Categories
NASIONAL

PKR : Asas FGVH Lemah, IPO Didorong Politik Bukan Ekonomi

PETALING JAYA,16 MEI : PKR menggesa Felda dan Kerajaan Pusat untuk mendedahkan secara terperinci mengenai yuran-yuran yang bakal diterima oleh pihak bank dan penasihat, hasil daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Malaysia.

Pengerusi Biro Pelaburan Dan Perdagangan PKR, Wong Chen dalam sidang media di ibupejabat parti itu berkata, ‘Initial Public Offering’ (IPO) FGVH ini didorong oleh politik dan bukannya berdasarkan kekukuhan kewangan FGVH.

“Kami merujuk kepada laporan dari Wall Street Journal mengenai IPO FGVH, di mana kebimbangan dibangkitkan mengenai keuntungan FGVH kerana profil pokok kelapa sawit yang tersangat teruk,” kata Wong.

Wong menjelaskan sesebuah syarikat akan mencuba IPO di bursa apabila ia berada dalam kedudukan yang kukuh dan mempunyai prospek yang sangat cemerlang.

Menurut beliau, bisnes FGVH bukanlah berada didalam kedudukan yang kukuh dan masa hadapan untuk pertumbuhan yang tinggi adalah sangat terhad malahan Prospektus IPO mendedahkan bahawa kedudukan sebenar FGVH di dalam pengurusan perladangan adalah lemah.

“Pada asasnya, profil umur pokok sawit FGVH mendedahkan bahawa lembaga pengarah Felda tidak memberi tumpuan sewajarnya kepada pengurusan penanaman pokok.

“Sangat mengejutkan adalah 53 peratus daripada pokok-pokok sudah tua, 31 peratus muda dan tidak matang dan hanya 16 peratus pokok sawit pada tahap matang perdana.

“Bayangkan sebuah syarikat yang berprestasi hanya pada tahap 16 peratus daripada potensi sebenarnya membuat percubaan IPO,” jelas beliau.

Tambah Wong, sebagai perbandingan am, sebuah ladang yang sihat diurus dengan baik akan mempunyai profil pokok berusia tujuh peratus pokok tua, dan 15 peratus muda dan belum matang dan 78 peratus matang perdana.

FGVH perlu menanam balik dan menunggu selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum majoriti pokok pokok sawitnya menjadi matang perdana.

“Jadi jika anda membeli saham FGVH pada hari ini, kemungkinan besar anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum FGVH pulih ke tahap pengurusan perladangan yang baik,” ujar beliau.

Justeru, Felda dan kerajaan perlu menjawab persoalan apakah tujuan utama mereka membuat penyenaraian itu yang mungkin mempunyai kepentingan politik.

“Adakah dorongan utama bertujuan untuk memperkayakan bank, dan penasihat, pengarah-pengarah Felda dan juga untuk menyediakan pembayaran durian runtuh kepada peneroka untuk membeli sokongan politik di dalam pilihanraya yang akan datang.

“IPO FGVH adalah satu IPO yang sebesar RM10.2 bilion, ianya yang kedua di dunia tahun ini dan pihak bank dan penasihat kepada IPO ini akan untung yuran berpuluh-puluh juta ringgit,” katanya.