Categories
SELANGOR

Kehidupan penduduk terjejas akibat kebakaran hutan

Oleh: NAEEM RAFFI

BANTING, 16 OKT: Masalah jerebu ekoran kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat saban tahun menjejaskan kehidupan rakyat terutama penduduk Kampung Orang Asli Pulau Kapas, di sini.

Bukan sekadar habuk dan asap tebal, tahap kesihatan atau aspek keselamatan mereka turut terjejas setiap kali kebakaran terbuka.

Demikian keluhan penduduk ketika Selangor Kini meninjau perkampungan itu, penempatan paling hampir dengan lokasi kebakaran.

Nur Syaliza Abdullah, 27“Ahli keluarga sering batuk, selesema dan sesak nafas ekoran asap tebal dan habuk. Orang dewasa dan warga emas pun tidak tahan, sering sakit kepala dan batuk, inikan pula anak kecil saya. Dia selalu selesema, ada kalanya sesak nafas,” kata Nur Khalijah Abdullah, 42.

“Setiap kali jerebu, pekerjaan memetik kelapa sawit dan berkebun terpaksa dibataskan. Ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan, bahkan mata pencarian rezeki saya turut terkesan,” kata Mat Usman, 30.

“Saya bekerja di Putrajaya. Tiap kali jerebu, saya perlu lebih berhati-hati dan memasang lampu kenderaan walaupun siang. Pandangan terhad boleh menyebabkan kemalangan kerana jalan utama di kampung kecil dan berselekoh,” kata Siti Nuraida Abdullah, 44.

Siti Nuraida Abdullah, 44Pada 10 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, turut melawat lokasi kebakaran terbabit.

Mohamed Azmin berkata, tanah gambut berpotensi besar menjadi faktor berlaku kebakaran dan sukar dikesan kerana bermula di bawah tanah.

Katanya, pemantauan berterusan perlu dipertingkat bagi mengelakkan kebakaran tanah gambut di kawasan hutan berulang hingga menyebabkan pencemaran udara yang serius.

Sepanjang tahun ini, tiga kebakaran hutan dicatat di Hutan Simpan Kuala Langat iaitu sekitar Februari, Jun dan Ogos lalu.

Kebakaran Februari lalu direkod sebagai terbesar tahun ini dengan keluasan meliputi 294 ekar yang menelan kos RM210,547.53.

-NFN-