Categories
NASIONAL

Henti jual, promosi bir tanpa alkohol secara terbuka

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Sebarang promosi serta penjualan arak atau bir tanpa alkohol secara terbuka perlu dihentikan, kerana dikhuatiri memberi impak negatif pada masyarakat, khususnya anak muda.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, penjualan minuman seumpama itu juga tidak sesuai dibuat secara terbuka, demi menjamin kemaslahatan seluruh masyarakat.

Katany,a mana-mana syarikat pengeluar minuman berkenaan, seharusnya mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam promosi produk mereka, walaupun Malaysia adalah negara majmuk.

“Sepatutnya syarikat seperti Heineken perlu lebih sensitif dalam mempromosi produk mereka. Walaupun mereka nyatakan sasaran penjualan minuman itu adalah remaja bukan Islam, ia masih tidak wajar kerana mengelirukan,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Raimi mengulas demikian serta menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini, yang menegaskan pengeluaran produk sedemikian bukan sahaja mengelirukan umat Islam, malah ia satu tindakan tidak baik.

Mengulas lanjut, beliau berharap pihak berwajib memperkasa usaha, supaya larangan penjualan produk yang haram serta syubhah atau tidak jelas hukumnya antara halal dan haram, dapat dilaksanakan di kawasan komuniti yang majoriti penduduknya ialah umat Islam.

Mohamad Raimi berkata, umat Islam di negara ini turut dinasihatkan agar sentiasa menjauhi sebarang produk, khususnya minuman yang haram serta syubhah.

“Dalam senario masyarakat yang semakin mencabar dengan bermacam produk makanan dan minuman serta kaedah promosi yang menarik perhatian, sebagai umat Islam seharusnya berwaspada agar tidak mudah terpedaya.

“Paling utama jika kita tahu syarikat pengeluar sesuatu minuman itu adalah pengeluar arak, maka jauhilah. Penjualan produk dengan nama arak tanpa alkohol sememangnya amat mengelirukan,” katanya dengan harapan supaya promosi arak tanpa alkohol itu dapat dihentikan segera.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha turut berharap lebih ramai dalam kalangan masyarakat sensitif dengan penjualan arak tanpa alkohol dengan tagline ‘Now You Can’ itu, kerana boleh mengelirukan.

“Khususnya kepada generasi muda, kerana tagline itu seolah-olah menyebutkan bahawa dahulu tak boleh tapi kerana sekarang tiada alkohol, maka sekarang boleh,” katanya.

MBM turut menggesa agar arak-arak murah tidak lagi dijual di kedai-kedai serbaneka, kerana dikhuatiri akan mudah dibeli dan diminum oleh sesiapa sahaja.

“Kita tidak mahu anasir negatif mempengaruhi generasi muda. Kita tidak mahu ia menjadi budaya dan ketagihan kepada generasi muda Islam dan bukan Islam. Arak sepatutnya dijual di kedai khas dan bukan dijual secara terbuka,” tambahnya.

Heineken Malaysia Berhad dalam kenyataan semalam menjelaskan produk minuman yang dikeluarkan itu adalah tidak halal dan hanya disasarkan kepada yang bukan Islam berusia 21 tahun ke atas.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Agro Pelancongan mampu tingkat ekonomi desa

maskot sekinchan elizabeth ng suee lim 01

SEKINCHAN 11 SEPT : Bidang agro pelancongan berpotensi untuk dimajukan di DUN Sekinchan sesuai dengan aktiviti masyarakat, sektor pertanian dan perkembangan industri hiliran di situ.

Adun Sekinchan, yakin agro pelancongan mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya orang Melayu, dan menguja perkembangan Industri Kecil dan Sederhana.

“Satu keistimewaan di sini ialah hasil lautnya. Salah satunya dari produk hasil laut ialah mentarang bakar yang menjadi buah mulut pelancong yang datang ke Sekinchan.

“Agro pelancongan mampu membawa hasil kepada produk-produk seperti ini, yang giat diusahakan masyarakat seperti cendawan tumbuh selepas hujan,” katanya.

Suee Lim menceritakan lawatan beliau ke Taiwan yang berjaya merancakkan ekonomi luar bandar melalui agro pelancongan secara berhati-hati tanpa menjejaskan kualiti kehidupan di desa.

Taiwan merupakan ekonomi kapitalis maju yang ke-19 terbesar di dunia.

“Mereka menitikberatkan agro pelancongan di mana kawasan luar bandar seperti kampung pertanian dijadikan kawasan pelancongan dengan pembinaan chalet dengan pelbagai aktiviti serta hidangan tradisonal.

“Dengan suasana kampung yang tenang, perkhidmatan basikal sewa disediakan untuk pelancong bergerak di setiap kawasan. Pendekatan ini akan kita usahakan di sini di mana perkhdimatan sama sudahpun dimulakan oleh pengusaha tempatan,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan hotel dan rumah tumpangan seperti Homestay juga sedang giat dijalankan di situ dan pihaknya bersedia membantu pengusaha dan Tourism Selangor menjayakannya.