Categories
SELANGOR

Tourism Selangor giat industri pelancongan

Oleh : HAFIZAN TAIB

SABAK BERNAM 14 DIS : Tourism Selangor Sdn Bhd (Tourism Selangor) akan menggerakkan pelbagai aktiviti dan program termasuk meluaskan promosi berkenaan pelancongan negeri kepada masyarakat supaya industri itu dapat dipertingkat dan maju.

Eksekutif Perhubungan Awamnya, Ju Munira Dahari, berkata ia adalah salah satu inisiatif Tourism Selangor ke arah merancakkan industri pelancongan di negeri itu serta sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

DSC_5644Katanya, program anjuran Tourism Selangor bersama media dan selebriti adalah salah satu program dirancang supaya kawasan pelancongan di daerah itu mendapat perhatian orang ramai menerusi hebahan media massa.

“Program ini dlihat sebagai salah satu landasan dalam memberi pendedahan kepada pihak media untuk merasai sendiri pengalaman berada di kawasan kampung dan aktiviti yang dijalankan. Melaluinya, media dan selebriti dapat menikmati keindahan dan keistimewaan kawasan hijau di Sekinchan dan Homestay Sungai Haji Dorani.

“Sekinchan kita pilih kerana ia adalah salah satu produk pelancongan Selangor yang menarik kerana kawasan ini terkenal dengan keunikan sawah padi yang cantik dan juga kebun buah-buahan selain pelbagai produk agro pelancongan,” katanya.

DSC_5672Adun Sekinchan, Ng Suee Lim turut menyertai program itu bersama kira-kira 30 wakil media dan sembilan bloggers serta dua selebriti iaitu Talha Harith dan Kay AF9 dengan kunjungan ke beberapa lokasi menarik iaitu Pantai Redang; kebun buah-buahan, kawasan industri kecil dan sederhana (IKS), kilang padi Sekinchan Best, PLS Marketing (M) Sdn Bhd dan restoran makanan eksotik, Restoran Lembah Bernam.

Sebagai penghargaan kepada media yang banyak mambantu Tourism Selangor, program itu diserikan dengan aktiviti di Homestay Sungai Haji Dorani seperti mewarna canting batik, memasak kuih bahulu dan menggagau ikan.

Ju Munira berkata, pembabitan media, selebriti dan pengusaha produk pelancongan dalam program itu adalah salah satu usaha menyemarakkan lagi industri pelancongan domestik dan negara.

“Inilah masanya untuk kita mengetengahkan produk pelancongan sebegini. Tahun depan, kita merancang membuat program sama dan mungkin kita akan ke daerah Hulu Selangor atau Hulu Langat yang terkenal dengan air terjun,” katanya.

DSC_5683Sementara itu, Suee Lim berkata, Sekinchan memang terkenal dengan pengeluaran hasil padi terbaik negara dan beberapa produk pelancongan serta lokasi menarik yang mampu memikat pengunjung untuk datang ke kawasan berkenaan.

“Sekinchan terkenal sebagai kawasan Jelapang Padi di Selangor dan menghasilkan beras terbaik dengan jenama Sekinchan Best, begitu juga beberapa produk IKS dimajukan termasuk mentarang bakar selain makanan eksotik seperti landak dan rusa,” katanya.

Blogger, Nur Aliah Mohd Nor, berkata menerusi program itu ia dapat mengeratkan hubungan dengan media lain dan mendedahkan lagi dirinya berkenaan kawasan pelancongan menarik di Selangor.

“Program ini penuh bermakna. Kita didedahkan dengan lokasi pelancongan di Selangor dan menjadi tugas media serta blogger untuk menghebahkannya kepada pengetahuan umum,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Agro Pelancongan mampu tingkat ekonomi desa

maskot sekinchan elizabeth ng suee lim 01

SEKINCHAN 11 SEPT : Bidang agro pelancongan berpotensi untuk dimajukan di DUN Sekinchan sesuai dengan aktiviti masyarakat, sektor pertanian dan perkembangan industri hiliran di situ.

Adun Sekinchan, yakin agro pelancongan mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya orang Melayu, dan menguja perkembangan Industri Kecil dan Sederhana.

“Satu keistimewaan di sini ialah hasil lautnya. Salah satunya dari produk hasil laut ialah mentarang bakar yang menjadi buah mulut pelancong yang datang ke Sekinchan.

“Agro pelancongan mampu membawa hasil kepada produk-produk seperti ini, yang giat diusahakan masyarakat seperti cendawan tumbuh selepas hujan,” katanya.

Suee Lim menceritakan lawatan beliau ke Taiwan yang berjaya merancakkan ekonomi luar bandar melalui agro pelancongan secara berhati-hati tanpa menjejaskan kualiti kehidupan di desa.

Taiwan merupakan ekonomi kapitalis maju yang ke-19 terbesar di dunia.

“Mereka menitikberatkan agro pelancongan di mana kawasan luar bandar seperti kampung pertanian dijadikan kawasan pelancongan dengan pembinaan chalet dengan pelbagai aktiviti serta hidangan tradisonal.

“Dengan suasana kampung yang tenang, perkhidmatan basikal sewa disediakan untuk pelancong bergerak di setiap kawasan. Pendekatan ini akan kita usahakan di sini di mana perkhdimatan sama sudahpun dimulakan oleh pengusaha tempatan,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan hotel dan rumah tumpangan seperti Homestay juga sedang giat dijalankan di situ dan pihaknya bersedia membantu pengusaha dan Tourism Selangor menjayakannya.