Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR SELANGOR

Yide, Intec jalin kerjasama bantu anak yatim lanjut pelajaran

SHAH ALAM, 9 FEB: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menjalin kerjasama dengan INTEC Education College (Intec) bagi membantu anak yatim melanjutkan pelajaran.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata pihaknya menyasarkan seramai 50 anak yatim lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini terpilih untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan itu.

“Insya-Allah Yide dan Intec akan berusaha merealisasikan hasrat ini dalam masa terdekat dan mereka yang terpilih belajar di sana dengan segala yuran pengajian, wang saku dan komputer riba ditanggung sepenuhnya.

“Ia adalah salah satu impian Yide untuk melihat anak yatim berjaya dalam pelajaran dan secara tidak langsung dapat berbakti kepada ummah kelak,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Yide menerima kunjungan daripada pihak Intec diwakili Ketua Eksekutifnya Dr Roshayani Arshad dan disertai Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan dan Publisiti Yide Md Arifin Jaafar.

Ia adalah kali pertama buat kedua agensi itu bagi membincangkan usahasama pendidikan anak yatim seliaan Yide.

Pada masa sama, Nur Mohd Razali berkata pihaknya bercadang melaksanakan kempen infaq pendidikan dan terbuka untuk orang awam, syarikat korporat yang sudi membantu menjayakan program tersebut.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide sasar RM1.5 juta kutipan Kupon Infaq Ramadan tahun ini

SHAH ALAM, 31 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyasarkan kutipan Kupon Infaq berjumlah RM1.5 juta pada Ramadan tahun ini.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata sasaran itu susulan tambahan satu lagi daerah untuk edaran kupon yang memasuki tahun kelima iaitu Sepang.

“Jumlah daerah yang akan terlibat sebanyak lima,” katanya dalam kenyataan.

Tahun lalu, kutipan Kupon Infaq dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) meliputi empat daerah antara Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.

Manakala pada 2020, edaran hanya dibuat di Hulu Langat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Diperkenal sejak 2017, Kupon Infaq bernilai RM2 diserah melalui ketua penolong amil fitrah dan penolongnya sebagai alternatif orang ramai menyalurkan infaq sepanjang Ramadan.

Kutipan itu bagi membantu kumpulan sasaran yayasan terbabit antaranya mangsa musibah, pesakit dialisis di pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor dan anak yatim.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide bantu tujuh anak yatim hilang bapa akibat Covid-19

SHAH ALAM, 13 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) pada Jumaat lalu menyumbangkan wang tunai dan keperluan asas kepada tujuh anak yatim yang kematian bapa akibat Covid-19.

Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya Mohd Salim Mohamed Sain berkata sumbangan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 di sini itu diharap dapat meningkatkan semangat meneruskan persekolahan.

“Saya mengharapkan anak-anak ini terus diberikan kekuatan dan kecekalan dalam meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya menerusi Facebook baru-baru ini.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi mendapat data terkini pelajar kehilangan bapa akibat wabak itu.

“Yide akan menyantuni mereka dengan menyalurkan sumbangan terus kepada pelajar tersebut,” katanya.

Orang ramai ingin menyumbang kepada Yide untuk membantu golongan sasar boleh berbuat demikian melalui billplz di pautan https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/.

Selain itu pindahan bayaran melalui akaun Bank Islam Yide, 1223 40100 07330.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide bantu ringan beban tiga beradik yatim piatu

SHAH ALAM, 8 JULAI: Nasib tiga beradik yatim piatu di Kampung Sungai Raya, Batu 9, Cheras mendapat perhatian Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) yang tampil menghulurkan bantuan semalam.

Yayasan berkenaan menyumbang pek makanan beras, minyak masak, susu, mi segera, teh uncang, gula dan susu pekat termasuk wang tunai kepada mereka serta penjaga.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan disalur selepas mendapat maklumat daripada ketua penolong amil fitrah Masjid Ubudiah Sungai Raya berhubung kesusahan dialami tiga beradik itu.

“Inisiatif ini salah satu pelan strategik Yide bersama sahabat prihatin yang bertindak sebagai mata serta telinga dalam mengenal pasti anak yatim di seluruh negeri yang mengalami musibah,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau menambah Masjid Ubudiah Batu 9, Cheras juga menerima 150 pek makanan membabitkan peruntukan berjumlah RM7,500 untuk diagih kepada ahli kariah yang terjejas pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Yide berterima kasih kepada mereka yang menyalurkan sumbangan kepada kami melalui tabung dana musibah bagi membantu golongan terkesan,” kata Nur Mohd Razali.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus ke platform digital https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau pindahan dalam talian melalui Bank Islam Yide (12234010007330).

