Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan yakin penduduk Kampung Bharu setuju dengan tawaran baharu

MARANG, 27 OKT: Kerajaan yakin penduduk Kampung Baru akan bersetuju dengan tawaran baharu yang diberikan untuk membeli tanah bagi pembangunan semula di kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata hal ini kerana harga RM1,000 bagi setiap kaki persegi itu merupakan tawaran yang cukup baik dan adil.

“Saya cukup yakin bahawa oleh kerana ianya satu tawaran yang baik dan adil, orang Kampung Baru akan mahu duduk berbincang dan mencapai satu persetujuan. Saya yakin orang Kampung Baru boleh melakukannya.

“Tawaran ini juga akan menghasilkan beribu jutawan Melayu yang boleh membawa penambahan hak milik Melayu di Kuala Lumpur yang mana sekarang ini jumlahnya mungkin tidak ramai, tetapi apabila kita bangunkan, dan semuanya untuk orang Melayu maka lagi ramai lah orang Melayu memiliki tanah di Kuala Lumpur. Ini tujuan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Kampung Pak Madah di Bukit Payong di sini hari ini.

Khalid pada Khamis mengumumkan kerajaan menawarkan RM1,000 bagi setiap kaki persegi, yang mana RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan bentuk pulangan yang dipilih pemilik manakala baki RM150 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham ke atas Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Sebelum itu, pada 21 Sept lepas, Khalid mengumumkan kerajaan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi bagi pengambilan tanah tersebut, namun sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal memandangkan lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

Sementara itu dalam ucapannya, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara meminta Pakatan Harapan (PH) di Terengganu bertindak sebagai pembangkang yang membina dan memantau bagaimana kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS menggunakan Wang Tunai Petroleum (WTP) yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.

“Kita hendak tentukan ianya (WTP) digunakan dengan baik dan bukan kepentingan politik mereka,” katanya.

Katanya pembayaran WTP itu juga membuktikan kerajaan PH menunaikan janji dan membuat sesuatu keputusan mengikut peraturan serta undang-undang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini mengesahkan kerajaan Terengganu telah menerima sebanyak RM1.277 bilion WTP sejak Jan hingga Sept lepas.

Ahmad Samsuri berkata RM1.277 bilion itu adalah jumlah selepas Kementerian Kewangan memotong hutang kerajaan negeri 25 peratus, bersamaan dengan RM129 juta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik tanah Kampung Baru mahu jumpa menteri

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Kumpulan Pemilik-pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru (Pewaris) mahu satu pertemuan diadakan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terperinci mengenai situasi sebenar berhubung penjualan tanah di Kampung Baru.

Setiausaha Pewaris, Zainuddin Ismail berkata, kerajaan sewajarnya mengambil kira pendapat pemilik tanah dan bukan hanya melalui maklumat daripada Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) yang diperolehi hanya daripada kajian soal selidik.

“Itu yang saya kata tadi, kerajaan tidak refer pada penduduk. Dia dengar sebelah pihak, bila dengar sebelah pihak, maklumat pun tak betul lah. Kami sendiri pun terperanjat dengan maklumat tu.

“Itu sebab kami betul-betul mahu pertemuan hati ke hati bersama menteri supaya kami boleh membuat pencerahan segala maklumat yang tidak betul ini dan meredakan ketegangan pada peringkat bawahan,” katanya pada sidang media Pewaris, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan dakwaan bahawa kira-kira 90 peratus pemilik tanah Kampung Baru bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi pada 2 Oktober lepas adalah tidak mewakili keseluruhan pemilik tanah berkenaan.

Pada 2 Oktober lepas, Bernama melaporkan Khalid berkata, PKB telah menerima kira-kira 700 hingga 800 borang daripada penduduk Kampung Baru berhubung pembangunan semula kawasan itu dan daripada jumlah borang itu, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi.

Khalid semalam bagaimanapun menjelaskan bahawa 90 peratus yang dimaksudkan adalah pemilik yang bersetuju menjual dan bersetuju dengan Projek Pembangunan Kampung Baru itu, tetapi mahukan harga yang lebih tinggi.

Kumpulan Pewaris dalam pada itu turut mencadangkan kerajaan mengaplikasi ‘Model Usaha Bersama’ bagi membangunkan semula Kampung Baru melalui penglibatan pemilik tanah, kerajaan dan pemaju.

“Ini penting agar ketiga-ketiga pemain utama pembangunan itu boleh membuat ‘check and balance’ (semak dan imbang) untuk mengelakkan sebarang penyelewengan dan penipuan di samping dapat memberi keyakinan kepada pihak bank menyediakan kemudahan pinjaman,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khalid jumpa Dr Mahathir bincang tawaran Kampung Baru

PUTRAJAYA, 3 OKT: Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad akan bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan mengenai tawaran kerajaan kepada pemilik tanah Kampung Baru ketika pemukiman pemimpin Pakatan Harapan (PH) hujung minggu ini.

Beliau berkata sama ada tawaran lebih baik boleh diberikan, berbanding tawaran RM850 bagi setiap kaki persegi sebelum ini, bergantung kepada perbincangan tersebut.

“Jadi saya akan bercakap dengan Tun (Dr Mahathir), sebaik saja saya sahkan dan akan kata ini merupakan tawaran terakhir, kalau mereka terima Alhamdulillah, kalau tak terima apa saya boleh buat? Itu hak mereka.

“Kalau terima kita teruskan, kalau tak terima mungkin saya kena jumpa seorang demi seorang, dalam kumpulan kecil bagi menerangkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Tindakan Putrajaya Bandar Pintar di sini hari ini, apabila ditanya berhubung perkembangan cadangan pembangunan semula Kampung Baru.

Khalid berkata beliau akan turut melihat sama ada terdapat kemungkinan tawaran juga boleh diberikan dalam bentuk saham daripada projek pembangunan Kampung Baru.

“Katakanlah setiap orang diberikan saham dalam pembangunan itu, sekiranya projek itu berjaya dan mencapai keuntungan, maka semua orang akan dapat manfaat daripadanya kerana kita khuatir kalau kita tawarkan satu harga yang terlalu tinggi, ianya akan menjejaskan daya maju projek itu.

“Kita kena tentukan tawaran yang dibuat munasabah dan boleh menjamin keuntungan, bukan sekadar keuntungan, tetapi juga kebolehlaksanaannya dan tidak rugi,” katanya.

Mengenai cadangan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) supaya kaedah pajakan diguna pakai sebagai alternatif untuk menyelesaikan kemelut tanah Kampung Baru, Khalid berkata kaedah itu agak sukar untuk dilaksanakan.

“Apa akan berlaku ialah semua penduduk Kampung Baru takkan dapat nilai tanah mereka kerana kita sewakan bukan jual.

“Yang kedua, pajakan bererti selepas habis tempoh itu orang yang dah majukan bina rumah, bangunan dan sebagainya kena serahkan balik. Adakah pemaju sanggup begitu? Belanja bina bangunan selepas itu serah balik kepada penduduk,” katanya.

Semalam, Khalid dilaporkan berkata daripada 700 hingga 800 borang yang diterima Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) daripada penduduk Kampung Baru berhubung pembangunan semula kawasan itu, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.

-BERNAMA