Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri, individu sertai mesyuarat isu Covid-19 jalani saringan

SHAH ALAM, 5 OKT: Semua individu yang menghadiri mesyuarat khas Covid-19 di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 3 Oktober sudah menjalani saringan, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kontak rapat turut dikenal pasti dan diberikan Surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah selama 14 hari serta memakai gelang pengawasan.

“Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan calitan bagi pengesanan jangkitan Covid-19.

“Mereka yang bukan kontak rapat pula diminta memantau tahap kesihatan diri di rumah selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

Susulan itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan untuk menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selama 14 hari selepas mempengerusikan mesyuarat yang turut dihadiri Dr Zulkifli, kelmarin.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JPM sedia khemah dan kerusi untuk pengamal media

SHAH ALAM, 27 FEB: Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam menyediakan tiga khemah serta kerusi untuk kegunaan kira-kira 60 pengamal media daripada pelbagai agensi yang berkampung di hadapan bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Inisiatif itu diambil selepas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan melakukan tinjauan dan beramah mesra dengan petugas media yang bertugas di situ, lapor Harian Metro.

Mohd Sallehhuddin bersama kakitangan JPM turut menghulurkan sumbangan nasi lemak dan minuman serta bersarapan bersama petugas media di lokasi berkenaan.

Dua daripada khemah didirikan di pintu masuk protokol, laluan yang digunakan Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memasuki pejabat serta tetamu khas Perdana Menteri, manakala satu lagi khemah dipasang di hadapan pintu masuk awam.

Selain JPM, beberapa pihak termasuk Pejabat Perdana Menteri dan beberapa syarikat serta orang persendirian turut menghulurkan sumbangan makanan kepada petugas media.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam perlu profesional dalam situasi perubahan pentadbiran

PUTRAJAYA, 26 FEB: Perkhidmatan awam adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional, dalam mendepani situasi perubahan pentadbiran negara, menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).

JPM dalam kenyataan yang dikeluarkan berhubung peranan penjawat awam menyatakan, penjawat awam perlu menjauhkan diri dari kancah politik, demi menjaga integriti dan profesionalisma perkhidmatan awam, bagi memberikan perkhidmatan terbaik, tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan.

“Semua penjawat awam perlu bijak mendepani cabaran dan memberi tumpuan kepada menguruskan risiko dan sentiasa turun padang untuk melihat perkembangan,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan JPM itu menyatakan perkhidmatan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan prinsip penyampaian yang terbaik selaras dengan slogan “Saya Yang Menjalankan Amanah”, kerana rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada penjawat awam, untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Mengurus perubahan merupakan satu tugas yang sukar dan mencabar. Namun, dengan teraju Ketua Setiausaha Negara bersama 1.6 juta penjawat awam, tugas ini akan dilaksanakan dengan penuh amanah, bertanggungjawab, pantas, serta bebas dari kesilapan dan persepsi negatif,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penjawat awam sentiasa bersedia dengan kefahaman, komunikasi dan kaedah interaksi yang sesuai, dalam mendepani apa juga bentuk perubahan pasukan baharu kelak, ke arah mengukuhkan pentadbiran negara.

“Penjawat awam akan sentiasa mempunyai sifat berdaya tahan dan mudah untuk menyesuaikan diri dalam melaksanakan tanggungjawab kelak, bagi memenuhi ekspektasi rakyat selaku pemegang taruh (stakeholder) kepada pihak kerajaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MAIS contoh terbaik, perintis bantu asnaf LGBT

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bertindak proaktif dan menjadi perintis membantu golongan memerlukan termasuk asnaf dalam kalangan Lesbian, Gay, Biseksual dan Trangender (LGBT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, MAIS mendahului negeri lain di negara ini dalam perkara berkaitan dan ia menjadi contoh terbaik untuk diikuti.

“Bantuan zakat al-Riqab diberikan MAIS melalui perantaan mana-mana institusi, pusat, pertubuhan bukan kerajaan Islam dan individu perseorangan dibenarkan undang-undang serta hukum syarak.