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Santuni enam keluarga mangsa bah, Yide sumbang barang keperluan

SHAH ALAM, 15 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyantuni enam keluarga mangsa banjir di Sepang semalam.

Pengurus besarnya berkata pihaknya memberi bantuan barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka.

“Kita harap kesemua mangsa diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Sementara itu, salah seorang mangsa Zuraidah Juhari berkata beliau bersyukur tiada kemalangan jiwa dan berterima kasih kepada Yide atas sumbangan tersebut.

“Air banjir naik terlalu cepat awal pagi tadi (semalam) sehingga mencecah paras betis. Alhamdulillah ketiga-tiga anak saya sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Bantuan segera diserahkan di dua lokasi penempatan banjir iaitu tiga keluarga di Dewan Taman Gemilang manakala bakinya di Sekolah Rendah Agama Dengkil.

Turut hadir wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang kuih, duit raya untuk 268 pesakit dialisis

SHAH ALAM, 6 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) semalam menyumbang kuih dan duit raya kepada 268 pesakit buah di enam cawangan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengurus Besarnya berkata inisiatif saban tahun itu bagi memberi kegembiraan kepada pesakit menjelang Syawal tidak lama lagi.

“Di samping menceriakan anak yatim, pesakit dialisis di bawah pengurusan Yide turut menerima kuih dan duit raya.

“Kecaknaan kita kepada pesakit adalah salah satu manifestasi selain menyediakan perkhidmatan rawatan berkualiti,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Terdahulu, Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya Mohd Salim Sain berkesempatan mengagihkan bantuan tersebut di pusat dialisis cawangan Bukit Jelutong.

Sementara itu, Mohd Razali berkata individu yang mengalami kegagalan buah pinggang dipelawa untuk mendapatkan rawatan di kesemua cawangan pusat dialisis disediakan.

Cawangan berkenaan meliputi Shah Alam, Bukit Jelutong, Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor dan Taman Melawati.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sedia tabung infaq bantu mangsa banjir, kebakaran

SHAH ALAM, 31 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mewujudkan Tabung Infaq Dana Musibah bagi bertujuan membantu mangsa ditimpa musibah banjir dan kebakaran.

Pengurus besarnya berkata sumbangan tersebut juga disalurkan kepada mangsa bencana ribut dan kemalangan jalan raya terutama membabitkan golongan berpendapatan rendah (B40).

“Pada tahun lalu, kita peruntukkan RM200,000 kepada mangsa berkenaan termasuk bantuan Covid-19 iaitu setiap seorang menerima wang tunai antara RM500 hingga RM1,500 mengikut keperluan,” kata Nur Mohd Razali Abdullah kepada SelangorKini.

Beliau berharap masyarakat menyalurkan sumbangan kepada tabung itu bagi membolehkan bantuan berterusan diberikan kepada pihak memerlukan.

Menurutnya, aplikasi e-dompet Touch ‘n Go boleh digunakan untuk memudahkan umat Islam menyumbang secara dalam talian.

“Penggunaannya sangat mudah, orang ramai hanya perlu mengimbas kod QR di laman web https://yide.com.my/2020/09/08/touchngo-e-wallet/ bagi tujuan pembayaran.

“Kaedah alternatif terbaharu ini secara tidak langsung membantu Yide lebih aktif melancarkan aktiviti kebajikan khususnya di Selangor,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide galak transaksi tanpa tunai, sumbang guna e-dompet Touch n Go

SHAH ALAM, 16 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mengalu-alu orang ramai menyumbang menerusi e-dompet Touch n Go bagi menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai.

Pengurus besarnya berkata kemudahan disediakan lebih efisien dan mengikut keadaan semasa serta tiada caj perkhidmatan dikenakan kepada pendema bagi Tabung Infaq Dana Yide.

“Dengan kaedah terbaharu ini orang awam boleh menderma secara terus sekali gus memudahkan kami menguruskan aktiviti kebajikan di negeri ini,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Pada 13 Ogos lalu, Yide dengan rasminya menerima serahan e-dompet Touch n Go bagi kegunaan di ibu pejabatnya dan enam cawangan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor.

