Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar bimbang penutupan operasi IBM Cyberjaya jejaskan rakyat

SHAH ALAM, 25 MAC: Tindakan International Business Machines Corporation (IBM) untuk menutup pusat operasinya di Cyberjaya dianggap membimbangkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang dalam kenyataan berkata situasi tersebut benar-benar merugikan negara apabila ribuan rakyat boleh hilang pekerjaan dalam sektor berkenaan.

“Situasi ini sangat memprihatinkan tatkala Malaysia terus kehilangan ribuan pekerjaan di sektor teknologi dan pembuatan kepada negara-negara tetangga di rantau Asean.

“Kita juga bimbang tentang nasib rakyat yang terkesan dengan langkah ini dan apakah kerajaan Perikatan Nasional punya keupayaan serta kemampuan untuk mendepani permasalahan ini,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata sebelum ini langkah sama pernah dilakukan beberapa syarikat gergasi termasuk Hyundai dan Panasonic yang meninggalkan Malaysia.

Menurutnya, terdapat laporan mengatakan negara lain di rantau ini berjaya mendapat pelaburan memberangsangkan daripada syarikat berasaskan teknologi yang tersenarai dalam Fortune 500.

“Kerajaan PN nampaknya berkelakuan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Menteri kanan bertanggungjawab soal pelaburan asing juga menyatakan Malaysia mampu bersikap selektif dan sedang berusaha mendapatkan pelabur besar sambil tidak mengendahkan pelabur berskala kecil serta sederhana.

“Kita juga mendapati reaksi santai menteri bertanggungjawab itu hanya menonjolkan sikap pemerintah yang tidak faham realiti semasa dihadapi negara ini,” katanya.

Kelmarin, syarikat gergasi yang menyokong prasarana teknologi maklumat (IT) pelanggan di Malaysia mengumumkan akan menutup Pusat Penyampaian Globalnya di Cyberjaya pada 31 Mei ini.

IBM merupakan antara syarikat IT pertama yang melabur di Cyberjaya ketika Koridor Raya Multimedia dilancarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan 1990-an.