Categories
AGENDA NASIONAL

TH: Ibadah haji tahun depan belum diputus, jangan percaya berita tular

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Sebarang butiran pelaksanaan ibadah haji bagi umat Islam Malaysia tahun hadapan masih belum diputuskan, tegas Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Sehubungan itu Syed Saleh meminta orang ramai, supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana maklumat berkaitan pelaksanaan ibadat haji 2021M/1442H yang tular di media sosial, sejak beberapa hari yang lalu.

“Pihak kami masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan dengan urusan ibadat haji untuk tahun 2021M/1442H, dari pihak berkuasa Arab Saudi.

“YB Menteri (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri) dan pengurusan kanan TH dijangka akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Haji Arab Saudi dan Menteri Agama Arab Saudi pada awal tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Saleh berkata, TH akan mengumumkan keputusan perbincangan dan kesepakatan yang akan diambil oleh pemimpin kedua-dua negara, berkaitan dengan isu berkenaan.

Mesej dipercayai tular selepas Muzakarah Haji yang telah diadakan secara dalam talian (Webinar) selama tiga hari bermula 21 Disember lalu.

Mesej yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp itu mengandungi butiran haji tahun hadapan termasuk jadual penerbangan, tarikh wukuf, kuota jemaah, kos haji yang didakwa meningkat, serta tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu diikuti kerana penularan Covid-19.

Sementara itu, Syed Saleh sekali lagi menegaskan supaya orang ramai merujuk hanya kepada TH bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan rasmi berkenaan ibadah haji.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) TH di 03-62071919.

Berikutan penularan pandemik Covid-19, kerajaan sebelum ini memutuskan ibadat haji tahun ini ditangguh ke tahun hadapan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kos tunai haji dijangka naik – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Sebarang penambahan kos bagi bakal jemaah haji akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan penambahan caj dan syarat dikenakan Kerajaan Arab Saudi ke atas bakal jemaah haji susulan langkah penguatkuasaan tatacara operasi piawai  (SOP) kerajaan itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Unjuran kos itu tak dapat ditentukan kerana belum ada simulasi pergi balik haji termasuk kos penerbangan sebagainya, dalam masa terdekat kita akan kira kos-kos keseluruhan dan diperincikan oleh Tabung Haji (TH).

Kita hanya menjangka (pertambahan) dahulu…saya sendiri akan pergi ke Arab Saudi untuk berbincang dengan menteri haji dan agamanya mengenai isu-isu berkaitan haji dan perincian keputusannya mungkin penghujung Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Majlis Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-37 Musim Haji 1442H disertai lebih 500 Pengendali Kursus Ibadat Haji secara dalam talian di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Md Nor Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

Beliau berkata buat masa ini, orang ramai digalakkan menambah simpanan dalam TH namun, sebarang makluman pertambahan kos tidak akan dibuat secara mengejut dan berkata sebarang keputusan mengenainya akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Sementara itu, Zulkifli mengumumkan para pendeposit TH kini boleh membuat rayuan haji bagi tahun 2021 atau 1442H yang dibuka bermula hari ini sehingga 13 Feb tahun hadapan, melalui aplikasi THiJARI.

Kemudahan terbaharu ini dibina bertepatan dengan norma baharu, bertujuan membantu orang ramai membuat rayuan haji tanpa perlu menghantar surat rayuan ke pejabat TH seperti tahun sebelumnya.

Aplikasi itu juga membolehkan bakal haji menyemak pendaftaran haji, status rayuan haji, status tawaran haji serta perkhidmatan lain seperti urusan simpanan dan pengeluaran TH.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir ucap selamat tunai ibadah haji

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada seluruh jemaah Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci tahun ini.

“Saya mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada para tetamu Allah yang mengerjakan ibadah haji tahun ini.

“Semoga peroleh haji yang mabrur dan selamat pulang ke tanah air,” kata beliau dalam catatan di akaun Twitter dan Facebooknya.

Kumpulan pertama 483 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci pagi semalam dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Operasi haji tahun ini yang membabitkan 30,200 jemaah akan melibatkan 62 penerbangan dengan yang terakhir dijadual berlepas pada 4 Ogos. – BERNAMA