Categories
SELANGOR

Kes AmBank: Irwan, anak terkesan sambut Aidlifitri tanpa Norazita

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 JULAI: Walaupun redha dengan takdir yang menimpa diri, namun Irwan Kamaruddin, 38, tetap tersentuh di saat menghitung hari menyambut ketibaan Aidilfitri kira-kira seminggu lagi.

Irwan bersama dua anaknya, Nor Nisha Nabila, 13, dan Muhammad Hazimi, 9, akan menyambut Aidilfitri buat kali pertama tanpa insan tersayang, Norazita Abu Talib, yang meninggal dunia akibat ditembak penjenayah dalam satu kejadian rompakan di AmBank Subang Jaya, pada 23 Oktober 2013.

Terlalu banyak kenangan manis ditempuh Irwan bersama arwah isterinya sepanjang 14 tahun mereka mengharungi hidup sebagai suami isteri dan segalanya pasti terpahat kukuh sebagai kenangan terindah dalam hidupnya.

r1Tiada lagi saat indah menikmati bersama hidangan rendang masakan ibu yang digemari arwah isterinya di pagi Aidilfitri yang disambut saban tahun di kampung halaman di Kampar, Perak.

Irwan, seorang pemandu peribadi, menjelaskan sambutan Aidilfitri tahun ini memang amat berbeza tanpa kehadiran Norazita yang sentiasa melakukan persiapan rapi untuk hari mulia itu.

“Aidilfitri tahun ini ala kadar sahaja. Saya hanya belikan baju sepasang seorang untuk dua anak saya. Kami akan pulang ke kampung di Kampung Air Terjun, Batu Berangkai untuk meraikan lebaran ini bersama keluarga saya dan mentua kerana kampung arwah dekat saja di Kampung Air Hitam Labu yang juga di Kampar.

“Ia berbeza sekali ketika arwah ada bersama kerana sebagai wanita, dia akan pastikan segala persiapan dibuat bagi menyambut Aidilfitri daripada segi pakaian, biskut dan makanan raya serta yang lain.

r3“Bekalan biskut dan makanan raya juga disediakan secukupnya untuk sambutan Aidilfitri di rumah kami dan kampung,” katanya kepada Selangor Kini ketika ditemui di rumahnya di Subang Suria, di sini.

Irwan mengakui ketika ini tumpuannya lebih terarah menghadapi Ramadan berbanding Syawal dengan menyiapkan segala keperluan untuk diri dan dua anaknya dalam menjalani ibadah Ramadan.

Irwan berkata, dia tetap terkenangkan segala ditempuh bersama arwah terutama dalam membuat persiapan untuk sambutan Aidilfitri.

“Untuk menyambut Aidilfitri, memang arwah banyak membuat persiapan. Salah satu yang disukai adaalah membeli belah dan ia memang detik indah bersama dan akan saya kenang selamanya,” katanya.

Irwan berkatam kenangan bersama arwah amat mendalam kerana hubungan antara mereka terjalin sejak kecil ekoran jarak kampung yang hampir dan berterusan hingga dewasa membibitkan rasa cinta lalu menempuh gerbang perkahwinan.

“Mungkin tidak terlintas di hati saya mencari cinta baru. Saya dan anak juga akan menziarahi pusara arwah pada Aidilfitri ini,” katanya.

ambankSementara itu, Muhammad Hazimi yang duduk di sisi bapanya turut mencelah mengatakan adakala dia termimpikan arwah ibunya.

Norazita terkorban dalam satu kejadian rompakan apabila suspek yang juga pengawal keselamatan menembaknya menggunakan senjata api jenis ‘pump gun’ sebelum melarikan wang RM450,000 dari peti besi bank berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa bersama tiga pekerja bank wanita diiringi pengawal keselamatan terbabit untuk mengeluarkan wang daripada bilik kebal.

-NFN-