Categories
AGENDA NASIONAL

Hina Nabi serta kematian Adib, penjaja dipenjara 30 bulan

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Akibat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam serta menghina kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di media sosial, seorang penjaja hari ini dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Chow Mun Fai, 43, selepas dia mengaku bersalah ke atas kelapan-lapan pertuduhan yang dihadapinya pada 18 Jun lepas dan hari ini ditetapkan untuk mahkamah menjatuhkan hukuman.

Edwin sebelum menjatuhkan hukuman berkata mahkamah tidak boleh menerima perbuatan tertuduh yang memberi pelbagai komen negatif terhadap agama orang lain.

“Tindakan tertuduh menghina kematian Muhammad Adib dikala semua orang sedang meratapi dan berkabung di atas kematiannya juga tidak dapat diterima oleh mahkamah.

“Perbuatan dilakukan tertuduh adalah melampau dan melebihi had kebebasan bersuara,” kata hakim itu yang turut memaklumkan perbuatan dilakukan tertuduh adalah dirancang kerana komen berkenaan dibuat berulang kali.

Edwin menjatuhkan hukuman penjara antara tujuh bulan hingga 30 bulan bagi kelapan-lapan pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 6 Mac lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Chow didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil ‘Alvin@Alvin15358333’, membuat kenyataan berhubung kematian Muhammad Adib, yang mungkin mengapi-apikan kaum Melayu dengan bukan Melayu pada 8.07 pagi, 13 Feb lepas, mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh atas tiga pertuduhan memuat naik hantaran yang menghina Nabi Muhammad SAW, yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni di antara penganut Islam dan bukan Islam, di laman media sosial yang sama pada jam 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac dan 13 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.

Dia juga menghadapi empat lagi pertuduhan iaitu secara sedar menggunakan profil Twitter sama telah membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada masa dan tempat sama.

Bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Semua hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada jam 8.30 malam, 3 Mac lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal, manakala tertuduh diwakili peguam Mohan Raj.

Pada 18 Jun lepas, Muhamad Asyraf ketika membuat hujahan, memohon hukuman berat serta hukuman penjara berasingan dikenakan terhadap tertuduh, yang sengaja menimbulkan provokasi dan secara terang-terangan menghina agama dan kaum lain manakala peguam P. Rajsurian yang mewakili tertuduh merayu hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh anak guamnya ditangkap pada 6 Mac lepas. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

483 laporan polis berhubung kenyataan hina Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 483 laporan polis setakat ini berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh pemilik akaun Wendy Loong di laman sosial Facebook.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata, kenyataan berbentuk penghinaan dibuat pemilik akaun itu di laman Facebook Kiub Batu Itu Berhala, yang dianggotai kumpulan tertutup.

“Pihak polis mendapati posting (hantaran) yang dibuat oleh Wendy Loong telah dipadam dan polis telah memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti serta menjejaki pemilik akaun Wendy Loong untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang komen yang menyentuh sensitiviti agama atau kaum, di mana-mana jua platform atau rangkaian komunikasi.

“Suka diingatkan, sebagai warga Malaysia, setiap daripada kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk terus mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara ini,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penjaja mengaku bersalah hina Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Seorang penjaja mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam menerusi hantaran di media sosial.

Tertuduh Chow Mun Fai, 43, menukar pengakuan kepada bersalah ke atas kesemua pertuduhan yang dihadapi semasa sebutan semula kesnya di hadapan Hakim M.M. Edwin Paramjothy.

Mahkamah menetapkan 3 Julai bagi mendengar hujahan berhubung hukuman berjalan serentak atau berasingan.

Terdahulu, peguam P. Rajsurian yang mewakili tertuduh merayu hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh anak guamnya ditangkap manakala Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal pula memohon hukuman berat serta hukuman penjara berasingan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.

“Tertuduh melakukan kesalahan serius dengan menggunakan ayat-ayat yang terlalu kasar serta kesat dan secara terang-terangan menghina agama dan kaum lain. Ayat-ayat yang digunakan berbentuk provokasi secara total ini telah ditujukan secara khusus dan spesifik kepada umat Islam dan kaum Melayu,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Chow didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil ‘Alvin@Alvin15358333’, membuat kenyataan yang mungkin mengapi-apikan kaum Melayu dengan bukan Melayu, pada 8.07 pagi, 13 Februari lepas mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa atas tiga pertuduhan memuat naik hantaran yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni di antara penganut Islam dan bukan Islam di laman media sosial yang sama pada jam 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac dan 13 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dia juga menghadapi empat lagi pertuduhan iaitu secara sedar menggunakan profil Twitter sama telah membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada masa dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Semua hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada jam 8.30 malam, 3 Mac lepas. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Operator kilang didakwa hina Nabi Muhammad SAW

SHAH ALAM, 26 FEB: Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik satu hantaran yang menghina Nabi Muhammad SAW menggunakan aplikasi Facebook, pada minggu lalu.

A Taneson, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Rini Triany Muhamad Ali.

Lelaki itu didakwa telah memuat naik hantaran terbabit dengan menggunakan laman profil Facebook “Sarkar Tanesan” yang telah dibaca di Seksyen 10 di sini, kira-kira 8 pagi pada 19 Februari lalu.

Tindakan itu berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan orang beragama Islam dengan kumpulan orang bukan beragama Islam di seluruh negara.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11.40 pagi pada 19 Februari lalu dan dituduh mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 298A (1) Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin ke atas tertuduh berikutan kesalahan di bawah Seksyen 298A itu tidak boleh diikat jamin.

Peguam Kailashii Vasudevan Appu yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh mempunyai masalah mental.

“Mohon jaminan diberi supaya tertuduh boleh mendapatkan rawatan di hospital dan bagi mendapatkan laporan psikiatrik anak guam saya,” katanya.

Rini Triany kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.

Beliau turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis terdekat dua minggu sekali sehingga kes selesai.

SUMBER: BERNAMA