan sekali bayar RM1,000 kepada golongan terjejas antaranya mereka yang hilang pekerjaan dan penghidap penyakit kronik.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentang Amirudin pada 9 Jun lalu, peruntukan program Mesra Rakyat kepada semua 56 wakil rakyat termasuk pembangkang ditingkat kepada RM100,000.

Kerajaan Negeri atas semangat ‘Kita Selangor’ juga setuju memberi peruntukan tambahan RM50,000 untuk program tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM3.28 juta

Categories
AGENSI SELANGOR

Yayasan Selangor tuntut Rizam Ismail mohon maaf

SHAH ALAM, 15 JULAI: Yayasan Selangor membantah sekeras-kerasnya tuduhan dan menuntut permohonan maaf daripada Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berhubung kenyataan penjualan aset yang dibuat di Dewan Negeri Selangor semalam.

Agensi memaklumkan kenyataan itu didakwa berbentuk fitnah yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik Yayasan Selangor termasuk pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pemegang amanah.

“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian dalam tempoh terdekat, Yayasan Selangor akan mengambil tindakan yang sewajarnya, termasuklah tindakan perundangan bagi menjaga nama baik, reputasi dan imej Yayasan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya memaklumkan pelupusan aset dikenal pasti sebagai langkah terbaik demi kelangsungan dan keutuhan dana melalui proses tawaran terbuka malah tindakan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah.

“Yayasan Selangor mengambil tindakan terbaik dan menguntungkan di mana, aset-aset yang kurang strategik dan mempunyai kos penyelenggaraan yang tinggi tetapi memberikan pulangan yang rendah perlu diteliti semula pemilikannya.

“Penilaian harta dilakukan oleh jurunilai berdaftar dalam menentukan kadar harga jualan aset-aset berkenaan dan tidaklah seperti mana nilaian yang ditohmahkan oleh Rizam Ismail,” katanya.

Rizam dalam sidang media semalam dilaporkan berkata sebarang tindakan penjualan aset harus dibuat secara rasional dengan justifikasi munasabah selain meminta Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari membatalkan penjualan aset berkenaan.

Categories
SELANGOR

Panik tetapi tak hadir, Ketua Pembangkang ditempelak

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Ketua Pembangkang, Rizam Ismail ditempelak berikutan tiada di dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Hal ini berikutan Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar itu pada sesi perbahasan sebelum ini mempertikaikan langkah penjajaran program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilaksanakan Kerajaan Negeri.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Rizam yang seolah-olah panik dengan langkah itu sepatutnya hadir supaya dapat mendengar penggulungan pihak Kerajaan Negeri.

“Nampak panik seolah-olah Kerajaan Negeri tarik macam-macam inisiatif yang ditawarkan, khususnya tentang Insentif Perkahwinan Belia yang ditawarkan.

“Jadi saya nak jawab tetapi Yang Berhormat Ketua Pembangkang tidak ada walaupun nampak panik macam Kerajaan Negeri tidak buat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memulakan penggulungan perbahasan yang menerangkan dengan panjang lebar kepada DNS terhadap langkah penjajaran program IPR dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Katanya, penjajaran IPR lebih memberdaya dan mampu memberi lebih banyak manfaat kepada golongan sasaran.

Mohd Khairuddin berkata, selepas penjajaran program IPR golongan sasaran menerima sumbangan sebanyak RM6,200 berbanding hanya RM500 sahaja bagi Insentif Perkahwinan Belia sebelum ini.

Katanya, penjajaran dilakukan ini turut fokus dalam usaha memperkasakan institusi kekeluargaan di Selangor.