Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ambank Group semak naik KDNK 2021 kepada 5.6-6.0 peratus

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: AmBank Group Bhd menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021 kepada 5.5-6.0 peratus daripada 5.2-5.9 peratus, sebelum ini.

Semakan itu susulan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu yang mengesahkan peningkatan semula ekonomi lebih kukuh bagi tahun ini, disokong oleh aktiviti domestik, pemulihan permintaan luar serta asas yang rendah.

Dalam kenyataan pada Khamis, Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidikan AmBank Group, Anthony Dass berkata bank tersebut turut menyemak semula unjuran inflasi kepada 3.0-3.5 peratus (sebelum ini 1.8-2.1 peratus) selepas BNM bertindak meneliti semula inflasi kepada 2.5-4.0 peratus berikutan peningkatan tekanan akibat kos atau membabitkan bekalan.

“Biarpun prospek inflasi lebih tinggi pada suku kedua 2021, kami masih berpendapat bahawa BNM tidak akan mengubah kadar dasar semalaman (OPR) semasa pada 1.75 peratus.

“Sebahagian besar daripada tekanan inflasi itu adalah disebabkan oleh kos atau bekalan serta kekurangan permintaan. Oleh itu, memandangkan ekonomi dalam peringkat untuk pulih, aspek gaji kekal menjadi cabaran selain pasaran pekerjaan,” katanya.

Bersandarkan alasan itu berserta tempoh akan datang membabitkan prospek inflasi bagi separuh kedua 2021, AmBank turut menjangkakan bahawa OPR tidak berubah pada 1.75 peratus.

“Sebarang pelarasan kenaikan dijangkakan hanya berlaku pada suku pertama 2022,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Hanya moratorium bersasar, tiada lanjutan menyeluruh – Ambank

KUALA LUMPUR, 30 JUN: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) berhasrat menyediakan moratorium bersasar bagi pembayaran semula pinjaman bank kepada pelanggannya selepas tempoh moratorium selama enam bulan berakhir, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sulaiman Mohd Tahir.

Beliau berkata lanjutan pelepasan pembiayaan secara menyeluruh bukanlah langkah wajar, mengambil kira persekitaran yang berbeza semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika kes Covid-19 memuncak, berbanding pasca PKP apabila perniagaan kembali menyambung semula operasi dalam fasa pemulihan.

“Kita perlu melihat kepada segmen tertentu dan kumpulan rakyat yang memerlukannya. Saya pasti bank berada dalam kedudukan untuk turut membantu, dari segi mereka yang amat terjejas akibat (pandemik itu).

“Bagaimanapun, saya rasa tidak wajar untuk memberikan moratorium menyeluruh seperti yang kita laksanakan sebelum ini, kerana pada masa itu, ketika PKP, situasinya agak teruk.

“Namun, keadaan telah berubah. Pasca PKP, kita menyaksikan aktiviti dan perniagaan meningkat; malah, beberapa perniagaan di luar sana berkata mereka tidak lagi memerlukan moratorium kerana telah memulakan aktiviti seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar maya selepas mengumumkan keputusan kewangan kumpulan bagi 2020 semalam.

Kelmarin, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata lanjutan moratorium bersasar adalah terpulang kepada bank, sambil menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian.

Beliau berpendapat bahawa bank perlu mengkaji bantuan yang disasarkan tetapi menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian berikutan ia dalam bidang kuasa mereka.

Sementara itu, keuntungan bersih AmBank Group merosot 10 .9 peratus kepada RM1.34 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2020 berikutan pendapatan suku akhirnya terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, perolehan menokok kepada RM9.32 bilion daripada RM9.12 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan pertumbuhan pendapatan faedah bersih dan pendapatan bukan faedah.

Pinjaman kasar dan asas pembiayaan kumpulan meningkat 5.3 peratus tahun ke tahun kepada RM107.2 bilion dengan pertumbuhan yang pelbagai dalam semua segmen dan produk, tanpa pembiayaan auto. Dengan pengecualian pembiayaan auto, pinjaman kasar kumpulan itu tumbuh 8.7 peratus pada tahun kewangan 2020.

Pinjaman gadai janji sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan pinjaman meningkat RM2.4 bilion atau 7.0 peratus pada tahun ini. Ini diikuti pinjaman kepada segmen PKS dan korporat pertengahan, pinjaman perbankan perniagaan bertambah 12.9 peratus, korporat pertengahan 9.5 peratus dan PKS runcit 34.8 peratus.

Sulaiman berkata bank itu menyasarkan pertumbuhan pinjaman antara 3.0 peratus dan 4.0 peratus bagi tahun kewangan ini iaitu lebih tinggi daripada pertumbuhan industri yang dijangkakan iaitu antara 0.4 peratus dan -2.5 peratus.

Menurutnya, pertumbuhan pinjaman tidak mencatatkan perubahan pada masa ini kerana tidak banyak aktiviti di pasaran dan kumpulan itu masih mempunyai beberapa pembayaran balik.

“Ia akan mengambil sedikit masa untuk ekonomi pulih kembali. Sudah pasti, kami berharap pemulihan berbentuk V agar kami boleh menjalankan perniagaan, namun ini adalah persoalan mengenai sistem dan situasi di dunia.

“Kami agak positif melihat unjuran dalam bulan terbaharu, terutamanya selepas PKP. Kami melihat sebahagian permohonan daripada sektor-sektor tertentu seperti pengilangan untuk membeli jentera. Ia adalah isyarat positif dan kami berharap ia akan berterusan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
EKSKLUSIF NASIONAL

AmBank benar tangguh bayaran berikutan koronavirus

KUALA LUMPUR, 11 FEB: AmBank Group menawarkan penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak koronavirus 2019.

AmBank dalam satu kenyataan berkata pelanggan terjejas boleh menghubungi pihak bank, yang kemudiannya menilai dan mempertimbangkan membuat penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata sebagai bank yang prihatin, AmBank bersimpati terhadap nasib pelanggannya, khususnya individu dan PKS terjejas.

“AmBank komited untuk membantu mereka dalam saat-saat yang menguji ini,” kata beliau.

Sementara itu, bahagian insurans dan takaful kumpulan, AmMetLife dan AmMetLife Takaful memperkenalkan bantuan kewangan yang mampu menyokong pemilik polisi.

Kedua-dua syarikat menawarkan liputan ke atas kemasukan ke hospital disebabkan oleh koronavirus 2019 melalui beberapa hospital kerajaan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Untuk maklumat lanjut atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi 03-2178 8888 atau menghantar e-mel kepada bank pada [email protected] atau kunjungi cawangan berhampiran.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

BNM: Kami bukan punca Ambank-RHB gagal gabung

KUALA LUMPUR 27 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan ia tidak pernah dan tidak akan campur tangan dalam rundingan antara mana-mana pihak berkaitan dengan penggabungan dan pengambilalihan dalam industri perbankan termasuk perbincangan membabitkan Ambank-RHB yang berakhir dengan kegagalan.

Bernama memetik kenyataan BNM berkata aktiviti-aktiviti ini didorong oleh pasaran, yang mana sebahagian besarnya berdasarkan kepada pertimbangan komersial dan perniagaan dan bank pusat memainkan peranan sebagai pembantu dalam memudahkan proses penggabungan.

BNM berkata demikian sebagai reaksinya kepada sebuah artikel akhbar tempatan yang bertajuk “What led to the collapse of Ambank-RHB deal” yang disiar kelmarin, yang mana bank pusat menganggapnya sebagai tidak tepat dan boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri perbankan.

“Dalam melaporkan perkara seperti itu, memberikan pandangan yang adil dan seimbang perlu menjadi norma pemberita. Apa-apa sindirin atau tuduhan yang dibuat terhadap pihak-pihak tertentu perlu disertakan dengan komen dan maklum balas daripada pihak-pihak terbabit.

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM)“Penggabungan dalam sektor perbankan dipacu terutamanya oleh pertimbangan perniagaan institusi perbankan itu sendiri.”

Justeru kata BNM, amatlah tidak tepat dan malahan tidak wajar bagi artikel itu untuk merumuskan yang janji niaga itu nampaknya gagal kerana bank pusat adalah satu-satunya pihak yang mendesak ia dilaksanakan.

BNM menambah pemberita perlu adil, bertanggungjawab dan profesional dalam penyelidikan dan ulasan mereka.

BNM berkata ia memberikan kelulusan kepada pihak-pihak terbabit untuk membincangkan dan merundingkan janji niaga itu dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Semasa tempoh ini, pihak-pihak akan menjalankan penilaian menyeluruh bagi penggabungan itu selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.

“Ini termasuk penilaian potensi sinergi, serta risiko yang timbul daripada model perniagaan, operasi dan sistem mereka masing-masing dan selepas mengambil kira analisis menyeluruh dari segi maklumat kewangan dan bukan kewangan,” kata BNM.

Bank pusat berkata, ia juga merupakan tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah entiti masing-masing untuk memastikan penggabungan itu akan mengambil kira kepentingan terbaik pemegang kepentingan, terutamanya pendeposit dan pemegang saham.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

RHB Bank dan AmBank tak jadi bergabung

KUALA LUMPUR 23 OGOS: RHB Bank Bhd (RHB Bank) dan AMMB Holdings Bhd (AmBank) menamatkan cadangan penggabungan hasrat kedua-dua institusi kewangan itu.

Hasil daripada perbincangan, RHB Bank dan Ambank tidak dapat mencapai persetujuan berhubung terma dan syarat boleh diterima pakai untuk cadangan penggabungan.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, beliau mengucapkan penghargaan kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Kumpulan AmBank atas kerjasama mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir ingin mengambil kesempatan untuk menghargai pihak terlibat dalam perbincangan selama tiga bulan lalu.

“Kami tetap memberi tumpuan kepada rancangan perniagaan tahun kewangan 2018 AmBank selaras dengan strategi untuk menjadi bank keempat terbesar di Malaysia.

“AmBank akan terus berusaha untuk mengendalikan bank dengan lebih baik di samping memberikan pulangan optimum kepada para pemegang saham kami,” katanya dalam kenyataan bersama di sini.

Sebelum ini, kedua-dua bank itu memohon penggantungan urus niaga saham dipercayai susulan pengumuman khas bakal dibuat institusi perbankan itu.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Kaunter AMMB, RHB Bank gantung urus niaga

KUALA LUMPUR 22 OGOS: Saham RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd digantung urus niaga di Bursa Malaysia, hari ini dari jam 9 pagi hingga 5 petang, bagi memberi laluan kepada satu pengumuman.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia semalam, kedua-dua syarikat mengumumkan semua waran berkaitan RHB Bank dan AMMB juga akan digantung urus niaga pada waktu sama.

Ia berkata, permohonan bagi penggantungan adalah bagi kedua-dua syarikat menyambung rundingan bagi kemungkinan mengadakan penggabungan perniagaan, selepas mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia pada 1 Jun 2017.

AMMB ditutup mendatar pada RM4.70 dengan 4.14 juta saham bertukar tangan hari ini, manakala RHB susut tujuh sen kepada RM4.88 dengan 458,200 saham bertukar tangan lapor BERNAMA.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kes AmBank: Irwan, anak terkesan sambut Aidlifitri tanpa Norazita

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 JULAI: Walaupun redha dengan takdir yang menimpa diri, namun Irwan Kamaruddin, 38, tetap tersentuh di saat menghitung hari menyambut ketibaan Aidilfitri kira-kira seminggu lagi.

Irwan bersama dua anaknya, Nor Nisha Nabila, 13, dan Muhammad Hazimi, 9, akan menyambut Aidilfitri buat kali pertama tanpa insan tersayang, Norazita Abu Talib, yang meninggal dunia akibat ditembak penjenayah dalam satu kejadian rompakan di AmBank Subang Jaya, pada 23 Oktober 2013.

Terlalu banyak kenangan manis ditempuh Irwan bersama arwah isterinya sepanjang 14 tahun mereka mengharungi hidup sebagai suami isteri dan segalanya pasti terpahat kukuh sebagai kenangan terindah dalam hidupnya.

r1Tiada lagi saat indah menikmati bersama hidangan rendang masakan ibu yang digemari arwah isterinya di pagi Aidilfitri yang disambut saban tahun di kampung halaman di Kampar, Perak.

Irwan, seorang pemandu peribadi, menjelaskan sambutan Aidilfitri tahun ini memang amat berbeza tanpa kehadiran Norazita yang sentiasa melakukan persiapan rapi untuk hari mulia itu.

“Aidilfitri tahun ini ala kadar sahaja. Saya hanya belikan baju sepasang seorang untuk dua anak saya. Kami akan pulang ke kampung di Kampung Air Terjun, Batu Berangkai untuk meraikan lebaran ini bersama keluarga saya dan mentua kerana kampung arwah dekat saja di Kampung Air Hitam Labu yang juga di Kampar.

“Ia berbeza sekali ketika arwah ada bersama kerana sebagai wanita, dia akan pastikan segala persiapan dibuat bagi menyambut Aidilfitri daripada segi pakaian, biskut dan makanan raya serta yang lain.

r3“Bekalan biskut dan makanan raya juga disediakan secukupnya untuk sambutan Aidilfitri di rumah kami dan kampung,” katanya kepada Selangor Kini ketika ditemui di rumahnya di Subang Suria, di sini.

Irwan mengakui ketika ini tumpuannya lebih terarah menghadapi Ramadan berbanding Syawal dengan menyiapkan segala keperluan untuk diri dan dua anaknya dalam menjalani ibadah Ramadan.

Irwan berkata, dia tetap terkenangkan segala ditempuh bersama arwah terutama dalam membuat persiapan untuk sambutan Aidilfitri.

“Untuk menyambut Aidilfitri, memang arwah banyak membuat persiapan. Salah satu yang disukai adaalah membeli belah dan ia memang detik indah bersama dan akan saya kenang selamanya,” katanya.

Irwan berkatam kenangan bersama arwah amat mendalam kerana hubungan antara mereka terjalin sejak kecil ekoran jarak kampung yang hampir dan berterusan hingga dewasa membibitkan rasa cinta lalu menempuh gerbang perkahwinan.

“Mungkin tidak terlintas di hati saya mencari cinta baru. Saya dan anak juga akan menziarahi pusara arwah pada Aidilfitri ini,” katanya.

ambankSementara itu, Muhammad Hazimi yang duduk di sisi bapanya turut mencelah mengatakan adakala dia termimpikan arwah ibunya.

Norazita terkorban dalam satu kejadian rompakan apabila suspek yang juga pengawal keselamatan menembaknya menggunakan senjata api jenis ‘pump gun’ sebelum melarikan wang RM450,000 dari peti besi bank berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa bersama tiga pekerja bank wanita diiringi pengawal keselamatan terbabit untuk mengeluarkan wang daripada bilik kebal.

-NFN-