Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$109.2 bilion pada 15 Mac

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$109.2 bilion pada 15 Mac, 2021.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat berkata kedudukan rizab adalah memadai untuk membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Bank pusat berkata komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$99.6 bilion); kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.5 bilion); Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$1.2 bilion); emas (US$2.4 bilion) dan lain-lain aset rizab (US$4.5 bilion).

Aset-aset berkenaan merangkumi emas, pertukaran mata wang asing dan rizab lain termasuk SDR berjumlah RM439.17 bilion; Kertas Kerajaan Malaysia (RM11.35 billon); deposit dengan institusi kewangan (RM2.01 bilion); pinjaman dan pendahuluan (RM18.95 bilion); tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) serta aset-aset lain (RM16.36 bilion).

Menurut bank pusat, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta); rizab (RM166.81 bilion); mata wang dalam edaran (RM140.30 bilion); deposit oleh institusi kewangan (RM135.68 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM14.18 bilion), lain-lain deposit (RM14.32 bilion); kertas Bank Negara (RM7.60 bilion); peruntukan SDR (RM7.78 bilion) dan lain-lain liabiliti (RM5.22 bilion).

– BERNAMA