Categories
AGENDA NASIONAL

Tahanan maut di IPD Gombak ada sejarah penyakit jantung

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Seorang tahanan polis maut selepas mengalami sesak nafas semasa ditahan bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata suspek lelaki berumur 43 tahun itu dibawa ke IPD berkenaan bagi tujuan pendokumentasian.

“Suspek terdahulu ditahan pada 11.20 pagi di hadapan pos pengawal sebuah premis kilang di Taman Selayang Baru, Gombak yang dilaporkan masih dikehendaki.

“Suspek tiba di IPD Gombak pada 11.40 pagi dan semasa berada di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Gombak, suspek mengalami sesak nafas dan pihak polis telah menghubungi Hospital Selayang untuk bantuan kecemasan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Arifai berkata petugas ambulans Hospital Selayang telah tiba di pejabat JSJ IPD Gombak untuk memberikan rawatan kecemasan.

“Penolong Pegawai Perubatan Hospital Selayang kemudiannya telah mengesahkan bahawa suspek telah meninggal dunia pada 12.30 tengah hari tadi (semalam),” katanya sambil menambah suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai sejarah rawatan penyakit jantung.

Menurut Arifai siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa kes Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Padah gunting rambut, lima lelaki ditahan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Polis menahan lima lelaki yang sedang menunggu giliran untuk menggunting rambut di sebuah kedai gunting yang beroperasi tanpa kebenaran di Gombak, semalam.

Kesemua mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan di sebuah premis di Batu 8 Jalan Lama Gombak, kira-kira jam 3 petang.

Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, aktiviti itu disedari sepasukan anggota Balai Polis Gombak yang menjalankan tugasan Op Covid-19 di kawasan tersebut.

“Serbuan dijalankan ke atas kedai itu kerana beroperasi tanpa kebenaran dan terdapat lima lelaki sedang memotong rambut dan menunggu giliran.

“Pihak polis mendapati mereka sengaja tidak mematuhi PKP, seterusnya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Gombak untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 13 April lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melarang operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara sepanjang pelaksanaan PKP.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pakar, badan bukan kerajaan dan rakyat.