Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Johor biayai kos baik pulih wad HSA terbakar

JOHOR BAHRU, 29 JUN: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan untuk membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar, petang semalam.

Baginda bertitah akan melantik kontraktor bagi membolehkan pembaikan dapat dijalankan segera dengan kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor bersama-sama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.

“Selalunya, kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera,” titahnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda, hari ini.

Semalam, rakyat Johor dikejutkan lagi dengan insiden kebakaran di Hospital Sultan Aminah (HSA) namun kali ini melibatkan Wad Perubatan Perempuan 1 yang terletak tidak jauh dari Klinik Kesihatan Mahmoodiah.

Kejadian bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kematian kerana kesemua 24 pesakit yang berada di wad berkenaan, berjaya diselamatkan.

Sebelum ini, HSA pernah mengalami kebakaran iaitu pada Oktober 2016 melibatkan tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan yang mengakibatkan enam pesakit maut.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penggera kecemasan berbunyi, cetus panik di HSA

JOHOR BAHRU 26 OKT: Suasana panik sekali lagi tercetus di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini apabila penggera kecemasan berbunyi kira-kira pukul 1.40 petang tadi.

Astro Awani melaporkan beberapa saksi, mereka mendakwa berlaku kebakaran di Dewan Bedah 5, Bangunan Utama HSA sekaligus terlihat kepulan asap di Tingkat 1 bangunan itu.

Satu jentera bomba bersama kira-kira lapan anggota JBPM Balai Johor Bahru tiba kira-kira jam 1.50 petang.

Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian, pihak polis memaklumkan tiada kebakaran kedua berlaku hari ini susulan kebakaran yang mengorbankan enam nyawa semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh mengesahkan kepada pihak media, berlaku percikan api akibat kerja-kerja pembersihan susulan tragedi pagi Selasa itu.

“Mungkin air dari kawasan pembersihan terkena saluran elektrik. Tiada mangsa yang cedera, tiada yang terkorban dan tiada letupan.

“Hanya percikan api,” katanya pada satu sidang media kira-kira jam 2.40 petang ini sambil menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu.

Sulaiman berkata, bangunan utama HSA ketika ini dikosongkan buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

Semua saluran elektrik di bangunan itu turut dimatikan.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Hospital Sultanah Aminah gempar lagi

JOHOR BAHRU 26 OKT: Selepas wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini terbakar pagi semalam, kini bilik bedah hospital itu pula terbakar kira-kira jam 1.40 petang ini.

UTUSAN ONLINE melaporkan semasa kejadian, beberapa pesakit dan kakitangan HSA berada dalam bilik berkenaan, bagaimanapun masih belum diketahui insiden baharu itu ada melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Pihak bomba ketika ini sedang giat memadamkan kerja-kerja memadamkan kebakaran.

Sementara itu BERNAMA melaporkan Hospital Sultanah Aminah (HSA) sekali lagi gempar apabila semua kakitangan hospital serta pesakit diarahkan keluar dari Bangunan Induk hospital berkenaan kira-kira 1.45 tengahari.

Wartawan Bernama yang berada di lobi hospital berkenaan menyaksikan dua kakitangan HSA sebelum itu berlari keluar mendapatkan Ibrahim Omar, Timbalan Penguasa Bomba yang juga Ketua Balai Johor Bahru.

gemparMereka kemudiannya dilihat memasuki bangunan berkenaan sebelum kesemua pesakit luar di Bangunan Kecemasan dan Trauma dibawa keluar dan dikumpulkan ke tempat parkir di hadapan bangunan tersebut.

Sepuluh minit kemudian, pesakit dari bangunan berhampiran juga turut dibawa keluar oleh kakitangan HSA dan dikumpulkan di tempat yang sama.

Bagaimanapun, punca kejadian masih belum dikenalpasti.

Laporan lanjut bakal menyusul

GAMBAR: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis sahkan letupan tiada kaitan unsur jenayah dan kebakaran di HSA

JOHOR BAHRU, 26 OKT: Kejadian letupan di sebuah stesen minyak yang mengorbankan seorang pekerja di Taman Mount Austin di sini, tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kejadian itu juga tiada langsung mempunyai kaitan dengan kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA), yang berlaku hanya selang beberapa jam sebelum itu.

“Tidak ada kaitan, saya sendiri akan pergi ke tempat itu (stesen minyak) selepas ini bagi meninjau keadaan.

“Ini kemungkinan (akibat) kecuaian di pihak sana, kita tidak tahu,” katanya lapor BERNAMA.

Wan Ahmad Najmuddin turut meminta orang ramai termasuk pihak media agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kedua-dua insiden berkenaan.

“Tolong hentikan (spekulasi), ia masih dalam siasatan dan kita belum tahu punca sebenar (kedua-dua kejadian),” kata Wan Ahmad Najmuddin.

Keadaan kebakaran di Hospital Sultanah Aminah Johor. - Foto ihsan Bomba Johor
Keadaan kebakaran di Hospital Sultanah Aminah Johor. – Foto ihsan Bomba Johor

Dalam kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA pagi ini, enam pesakit iaitu empat wanita dan dua lelaki, maut. Mereka adalah antara tujuh pesakit di ICU berkenaan manakala seorang pesakit lagi ditemui selamat dan masih dirawat di hospital sama.

Dua kakitangan HSA pula dihantar ke Hospital Sultan Ismail manakala seorang lagi petugas dirawat di HSA akibat terhidu asap.

Kejadian letupan di stesen minyak di Taman Mount Austin pula mengorbankan seorang pekerja lelaki berusia 33 tahun.

Letupan dipercayai berpunca daripada tangki penyimpanan gas asli untuk kenderaan (NGV) di stesen berkenaan.

EZY

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tragedi HSA terburuk negara, insiden ke-8 hospital kerajaan

KUALA LUMPUR 26 OKT: Insiden kebakaran unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru yang meragut enam nyawa semalam adalah kejadian kebakaran besar pertama yang berlaku di hospital itu.

Bagaimanapun, kes itu mencatatkan sebagai tragedi paling buruk membabitkan kehilangan nyawa dalam sejarah kejadian kebakaran hospital di negara ini.

Terdapat 7 insiden kebakaran besar berlaku melibatkan beberapa hospital
sejak 1993:

30 Mei 1993: Sebahagian dari tingkat 2 di blok pentadbiran di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia bersebelahan dengan Hospital Besar Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran pada 2.30 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

8 Julai 1993: Kebakaran di Institut Neurologi Hospital Besar Kuala Lumpur pada 2 pagi menyebabkan 190 katil pesakit dikosongkan untuk keselamatan. Kebakaran menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

16 Jan 1995: Kebakaran di bawah tangga di tingkat 3 Hospital Universiti memusnahkan beberapa barangan pembinaan yang disimpan oleh kontraktor di bawah tangga.

2 Mei 2007: Bekalan elektrik terpelantik dalam lif yang menyebabkan kebakaran kecil di tingkat 1 Wad Neurologi Hospital Kuala Lumpur, menyebabkan 50 pesakit dan pelawat terpaksa dipindahkan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

30 Julai 2011: Kebakaran di Bilik Isolasi Pesakit Mental, Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur berpunca daripada tindakan seorang pesakit mental memulakan kebakaran dengan menggunakan pemetik api.

Kejadian berlaku pada 12.30 tengah malam itu menyebabkan api merebak dengan pantas serta mengeluarkan asap tebal. Seorang maut dalam kejadian itu.

15 Feb 2014: Sebuah blok bangunan baharu di Hospital Umum Sarawak terbakar akibat percikan api kimpalan daripada pembinaan di dalam kawasan hospital.