“Ia berfungsi melaksanakan tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf al-Riqab antaranya LGBT sebagai golongan terbelenggu dengan gaya hidup songsang dan perlu dibimbing supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendirian kerajaan terhadap isu LGBT dan Queer serta usaha dilakukan bagi membendung gejala berkenaan.

Mujahid berkata, kerajaan bertegas amalan seperti LGBT tidak diterima sama sekali di negara ini dan konsep kekeluargaan kekal sebagai pasangan lelaki dan wanita berkahwin, mempunyai anak termasuk anak angkat.

Katanya, kerajaan mengambil maklum berkenaan penularan budaya LGBT yang semakin membimbangkan mutakhir ini.

“Malaysia memperuntukkan undang-undang sivil berkenaan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

“Ia termasuk Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri berkenaan perlakuan liwat, musahaqah dan orang lelaki berlagak seperti wanita sebagaimana termaktub di dalam Seksyen 25, Seksyen 26 dan Seksyen 28 di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Perselutuan) 1997 untuk membendung gejala LGBT,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jabatan Perdana Menteri tubuh badan khas, pantau rasuah kakitangan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JUN: Pusat Governans Intergriti dan Anti Rasuah (GIACC) ditubuhkan bagi memantau sebarang salah laku rasuah membabitkan kakitangan kerajaan.

Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, penubuhannya seiring hasrat Kerajaan Pakatan Harapan dalam memastikan tatakelola pentadbiran Putrajaya telus dan bebas rasuah.

“Pusat ini bertangunggjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksanakan berteraskan tadbir urus baik, intergriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

“Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui perdana menteri adalah untuk memastikan 21 janji berkaitan governans, integriti dan anti rasuah yang dikenalpasti terdapat dalam manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan, dalam fasa tertentu,” menurut JPM dalam kenyataannya.

JPM memaklumkan, penubuhan badan itu juga tidak akan menyebabkan berlakunya pertindihan bidang agensi lain sedia ada.

Sebaliknya, agensi rasuah lain akan distruktur semula mengikut kesesuian fungsi penubuhan GIACC.

Pada masa sama, GIACC bakal diterajui Mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang dipersetujui lantikannya oleh perdana menteri.

“Semua cadangan penambahbaikan oleh GIACC akan dibentangkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) untuk diputuskan.

“JKKMAR ini ditubuhkan dengan berperanan dalam penentuan dasar dan hala tuju governans, integriti dan anti rasuah di negara ini melalui kerangka Pelan Anti Rasuah yang bakal digubal kelak,” kata kenyataan itu.

Categories
NASIONAL

Tun Dr Mahathir jumpa warga Jabatan Perdana Menteri esok

PUTRAJAYA 20 MEI: Tun Dr Mahathir Mohamad buat pertama kalinya akan mengadakan perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini, esok.

Perdana Menteri dijadualkan tiba di Dataran Perdana kira-kira jam 8.30 pagi dan menyampaikan amanat kepada warga JPM pada perjumpaan bulanan bagi Mei, lapor BH ONLINE.

Ini adalah kali pertama Dr Mahathir memasuki Perdana Putra selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh pada 11 Mei lalu, berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain pertemuan pertamanya secara rasmi dengan penjawat awam.

Sebelum ini, semua mesyuarat dan pertemuan di Putrajaya termasuk bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Presint 8 di sini.

Terdapat 56 jabatan yang berada di bawah JPM, antaranya adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Selepas perjumpaan berkenaan, Dr Mahathir akan ke Istana Negara bagi menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Kabinet Baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang dijangka berlangsung pada jam 11 pagi.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mengumumkan senarai 15 anggota Kabinet PH di bawah pertadbirannya, membabitkan agihan portfolio antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dr Mahathir juga dijangka mula bertugas di pejabatnya di Perdana Putra, minggu ini.

