Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang RM290,000 kepada institusi Islam Kuala Langat

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 12 APR: Kerajaan Negeri menyumbang RM290,000 kepada 22 institusi agama Islam Kuala Langat bagi membiayai program baik pulih dan mengimarah masjid masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sumbangan membabitkan tujuh masjid, enam surau dan sembilan tahfiz itu adalah salah satu program dijalankan Kerajaan Negeri sejak 2017 lagi.

“Ini adalah program biasa membabitkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) setiap kali saya adakan jelajah dan ia sudah dimulakan sejak era Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali lagi.

“Sumbangan ini sudah menjadi tradisi apatah lagi kurang sebulan lagi akan menyambut Ramahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Penyerahan Sumbangan dan Solat Jumaat di Masjid At-Taqwa di sini, hari ini.

Amirudin berkata, beliau berharap semoga pengurusan masjid, surau dan pusat tahfiz dapat memanfaatkan sumbangan yang dihulurkan Kerajaan Negeri.

Dalam program sama, Amirudin turut bersama masyarakat setempat menikmati makan tengah hari dalam kenduri rakyat yang diadakan di perkarangan masjid terbabit.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)