Tiada kerosakan dilaporkan tetapi seorang pekerja binaan warga Indonesia berusia 35 tahun ditemui mati dengan tanda terbakar di tempat kejadian. Seramai 151 pesakit dari 6 wad dipindahkan.

15 Ogos 2016: Kebakaran kecil di stor simpanan barang Hospital Sri Kota, Klang. Tiada pemindahan pesakit atau pelawat, dan tiada sebarang kemalangan jiwa.

Menurut maklumat daripada laman sesawang HSA, hospital yang terletak di Jalan Skudai kira-kira 2km dari pusat bandar Johor Bahru itu dibina pada 1938 bagi menggantikan hospital terawal di daerah itu pada 1882.

Dengan keluasan 98.6 hektar, HSA yang berhampiran Selat Tebrau dan berhadapan dengan Singapura itu mempunyai bangunan hospital setinggi 5 tingkat.

Direka bentuk oleh syarikat arkitek Palmer and Turner, HSA mempunyai 2 sayap berbentuk “T”.

Kini HSA menyediakan 21 perkhidmatan klinikal, 9 perkhidmatan sokongan klinikal, 5 perkhidmatan sokongan bukan klinikal dan 7 unit di bawah Pengurusan HSA.

Ia juga menjadi pusat rawatan koronari dan pembedahan jantung bagi Wilayah Selatan termasuk Sabah dan Sarawak.

Sehingga 2010, sebanyak 989 buah katil disediakan di HSA bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat di negeri itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM ucap takziah mangsa kebakaran di HSA

OLEH Dr. Shahrizal Azwan Samsudin

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan rasa amat dukacita dan simpati di atas kejadian kebakaran yang berlaku di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, sebentar tadi.

ABIM dimaklumkan bahawa terdapat mangsa yang terkorban dan mengalami kecederaan yang teruk dalam kalangan pesakit dan juga kakitangan hospital akibat terperangkap di dalam kebakaran tersebut.

ABIM yakin usaha menangani kebakaran dan memastikan keselamatan mereka yang lainnya telah dijalankan sebaiknya.

ABIM turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat yang telah membantu memadamkan kebakaran dengan kadar segera dan membantu pemindahan pesakit ke hospital yang berdekatan.

ABIM akhirnya merakamkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban, dan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar dapat sama-sama mendoakan agar seluruh keluarga pesakit mahupun kakitangan HSA tabah menghadapi ujian berat ini.

#PrayForHSA #DoaBuatHSAJB

Dr. Shahrizal Azwan Samsudin
Biro Kesihatan ABIM

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Takziah kepada mangsa tragedi kebakaran HSA

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 OKT: Limpahan ucapan takziah diutus pimpinan Pakatan dan negeri berhubung tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, pagi ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerusi Twitter beliau sempat mendoakan kesejahteraan keluarga mangsa.

“Takziah untuk keluarga mangsa kebakaran di Hospital Sultanah Aminah. Semoga tabah dan sabar menghadapi dugaan,” katanya yang juga Timbalan Presiden KEADILAN.

Simpati sama turut diluahkan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi laman Facebook rasminya.

“Merakamkan kesedihan dan takziah dari seluruh warga KEADILAN ke atas mangsa kebakaran di wad kecemasan HSA.

“Juga dirakamkan tahniah kepada anggota keselamatan, petugas hospital yang bertungkus lumus, semoga Allah melindungi anda semua,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang itu.

“Takziah kepada keluarga mangsa tragedi #HSA #prayforHSA,” tweet Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) yang juga Exco Negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Takziah kepada mangsa kebakaran Hospital Sultanah Aminah, moga bersabar,” pesan Exco Negeri, Amirudin Shari menerusi Twitter.

Terdahulu, tindakan pantas 166 anggota bomba dengan bantuan 10 jentera berjaya memadamkan kebakaran di tingkat dua HSA.

Seramai tujuh mangsa terperangkap, enam daripadanya disahkan maut sementara seorang lagi selamat.

EZY