Categories
NASIONAL

Pemusatan kuasa JPM patut dikurangkan elak birokrasi melampau

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu dikurangkan peranannya dengan mengembalikan beberapa tugasannya dan bajet kepada kementerian lain yang dikurangkan dalam Bajet 2016.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata pemusatan kuasa kepada JPM menyebabkan berlakunya karenah birokrasi sehingga menyusahkan kementerian lain menjalankan tugas dan rakyat.

putrajayaKatanya, tindakan JPM mengambil sebahagian besar daripada belanjawan seolah-olah kementerian lain tidak menjalankan tugasnya.

“JPM membolot banyak tanggungjawab contohnya mewujudkan SPAD yang sepatutnya diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan,” kata Tian Chua kepada Selangor Kini.

Beliau berkata Perdana Menteri disaran tidak lagi memegang jawatan Kementerian Kewangan kerana pemusatan kuasa menyebabkan peranan jawatan itu tidak efektif kerana bersifat ‘one man show’.

Kata Tian Chua, tindakan melantik Datuk Seri Sharizat Jalil sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita bertaraf Menteri di JPM dan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung Permata sebagai pembaziran wang rakyat.

Beliau turut mempertikaikan pelantikan Penasihat Perumahan, Penasihat Perhubungan Negara India dan China yang sepatutnya diletakkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kementerian Luar Negara.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Menteri JPM perlu turun padang selesai isu pentadbiran IPB dan kebajikan pelajar

Oleh: Rafizi Ramli

Institut Professional Baitulmal (IPB) adalah sebuah institusi pendidikan yang dimiliki secara majoriti oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di bawah tanggungjawab Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

IPB bertangungjawab menyediakan kursus-kursus professional di peringkat sijil dan diploma yang bertujuan memberi peluang kedua kepada pelajar-pelajar Islam yang tidak layak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebahagian besar dari pelajar-pelajar IPB mendapat bantuan zakat untuk membayar yuran yang dikenakan oleh IPB.

yb rafizi parlimenOleh yang demikian, IPB adalah sebuah institusi yang sensitif kepada umat Islam di negara ini kerana ia melibatkan pengurusan wang zakat.

Saya telah mendapat pelbagai maklumbalas dan aduan mengenai kemelut pentadbiran di IPB yang akhir-akhir ini telah memberi kesan kepada kelancaran perjalanan IPB dan kebajikan pelajar.

Saya sedang mengumpulkan semua maklumat ini dan akan dibawa kepada pihak media satu persatu.

Kepincangan yang paling terdesak yang perlu diambil tanggungjawab segera oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ialah keputusan IPB menempatkan sekitar 500 orang pelajar IPB di sebuah bangunan yang masih belum mendapat Sijil Kelayakan (Certificate of Fitness, CF), belum dilengkapi sepenuhnya dengan kemudahan dan belum mendapat bekalan air sepenuhnya – walaupun keputusan itu dibantah oleh pengurusan IPB.

Berikut adalah maklumat yang telah saya semak dengan pelajar-pelajar dan kakitangan IPB untuk mendapatkan kesahihan:

1. Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP yang juga Ahli Lembaga Pengarah IPB telah mengarahkan sekitar 500 pelajar ditempatkan di Pangsapuri Seri Warisan, Jalan Desa Utama 9/5, Seksyen 9, Kg Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang walaupun ditentang oleh Ketua Pegawai Eksekutif IPB kerana belum mendapat CF dan belum siap sepenuhnya.

2. Surat Majlis Perbandaran Sepang (MPS) pada 7 September 2015 mengesahkan bahawa CF masih belum dikeluarkan bagi premis tersebut.

3. Pada 6 September 2015, keseluruhan premis tiada bekalan air kerana dilaporkan Syabas masih belum meluluskan pemasangan paip air kerana tidak memenuhi spesifikasi Syabas.

