Categories
SELANGOR

Kerajaan Persekutuan patut segera atasi isu insentif hasil padi

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 DIS: Isu Insentif Peningkatan Hasil (IPH) dihadapi petani di Sekinchan, dekat sini, memerlukan penyelesaian segera bagi membela golongan berkenaan.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta mengkaji perkara itu dan bertindak segera menyelesaikannya.

“Isu IPH ini dihadapi mereka agak lama dan dikatakan sudah tertangguh sejak tiga tahun lalu.

“Saya harap kementerian boleh memberi penjelasan mengenainya dan mengatasinya segera,” katanya kepada Selangor Kini di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang maklumat diperoleh mengenainya sama ada insentif itu masih diteruskan atau sebaliknya.

Katanya, usaha kerajaan bagi membantu petani disokong namun seharusnya ia tidak mendatangkan masalah sebagaimana dialami petani kini.

“Petani bergantung harap kepada bantuan sebegini untuk terus mengusahakan sawah dengan kos tinggi termasuk sewa dan sebagainya. Diharap masalah ini mampu diatasi segera,” katanya.

Difahamkan, isu IPH pernah dihadapi sebelum ini dengan petani mengadakan demonstrasi dan kerajaan menyelesaikan dengan pembayaran segera.

Berhubung bayaran subsidi, Suee Lim berkata, pembayaran tertangguh sebelum ini sudah diperoleh majoriti petani di situ baru-baru ini.

“Kita akan sentiasa memberi perhatian terhadap perkara ini supaya ia tidak mendatangkan masalah lagi kepada petani,” katanya.

Pada 10 Disember lalu, Suee Lim bersama kira-kira 100 petani dari Sekinchan mengadakan himpunan di hadapan kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sana, supaya masalah pembayaran subsidi dan IPH diselesaikan segera.

Suee Lim tidak menolak kemungkinan petani akan mengadakan himpunan beramai-ramai di Putrajaya sekiranya tiada jalan penyelesaian.

EZY

Subsidi padi tertunggak, petani mungkin demo di Putrajaya


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digesa selesaikan masalah pembayaran subsidi dan Insentif Peningkatan Hasil (IPH) petani yang tertangguh.