Penyerahan itu disampaikan menerusi kod QR oleh wakil bahagian produk dan pembangunan industri kecil sederhana Touch n Go, Azam Maszelan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang RM291,500 kepada 17 rumah anak yatim

SHAH ALAM, 15 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mengagihkan RM291,500 kepada 17 rumah anak yatim seliaannya di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras di sini pada Rabu lalu.

Pengurus besarnya berkata sumbangan fasa pertama itu bersempena Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-63 dengan edaran Jalur Gemilang juga kepada wakil rumah berkaitan selain enam Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor.

“Yide turut menganjurkan pertandingan menghias rumah anak yatim dengan tawaran hadiah RM1,000 kepada seorang pemenang,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Tahun lalu, Yide memperuntukkan RM561,000 untuk agihan kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim seliaan mereka.

Yide menyeru orang ramai, syarikat korporat, agensi berkaitan kerajaan untuk terus memuliakan golongan ini dengan menyumbang melalui platform sumbangan terus ke akaunnya, Bank Islam (1223 40100 07330) atau melalui dalam talian Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ atau Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay.

Setiap sumbangan diberikan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi Yide.

Categories
AGENSI SELANGOR

300 kotak pelitup muka untuk institusi tahfiz al-Quran Selangor

KLANG, 2 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang 300 kotak pelitup muka kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) semalam.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata ia sebagai tanda prihatin terhadap keperluan perlindungan diri golongan memerlukan ketika berada di pusat komersial atau kawasan umum bagi mencegah penularan Covid-19.

“Bantuan kepada mereka ini adalah hasil sumbangan ikhlas daripada orang ramai yang menyalurkannya ke Tabung Covid-19 Mais,” katanya dalam kenyataan.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar kepada Pengerusi Pitas Muhammad Hafiz Mohd Haneefa.

Mohd Razali berkata pihaknya turut serta dalam penyerahan barangan berkenaan kepada sekolah dan maahad tahfiz berdaftar di bawah Pitas untuk digunakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Categories
AGENSI SELANGOR

YIDE agih RM2.8 juta bantu golongan sasar

SHAH ALAM, 21 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengagihkan RM2.8 juta kepada golongan memerlukan dan pusat dialisis di negeri ini sepanjang tahun lalu, kata Pengurus Besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata yayasan menyalurkan sumbangan daripada syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan serta orang awam yang dianggap berjaya kerana jumlah agihan melebihi tahun sebelumnya.

“YIDE memberi RM900,000 kepada 9,000 anak yatim individu dengan setiap seorang menerima RM100 manakala RM500,000 kepada 15 rumah kebajikan.

“Kita juga membeli 10 mesin dialisis dan dua mesin penapis air layan diri bernilai RM600,000 disumbangkan kepada pusat dialisis selain RM100,000 kepada mangsa ditimpa musibah dan malapetaka,” katanya melalui kiriman WhatsApp.

Kaedah sumbangan YIDE juga dipelbagai dengan adanya Jom Pay Snap & Pay dan melalui payment gateway yang boleh diakses di https://yide.com.my/.

Sumbangan terbabit tidak termasuk RM2.5 juta daripada Central Spectrum (M) Sdn Bhd bagi membiayai pembangunan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah.

Categories
SELANGOR

Kompleks anak yatim di Pulau Indah bakal siap 2021

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 12 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memaklumkan projek pembinaan kompleks rumah anak yatim di Pulau Indah kini di fasa pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

Pemangku Pegawai Eksekutifnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, projek seluas tiga ekar itu dibangunkan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (Central Spectrum) yang bakal menelan belanja kira-kira RM10 juta.

“Ketika ini kita sudah menerima sumbangan sebanyak RM5 juta, kita memerlukan lagi RM5 juta dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) ada menyatakan kesudian membantu dengan sedikit sumbangan.

“Selepas siap dibina nanti, Central Spectrum akan menyerahkan kepada YIDE untuk menguruskan kompleks terbabit,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri kepada anak Yatim Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kompleks itu bakal menempatkan seramai 200 anak yatim lelaki dan siap dilengkapi pelbagai infrastruktur seperti padang bola, dewan serbaguna serta surau.

“Surau itu juga boleh digunakan orang ramai keran kawasan sekitarnya tiada masjid dan kita akan buat solat Jumaat di situ, jadi orang ramai boleh hadir untuk solat di situ,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)