4. Setiap unit kini menempatkan di antara 12 hingga 16 pelajar walaupun hanya sesuai menempatkan 8 hingga 10 pelajar kerana unit-unit di tingkat 4 dan 5 belum mempunyai kipas dan lampu.

5. IPB masih belum memutuskan terma sewaan dengan pemilik bangunan iaitu Syarikat Zikay Sdn Bhd dan masih belum ada perjanjian sewaan tetapi pelajar-pelajar telah diarahkan masuk ke premis tersebut.

Aduan-aduan dan maklum balas yang dibawa kepada saya menunjukkan ada campur tangan pihak-pihak lain dalam keputusan pengurusan IPB yang menimbulkan banyak masalah.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya menyeru supaya Dato’ Seri Jamil Khir turun padang dan melawat sendiri keadaan di premis tersebut.

Beliau juga harus duduk berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif IPB dan ahli-ahli Lembaga Pengarah untuk menyelesaikan kemelut pentadbiran di institusi itu kerana ia melibatkan pengurusan wang zakat.

* Rafizi Ramli adalah Naib Presiden/Setiausaha Agung PKR & Ahli Parlimen Pandan

Categories
NASIONAL

PKR: Tarik balik larangan liputan Malaysiakini & Malaysian Insider

SHAH ALAM 8 JULAI: Jabatan Perdana Menteri (JPM) digesa menarik balik larangan terhadap Malaysiakini dan The Malaysian Insider (TMI) yang tidak dibenarkan untuk membuat liputan media Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata difahamkan larangan tersebut berkuatkuasa hari ini tanpa sebab dan tarikh larangan akan ditarik balik.

FahmiKatanya, larangan terhadap dua media online ini bersifat punitif, anti-demokratik dan langsung tidak membantu membangunkan masyarakat madani yang mana salah satu terasnya adalah kebebasan media.

“Najib Razak harus ingat, di zaman media sosial ini rakyat Malaysia dan juga di seluruh dunia mendahagakan kebenaran dan menolak sebarang penipuan serta usaha untuk mengaburi mata rakyat.

“Beliau juga harus ingat, media yang bebas akan membantu memastikan wujud sekatan dan imbangan (checks and balances) dalam sesebuah pentadbiran,” kata Fahmi dalam kenyataan medianya.

Malaysiakini dilarang lagi daripada membuat liputan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya hari ini yang kedua dalam tempoh dua minggu.

Portal berita itu berada di sana untuk membuat liputan sidang media Perdana Menteri pada jam 10 pagi, seperti diumumkan oleh agensi berita nasional Bernama semalam.

EZY

Ketua Pembangkang anggap wajar naik gaji

1-MB umum 1/2 bulan gaji untuk kakitangan Kerajaan Selangor

2-Kenaikan gaji Exco, ADUN berpandukan JPM, Sarawak

3-Anwar : Tolak usul intipan tunjuk kerajaan Najib lemah

4-Khidmat bas percuma : Rakyat tempatan didahulukan

5-FOMCA : Negeri lain wajar contohi Selangor beri khidmat bas percuma

6-Menteri Perumahan gagal jawab 3 surat Exco Perumahan Selangor

7-Ketua Pembangkang Selangor anggap kenaikan saraan ADUN, MB wajar

8-Speaker tolak bahas usul tindakan COMANGO

9-‘PJ Safe Safety 4 All’, mantap keselamatan Petaling Jaya

10-MBSA bakal laksana sistem Pembuangan Sampah Bawah Tanah

11-Dua premis vcd lucah diserbu MPSJ

Categories
NASIONAL

5 ahli politik didakwa atas kesalahan rasuah hingga Ogos lalu

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 21 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap sembilan orang ahli politik yang dilaporkan terbabit dengan rasuah antara 2010 hingga Ogos lalu.

Daripada jumlah berkenaan, hanya lima orang daripada mereka didakwa di mahkamah dan kenyataan itu diberikan secara bertulis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Senator Paul Low bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Raml, pada sesi soal jawab Dewan Rakyat, semalam.

