SHAH ALAM 9 FEB: Human Rights Watch (HRW) mendesak Kerajaan Malaysia membebaskan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tahanan politik sempena setahun beliau dipenjarakan.
Timbalan Pengarah HRW Asia, Phil Robertson, Kerajaan Malaysia juga perlu memastikan Anwar diberikan akses rawatan bersesuaian ketika dipenjara dan rawatan ke luar negara untuk mengubati kesakitan dialaminya.
“Pendakwaan terhadap Anwar Ibrahim adalah bermotif politik, dan beliau sudah setahun dipenjara serta dinafikan hak keadilan,” kata Phil Robertson dalam kenyataan media.
Katanya, keyakinan terhadap sistem keadilan di Malaysia terus terhakis setiap hari Anwar dipenjarakan.
“Kerajaan perlu membebaskan Anwar segera dan memansuhkan undang-undang menekan,” katanya.
Sebelum ini, Anwar menegaskan, beliau tidak bersalah dan itu adalah cubaan menjatuhkan karier politik beliau.
Katanya, beliau tidak akan mengalah dan percaya Allah bersamanya.
EZY