Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus di Ipoh yang tular tidak benar

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menafikan berita yang tular dalam media sosial kononnya kes novel koronavirus (2019-nCoV) telah dikesan di Ipoh.

Beliau berkata cerita di media sosial kononnya seorang pelajar dari Wuhan yang kembali ke Malaysia dan telah masuk Ward di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh kerana positif 2019-nCoV adalah tidak benar.

Keputusan ujian makmal IMR mengesahkan negatif untuk 2019-nCoV, katanya.

“Saya ingin sarankan agar netizen di media sosial jangan tularkan dan cetuskan berita palsu yang tidak benar atau belum disahkan,” katanya dalam laman Facebook, hari ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

MetMalaysia: Gegaran, dentuman di Ipoh bukan gempa bumi

IPOH 4 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menafikan gegaran dan dentuman kuat yang berlaku di sekitar Ipoh dan daerah berdekatan berpunca daripada gempa bumi.

Ketua Pengarah METMalaysia, Alui Bahari, ketika dihubungi memaklumkan tiada amaran gempa bumi dikesan melalui alat pengesanan gegaran gempa.

“Kami turut menerima maklumat awam mengenai gegaran itu namun buat masa ini tiada gempa bumi dikesan menjadi punca kepada gegaran itu di Perak,” katanya, lapor BH ONLINE.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian satu dentuman kuat berserta gegaran yang berlaku di bandar raya ini pagi tadi sehingga menimbulkan tanda tanya dan panik dalam kalangan orang ramai.

Dentuman seperti letupan dan gegaran sekitar jam 11 pagi tadi itu turut didakwa didengari dan berlaku hingga ke beberapa kawasan lain termasuk di Taiping.

Kejadian itu turut menarik perhatian netizen yang turut mencari punca dentuman itu, malah ada yang turut mengaitkannya dengan gempa bumi yang berlaku di Indonesia.

Ada juga yang mengaitkan dentuman itu berpunca daripada latihan oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, Komandan Akademi Tentera Udara (ATU), Kolonel Abdul Nazar Abdul Hamid ketika dihubungi turut menafikan dentuman dan gegaran itu berpunca daripada aktiviti latihan pasukan itu.

Katanya, beliau sudah menyemak dengan pegawainya dan memaklumkan tiada sebarang aktiviti latihan menggunakan bahan letupan dijalankan pasukan itu.

SUMBER: BH ONLINE

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Penduduk di Perak panik dengan bunyi letupan disusuli gegaran

IPOH, 4 OKT: Penduduk di beberapa kawasan di Perak khususnya Ipoh panik seketika apabila mendengar bunyi letupan disusuli dengan merasai gegaran sekitar pukul 11 pagi tadi.

Insiden itu turut tular dan menjadi persoalan di media sosial apabila terdapat netizen mendakwa gegaran itu disebabkan proses pemecahan batu di kawasan kuari di Simpang Pulai di sini.

Selain itu, ada tular bahawa letupan tersebut adalah latihan serangan menggunakan bom hidup yang dijalankan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bagaimanapun pihak TUDM tidak menerima maklumat mengenai latihan berkenaan.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Jabatan Metreologi Malaysia memaklumkan pihaknya masih belum mendapat maklumat yang sahih mengenai kejadian itu.

“Jabatan Metreologi akan memaklumkan sekiranya ada perkara yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Abdul Rani Alias berkata pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut.

Seorang pengasuh di sebuah taska di sini, Raja Azura Raja Abdullah, 24, berkata beliau mendengar bunyi letupan dan merasai gegaran ketika sedang memberi makanan kepada anak-anak asuhannya kira-kira pukul 11 pagi tadi.

“Bunyi letupan itu tidak berapa kuat sangat tetapi gegaran itu memang terasa sebab ketika itu saya tengah sibuk bagi budak-budak makan,” katanya.

Seorang penduduk yang tinggal di Taiping berkata beliau mendengar bunyi letupan kuat ketika berada di pejabatnya.

“Saya dan mak terkejut dengar bunyi letupkan kuat, tetapi bunyi tak lama sangat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA