Categories
SELANGOR

Perarakan kereta berhias bakal warnai Pesta Tanglung PJ

kereta berhias pesta tanglung

PETALING JAYA 12 SEPT: Pelbagai program menarik termasuk perarakan kereta berhias, persembahan tarian singa dan orkestra bakal memeriahkan Pesta Tanglung Petaling Jaya 2013.

Pesta pada 21 September 2013 di Cempaka Buddhist Lodge itu anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena sambutan perayaan kuih bulan yang disambut masyarakat Cina negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa sambutan itu, Ir Lee Suet Sen, berkata ia bertujuan bagi memperkenal kebudayaan dan adat istiadat kaum Cina kepada orang ramai.

Program tahunan itu turut menganjurkan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan mencipta tanglung khusus kepada pengunjung.

“Semua dijemput untuk hadir bagi memeriahkan sambutan. Ia memberi pemahaman kepada kaum lain mengenai sambutan perayaan kuih bulan,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat MBPJ hari ini.

Pada sambutan sama tahun lalu, lebih 7,000 masyarakat berbilang bangsa hadir dalam pesta bermula petang sehingga lewat malam.

– FZL