Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan perlu yakinkan pelabur, elak pengangguran bertambah

SHAH ALAM, 15 FEB: Kerajaan digesa bijak mengembangkan prospek ekonomi bagi memastikan masalah pengangguran tidak terus meningkat.

EXCO pembangunan usahawan berkata pendekatan itu perlu dalam keadaan negara berdepan ancaman Covid-19 sebagai langkah meyakinkan dan menarik pelabur sekali gus membantu peningkatan ekonomi.

“Keadaaan pasaran buruh merosot disebabkan pengaruh krisis kesihatan dan kesan ekonomi. Kebanyakan syarikat membekukan pengambilan pekerja kerana tidak yakin dengan pertumbuhan.

“Sekiranya tidak ditangani dengan sebaiknya ia berkemungkinan akan terus memperlahankan momentum pemulihan pasaran buruh,” kata Rodziah Ismail menerusi Facebook.

Pada 8 Februari lalu, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah pengangguran meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember tahun lalu berdasarkan perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurutnya, bilangan penduduk bekerja pula meningkat 0.1 peratus atau 19,300 orang kepada 15.22 juta orang selepas mencatatkan penurunan kecil pada bulan sebelumnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengangguran antara isu menarik dalam Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Isu pengangguran adalah antara perkara yang bakal dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dijadual mengemukakan soalan kepada Menteri Sumber Manusia berhubung unjuran kadar pengangguran negara dan anggaran jumlah penduduk yang menganggur sehingga akhir tahun ini.

Ketua pembangkang itu juga mahu tahu mengenai langkah diambil kementerian berkenaan dalam mengatasi lonjakan kenaikan kadar pengangguran ketika sesi soal jawab lisan.

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula dijangka bertanyakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai penyalahgunaan lesen perniagaan seperti menjual dan menyewa lesen perniagaan kepada warga asing, serta strategi dalam memastikan ia tidak berulang pada masa depan.

Sidang dewan yang memasuki hari kelima hari ini juga bakal menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Guna hasil cukai atasi masalah rakyat hilang kerja

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan hasil cukai bagi menampung keperluan hampir 1.5 juta rakyat yang hilang pekerjaan akibat Covid-19, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden KEADILAN berkata pendekatan itu penting supaya isu pengangguran ditangani seterusnya negara tidak berdepan masalah sosial dan ekonomi.

“Selaku pemerintah bertanggungjawab, meraka harus mengambil tindakan segera supaya hal ini tidak berlaku,” katanya ketika sesi siaran langsung menerusi Facebook malam ini.

Dalam isu berkaitan, Anwar berkata ahli akademik dan profesional pula perlu bekerjasama untuk mengkaji dasar lebih jelas bagi menentukan hala tuju negara terutama dalam bidang pertanian, alam sekitar dan kesihatan.

Beliau juga percaya negara mampu menjimatkan perbelanjaan secara berperingkat kerana dianggarkan hampir RM52 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk mengimport makanan.

“Keupayaan hospital sedia ada juga perlu diteliti semula bagi memenuhi keperluan tambahan pada masa hadapan dengan peningkatan masalah kesihatan seperti kencing manis dan obesiti,” kata ahli parlimen Port Dickson.