Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ikon Agro: Guna teknologi tinggi jana hasil lumayan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Penggunaan teknologi tinggi dalam pertanian memberi pulangan lumayan meskipun terpaksa berbelanja besar untuk mengusahakannya.

Khairul Azuan Abdul Razak, 39, memilih sistem pengairan udara sejak sedekad lalu untuk menghasilkan lima tan buah tembikai emas (golden melon) dalam tempoh seminggu.

Lebih membanggakan, katanya, teknologi yang dipatenkan pada 2015 turut dipasarkan ke Qatar serta Indonesia.

Khairul Azuan Abdul Razak

“Tembikai emas sukar ditanam di kawasan tanah rendah namun teknologi kita mampu mengeluarkan hasil dengan kualiti diperlukan pasaran,” kata salah seorang Ikon Agro Selangor 2020 yang menceburi bidang tersebut selama 13 tahun.

Seorang lagi ikon, Khartini Isa, 44, berdepan cabaran mengusahakan produk makanan berasaskan ikan tuna sirip kuning yang disifatkan liar dan mahal.

Pengarah operasi myDrTuna Sdn Bhd itu berkata produk utamanya iaitu sate sirip kuning dipotong secara manual bagi mengekalkan kualiti.

Khartini Isa

“Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kita mengambil langkah drastik dengan menghebahkan produk melalui media sosial dan menghantar terus kepada pelanggan.

“Alhamdulillah, kita dapat kekalkan pendapatan malah ikan tuna ini juga mempunyai khasiat Omega 3 yang sangat tinggi, protein dan mioglobin,” katanya.

Sementara itu, penternak ayam Syaizul Abdullah Syamil Zulkaffly, 31, menggunakan kamera litar tertutup bagi memantau keadaan reban miliknya.

Syaizul Abdullah Syamil Zulkaffly

Jelasnya, langkah yang diambil sejak beberapa tahun lalu sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini dan meminimumkan bilangan pekerja.

“Sekarang kita kena kurangkan pekerja kerana teknologi adalah kunci. Dalam tempoh lima tahun lagi semua teknologi ini bertambah murah. Segala yang kita rancang perlu melihat kepada tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

10 usaha tani dinobat Ikon Agro, bawa pulang RM10,000 seorang

SHAH ALAM, 15 SEPT: Sepuluh pengusaha pertanian mengungguli saingan akhir untuk dinobatkan sebagai Ikon Agro Selangor 2020 malam tadi.

Mereka mengenepikan sepuluh finalis lain apabila melepasi pusingan awal daripada keseluruhan 31 peserta dalam pertandingan bermula sejak Julai lalu.

Penilaian juri berdasarkan penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala bakinya ditentukan menerusi undian video di Youtube.

Sepuluh pengusaha termasuk seorang wanita yang layak sebagai ikon agro menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi serta dilantik menjadi duta pertanian bagi membimbing kumpulan baharu yang ingin menceburi bidang tersebut.

Manakala sepuluh yang lain turut menerima hadiah sagu hati berbentuk plak penghargaan.

Majlis penyerahan anugerah disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sambil diiringi EXCO Permodenan Pertanian Ir Izham Hashim di Dewan Orkid, Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Penyertaan belia Selangor dalam pertanian semakin positif

SHAH ALAM, 15 SEPT: Golongan belia kini semakin cenderung menceburi bidang pertanian menggunakan teknologi moden yang memberikan pulangan hasil lumayan.

Dato’ Menteri Besar berkata perkembangan positif itu ditunjukkan mereka menerusi penyertaan dalam Ikon Agro Selangor 2020 dengan anggaran usia sekitar 40 tahun ke bawah.

“Apa yang menggembirakan saya mereka (belia) menyertai bidang ini dan menghasilkan produk pertanian berkualiti tinggi dan berdaya saing.

“Sebahagian besarnya pernah dibawa Jawatankuasa Pertanian dan Jawatankuasa Keusahawanan ke pameran antarabangsa di Jepun dan Singapura termasuk pameran tempatan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui selepas Majlis Ikon Agro Selangor 2020 di Dewan Orkid, Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini semalam.

Beliau berkata Selangor terdedah dengan perkembangan teknologi moden kerana mempunyai pelbagai agensi yang sentiasa mengkaji perkara baharu industri pertanian seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi).

Amirudin berkata dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Fasa 3 dibentangkan di Dewan Negeri Selangor Julai lalu, Kerajaan Negeri menyasarkan peruntukan RM50 juta yang akan digerakkan PKPS bagi memulakan inisiatif pertanian baharu walaupun berdepan masalah seperti tanah yang terhad serta sumber tenaga manusia.

“Walaupun bidang ini hanya menyumbang sekitar 1.4 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor tetapi ia masih berpotensi menghasilkan produk berkualiti untuk kegunaan tempatan,” katanya.

Amirudin sebelum itu menyampaikan anugerah kepada 10 Ikon Agro Selangor yang dipilih berdasarkan kejayaan dalam bidang pertanian termasuk penggunaan teknologi moden dengan setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi serta dilantik menjadi duta bagi membimbing kumpulan baharu.