Rafizi Ramli Konvensyen Pendidikan Unisel 2013Jawapan pendek itu mengecewakan Rafizi dan beliau menyifatkan Paul cuba mengelak daripada menjawab soalan sebenar.

Rafizi mengutarakan soalan berkenaan jumlah laporan rasuah diterima terhadap ahli politik antara 2010 hingga kini dan jumlah siasatan yang dibuka.

Turut ditanya dalam soalan berkenaan adalah bilangan kes yang dihantar kepada Peguam Negara dan berapa kes berakhir dengan pendakwaan daripada jumlah terbabit.

“Soalan yang saya ajukan mengesahkan SPRM ada melakukan siasatan terhadap ahli politik tetapi kertas pendakwaan ditolak Peguam Negara. Oleh itu, statistik berapa siasatan ditolak Peguam Negara adalah penting untuk mengesahkan dakwaan SPRM selama ini bahawa Peguam Negara bertanggungjawab melindungi agensi itu.

“Walau bagaimanapun, keengganan SPRM dan Menteri JPM mengesahkan beberapa siasatan yang dibuka serta dihantar kepada Peguam Negara menunjukkan bahawa agensi itu juga tidak acuh dalam memerangi rasuah di kalangan ahli politik,” katanya.
-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Samseng MIC Didakwa Serang Peserta Himpunan Duduk Bantah 12-12-12

PUTRAJAYA, 12 DIS : Sekumpulan 30 samseng yang didakwa anggota MIC bertindak menyerang pemimpin Pakatan Rakyat(PR) di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya pagi tadi.

Insiden ini berlaku selepas pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai Naib Presiden PKR, N Surendran dibenarkan masuk bertemu Pengarah JPN Malaysia, Datuk Jariah Mohd Said berhubung masalah perolehan rakyat negara ini yang masih menggunakan kad pengenalan merah.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng menjadi mangsa tindakan agresif anggota kumpulan berkenaan sehingga ditolak pada bahagian badan ekoran perasaan tidak senang terhadap gerak kerja yang dilakukan pemimpin PR.

Surendran yang ditemui pada sidang media nyata kesal dengan kejadian berkenaan dan menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

“Polis secara sengaja membenarkan samseng-samseng daripada MIC masuk menyerang kita apabila kita keluar sahaja bilik pengarah Datuk Jariah.

“April kita datang ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), kami diserang dan hari ini sekali lagi.

“Apa yang mengejutkan polis bersekongkol dan membenarkan mereka menyerang kami,” katanya

Berhubung kad pengenalan, beliau meminta JPN membuat pertimbangan segera agar masalah ini dapat diselesaikan selain bersedia untuk memberikan kerjasama.

“Kita kecewa apabila Datuk Jariah berkata akan memberikan borang permohonan untuk warganegara kepada mereka. Kita bantah.

“Setelah kita jelaskan akhirnya pihak JPN bersetuju mengeluarkan borang permohonan kad pengenalan sahaja kerana mereka sudahpun warganegara,” katanya.

Hampir 300 pemohon hadir di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya sempena dengan ‘Himpunan Duduk Bantah 12-12-12’.

Mereka mula berkumpul di perkarangan tempat letak kereta sebelum berarak dan tiba di hadapan Gerbang Utama Jabatan Pendaftaran Negara pada jam 11.20 pagi.

Keadaan agak tegang ekoran penutupan pintu utama namun keadaan diredakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selepas sepuluh orang wakil pimpinan PR dibenarkan masuk berbincang.

Hasil perbincangan menyaksikan JPN bersedia menyediakan lebih daripada empat kaunter pemprosesan maklumat mereka yang belum memiliki kad pengenalan biru bagi tujuan semakan dan pendaftaran.

Antara pimpinan PR yang hadir termasuklah Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan beberapa Adun Selangor serta wakil parti komponen Pakatan Rakyat