Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR SELANGOR

Yide, Intec jalin kerjasama bantu anak yatim lanjut pelajaran

SHAH ALAM, 9 FEB: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menjalin kerjasama dengan INTEC Education College (Intec) bagi membantu anak yatim melanjutkan pelajaran.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata pihaknya menyasarkan seramai 50 anak yatim lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini terpilih untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan itu.

“Insya-Allah Yide dan Intec akan berusaha merealisasikan hasrat ini dalam masa terdekat dan mereka yang terpilih belajar di sana dengan segala yuran pengajian, wang saku dan komputer riba ditanggung sepenuhnya.

“Ia adalah salah satu impian Yide untuk melihat anak yatim berjaya dalam pelajaran dan secara tidak langsung dapat berbakti kepada ummah kelak,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Yide menerima kunjungan daripada pihak Intec diwakili Ketua Eksekutifnya Dr Roshayani Arshad dan disertai Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan dan Publisiti Yide Md Arifin Jaafar.

Ia adalah kali pertama buat kedua agensi itu bagi membincangkan usahasama pendidikan anak yatim seliaan Yide.

Pada masa sama, Nur Mohd Razali berkata pihaknya bercadang melaksanakan kempen infaq pendidikan dan terbuka untuk orang awam, syarikat korporat yang sudi membantu menjayakan program tersebut.