Categories
AGENDA SUKANKINI

Hoki Selangor kukuh akar umbi, mahu kembali kuasai gelanggang

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Persatuan Hoki Selangor (PHS) mahu memperkukuh lagi pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi, untuk kembali muncul sebagai kuasa besar hoki dalam kejohanan tempatan.

Presidennya Ganesh Shanmugam, yang mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding untuk penggal 2020-2023 berkata persatuan itu perlu mewujudkan kesedaran dalam kalangan golongan muda mengenai sukan hoki untuk mencapai objektif mereka melahirkan pemain berkualiti untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa.

“Kami akan menubuhkan empat pusat pembangunan di Selangor tidak lama lagi bagi mencungkil pemain berbakat dengan bantuan Majlis Sukan Negara (MSN). Kami belum memutuskan di mana pusat-pusat itu dibuka, tetapi kami berharap dapat memulakan program pembangunan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 12 tahun, tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor pernah menjadi kuasa besar dalam hoki tempatan termasuk menjuarai kejohanan hoki tertua negara iaitu, Piala Tun Abdul Razak sebanyak 10 kali sejak tahun 60-an, namun gagal mengekalkan prestasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Ganesh, Liga Hoki Selangor pada 2019 yang berjaya menarik penyertaan sebanyak 28 pasukan melibatkan 23 untuk kategori lelaki dan lima wanita merupakan perkembangan baik kepada pembangunan hoki di negeri itu.

“Amat menyedihkan bila liga itu terpaksa dibatalkan tahun ini akibat Covid-19, tetapi kami berharap dapat melihat lebih banyak pasukan mengambil bahagian tahun depan. Namun, pasukan lelaki dan wanita kami sudah bersedia untuk menghadapi Piala Tun Abdul Razak (yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 18-26 Sept),” katanya.

Pada edisi tahun lepas, Selangor yang menjadi tuan rumah kejohanan itu muncul naib juara Divisyen Dua di belakang Perlis. Bagaimanapun, edisi kali ini dipertandingan dengan format satu divisyen sahaja.

Ganesh menyasarkan skuad lelaki berada dalam kedudukan enam terbaik walaupun perlu berhadapan saingan sengit daripada pasukan lain seperti juara bertahan Melaka, Johor, Perak, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Sementara pasukan wanita Selangor, yang memenangi kejohanan itu pada tahun 2017 dan tahun lepas, akan menjadi pasukan pilihan utama pada kejohanan kali ini.

Pasukan itu diperkukuhkan dengan penampilan lapan pemain kebangsaan iaitu penjaga gol Mashitah Abdul Khalid; Raja Shahrina Raja Shahabudin, Ellya Amanina Ellias dan Dayang Nuramirah Abang Mahadini (pertahanan); Nur Insyirah Effarizal (tengah); serta Fatin Nur Shafika Mohd Sukri, Nur Atira Mohd Ismail dan Nuramirah Zulkifli (serangan).

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Piala Tun Razak pemanas badan sebelum Sukma Johor

SHAH ALAM, 17 JULAI: Pasukan hoki wanita Selangor menyertai kejohanan Piala Tun Razak September ini bagi mendapatkan semula rentak permainan sebelum saingan Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.

Jurulatihnya Ikmal Abdul Jabar berkata mentaliti untuk memenangi pingat emas sekali lagi diterapkan kepada pemain sebagai dorongan mempertahankan kejuaraan Sukma 2018 di Perak.

“Mungkin Ogos depan kita panggil beberapa pemain senior untuk berlatih bersama pasukan sebagai persediaan menyertai kejohanan Piala Tun Razak. Tarikh kita belum tahu lagi tetapi dari situ lebih banyak perlawanan persahabatan boleh disertai.

“Sejak pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), persatuan mengubah perancangan untuk menyertai kejohanan ini dan siri pertandingan dianjurkan negeri lain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Ikmal berkata sesi latihan sejak bulan lalu juga berjalan lancar dan pemain bersungguh mengembalikan kecergasan yang sedikit merosot ketika PKP.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadual semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.