Categories
AGENDA NASIONAL

Cub Prix: Azroy muncul juara, selesa dahului kedudukan CP150

SHAH ALAM, 19 SEPT: Azroy Hakeem Anuar mudah menyempurnakan misinya di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Terengganu apabila bergelar juara kelas CP150 pada saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS hari ini.

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu sekali lagi mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu di litar sama apabila mengungguli perlumbaan akhir dengan catatan masa 16:40.336 saat (s).

Ternyata, litar sepanjang 1.371 kilometer itu memang gelanggang kegemaran pelumba asal Selangor itu dengan semuanya berjalan lancar bermula daripada sesi kelayakan menyaksikannya muncul pelumba terpantas semalam seterusnya meneruskan rentak cemerlang bagi mengotakan janji berada di podium kemenangan hari ini.

“Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan terbaik. Keadaan jentera juga mantap selain perasaan positif untuk memimpin perlumbaan. Semuanya berjalan lancar dan saya gembira dan sangat berterima kasih kepada seluruh krew pasukan yang bekerja keras untuk kejayaan ini,” kata Azroy dalam kenyataan.

Dengan kemenangan itu, Azroy kini terus selesa memimpin kedudukan keseluruhan dengan meraih 81 mata, diikuti Helmi Azman yang sudah mengumpul 66 mata.

Tempat kedua perlumbaan akhir dimenangi pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Md Aiman Tahiruddin dengan merekod masa 16:41.346s manakala tempat ketiga Md Helmi Azman (HI REV SCK Honda Racing) dengan masa 16:43.825s.

Kelas CP126 pula menyaksikan kebangkitan juara keseluruhan kategori Wira musim lalu, Md Aliff Danial Md Asri yang kini menggalas cabaran pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Aliff muncul juara kelas baharu diperkenalkan musim ini dengan 13:06.521s manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Md Adib Rosley (IPONE Yamaha YYPANG Racing Team) 13:09.390s dan Md Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR SAG Team) 13:15.210s.

Begitupun, kedudukan keseluruhan masih dipegang pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Md Shafiq Rasol dengan 67 mata diikuti rakan sepasukan, Md Hafiza (57 mata).

Sementara itu, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Rahimi Nabil Razu tidak mensia-siakan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila muncul juara perlumbaan akhir kelas Wira dengan catatan masa 10:47.161s seterusnya mengukuhkan kedudukan pendahulu keseluruhan dengan 78 mata.

Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan Boss Susu Motorsports, Md Haziq Rosmaza (10:48.380s) diikuti tempat ketiga, Md Aeiman Hafidz Shahril (ONEXOX SAG Team) (10:50.874s).

Selepas ini, Litar Lumba Tangkak, Johor akan menjadi destinasi Pusingan 5 pada 10 hingga 11 Oktober nanti.

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Azroy terpantas di Jasin

SHAH ALAM, 23 MAC: Azroy Hakeem Anuar memulakan musim 2019 dengan positif apabila berjaya mencatat masa terpantas ketika sesi kelayakan kategori CP150 pada pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka, hari ini.

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu mencatat masa terpantas 47.924s, hampir satu saat lebih pantas berbanding rekod litar musim 2018 mengatasi Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang mencatat masa terbaik 47.949s.

Rakan sepasukan Azroy yang tidak beraksi pada musim lalu, Md Zaqhwan Zaidi turut bermula positif setelah mencatat masa ketiga terpantas, 48.017s manakala juara keseluruhan CP150 2018, Ahmad Afif Amran turut memberikan saingan di kelompok hadapan dengan catatan keempat terpantas, 48.060s.

Keputusan ini juga menyaksikan permulaan positif buat kem Honda dan beberapa perubahan teknikal jentera yang diperkenalkan pada musim ini dijangka bakal menjadikan persaingan kelas perdana pada musim ini lebih sengit.

Azroy berkata, ia satu permulaan yang baik buat pasukan namun masih belum boleh berpuas hati.

“Masih terdapat beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan terutama menjelang sesi kelayakan Superpole esok.

“Pada masa sama kami masih belum mengetahui keupayaan sebenar jentera pasukan lawan kerana ini baharu perlumbaan pertama untuk 2019. Walau bagaimanapun, setidak-tidaknya keputusan hari ini dapat meningkatkan semangat dan keyakinan kami sepasukan,” katanya.

Sementara itu, duo Motul Yamaha YY Pang, Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Md Adib Rosley menguasai sesi kelayakan CP115, masing-masing dengan catatan terbaik 49.451s dan 49.710s. Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) muncul pelumba ketiga terbaik dengan masa 49.955s

Sementara itu, Md Zaki A Zamri bakal memulakan perlumbaan akhir kategori WIRA di kedudukan pertama setelah mencatat masa terpantas 50.353s sesi kelayakan Shootout.

Keputusan

CP150 (KELAYAKAN)
1. Azroy Hakeem Anuar (SGR) Idemitsu Honda Yuzy Racing 47.924s
2. Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 47.949s
3. Md Zaqhwan Zaidi (SGR) Idemitsu Honda Yuzy Racing 48.017
4. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 48.060s
5. Md Helmi Azman (SGR) Hi Rev SCK Honda Racing 48.063s

CP115 (KELAYAKAN)
1. Md Fareez Afeez Abd Rahman (JHR) Motul Yamaha YY Pang Racing 49.451s
2. Md Adib Rosley (SGR) Motul Yamaha YY Pang Racing 49.710s
3. Md Syafiq Rosli (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 49.955s
4. Shahrol Syazras Shahrol Yuzy (SGR) Idemitsu Honda Yuzy Racing 49.997s
5. Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing 50.066s

WIRA (SHOOTOUT)
1. Md Zaki A Zamri (SGR) Persendirian 50.353s
2. Md Afizad Supaat (SGR) Super KIP Motorsports 50.390s
3. Md Amier Rossi Amidi (PHG) Super KIP Motorsports 50.555s
4. Haizilazri Hadi (SGR) Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing 50.559s
5. Md Izzat M Raduan (NSN) ONEXOX SAG Team 51.081s