Categories
KENYATAAN MEDIA

Menteri JPM perlu turun padang selesai isu pentadbiran IPB dan kebajikan pelajar

Oleh: Rafizi Ramli

Institut Professional Baitulmal (IPB) adalah sebuah institusi pendidikan yang dimiliki secara majoriti oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di bawah tanggungjawab Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

IPB bertangungjawab menyediakan kursus-kursus professional di peringkat sijil dan diploma yang bertujuan memberi peluang kedua kepada pelajar-pelajar Islam yang tidak layak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebahagian besar dari pelajar-pelajar IPB mendapat bantuan zakat untuk membayar yuran yang dikenakan oleh IPB.

yb rafizi parlimenOleh yang demikian, IPB adalah sebuah institusi yang sensitif kepada umat Islam di negara ini kerana ia melibatkan pengurusan wang zakat.

Saya telah mendapat pelbagai maklumbalas dan aduan mengenai kemelut pentadbiran di IPB yang akhir-akhir ini telah memberi kesan kepada kelancaran perjalanan IPB dan kebajikan pelajar.

Saya sedang mengumpulkan semua maklumat ini dan akan dibawa kepada pihak media satu persatu.

Kepincangan yang paling terdesak yang perlu diambil tanggungjawab segera oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ialah keputusan IPB menempatkan sekitar 500 orang pelajar IPB di sebuah bangunan yang masih belum mendapat Sijil Kelayakan (Certificate of Fitness, CF), belum dilengkapi sepenuhnya dengan kemudahan dan belum mendapat bekalan air sepenuhnya – walaupun keputusan itu dibantah oleh pengurusan IPB.

Berikut adalah maklumat yang telah saya semak dengan pelajar-pelajar dan kakitangan IPB untuk mendapatkan kesahihan:

1. Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP yang juga Ahli Lembaga Pengarah IPB telah mengarahkan sekitar 500 pelajar ditempatkan di Pangsapuri Seri Warisan, Jalan Desa Utama 9/5, Seksyen 9, Kg Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang walaupun ditentang oleh Ketua Pegawai Eksekutif IPB kerana belum mendapat CF dan belum siap sepenuhnya.

2. Surat Majlis Perbandaran Sepang (MPS) pada 7 September 2015 mengesahkan bahawa CF masih belum dikeluarkan bagi premis tersebut.

3. Pada 6 September 2015, keseluruhan premis tiada bekalan air kerana dilaporkan Syabas masih belum meluluskan pemasangan paip air kerana tidak memenuhi spesifikasi Syabas.

4. Setiap unit kini menempatkan di antara 12 hingga 16 pelajar walaupun hanya sesuai menempatkan 8 hingga 10 pelajar kerana unit-unit di tingkat 4 dan 5 belum mempunyai kipas dan lampu.

5. IPB masih belum memutuskan terma sewaan dengan pemilik bangunan iaitu Syarikat Zikay Sdn Bhd dan masih belum ada perjanjian sewaan tetapi pelajar-pelajar telah diarahkan masuk ke premis tersebut.

Aduan-aduan dan maklum balas yang dibawa kepada saya menunjukkan ada campur tangan pihak-pihak lain dalam keputusan pengurusan IPB yang menimbulkan banyak masalah.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya menyeru supaya Dato’ Seri Jamil Khir turun padang dan melawat sendiri keadaan di premis tersebut.

Beliau juga harus duduk berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif IPB dan ahli-ahli Lembaga Pengarah untuk menyelesaikan kemelut pentadbiran di institusi itu kerana ia melibatkan pengurusan wang zakat.

* Rafizi Ramli adalah Naib Presiden/Setiausaha Agung PKR & Ahli Parlimen Pandan