Categories
EXCO SELANGOR

Kerjasama semua perlu tangani sampah haram, tambak pecah

PETALING JAYA, 14 JAN: Ir Izham Hashim berasa kecewa dengan isu pembuangan sampah haram yang sering berulang di Sungai Klang hingga mengakibatkan tambak sungai dibina Kerajaan Negeri musnah.

EXCO infrastruktur kemudahan awam permodenan pertanian dan industri asas tani berkata semua pihak perlu bekerjasama membuat pemantauan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya insiden itu dapat ditangani.

“Kita menerima aduan longgokan sampah domestik dan industri yang sering dibuang ke kawasan tebing sungai hingga tambak dirobohkan bagi tujuan itu sedangkan pembinaannya untuk mengawal banjir.

“Saya tidak boleh terima situasi ini kerana air adalah nadi kehidupan dan Kerajaan Negeri sedaya upaya mengelak insiden gangguan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan tapak pembuangan sampah haram berhampiran Tapak Perkuburan Islam Taman Medan di sini hari ini.

EXCO Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim ketika ditemui media selepas tinjauan sampah haram di Taman Medan, Petaling Jaya pada 14 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ir Izham berkata Kerajaan Negeri akan membaik pulih segera tambak yang pecah di sepanjang sungai di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya.

“Dalam usaha ke arah Negeri Pintar, kita mahu Selangor bukan menjadi lubuk sampah, maka sampah ini akan dibersihkan di bawah program Selangor Maritime Gateway,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata terdapat lapan kawasan pembuangan sampah haram dikenal pasti di kawasannya dan mahu Kerajaan Negeri mencari jalan penyelesaian.

“Di tebing sungai ini, bukan hanya sampah dibuang tetapi najis lembu. Binaan haram di kawasan ini juga perlu diroboh dan lembu dipindahkan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Perlu tindakan tegas atasi isu sampah haram

HULU LANGAT, 26 OGOS: Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak berkaitan bagi mengatasi masalah sampah haram di Selangor yang berlaku dalam jumlah besar antara 1,000 hingga 2,000 sehari.

Pengarah Urusan Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, keadaan seperti itu berlaku berikutan kepadatan penduduk dan jumlah kawasan perindustrian tinggi.

“Tindakan mengenakan saman paling maksima kepada pihak bertanggungjawab perlu dilakukan kerana sampah haram di negeri ini terdapat di merata tempat sama ada di kawasan rimbun, tepi sungai, di kawasan ditinggalkan, kadang-kadang di kampung yang datang daripada penduduk sendiri atau syarikat perindustrian.

“Memang susah nak bersihkan kerana mungkin mereka buang sampah waktu malam atau subuh untuk mengelak daripada dikesan, kalau ikut rekod ada berpuluh tempat pembuangan sampah haram tetapi banyak berjaya dikesan dan ditutup tetapi ada yang buka tempat lain pula,” katanya.

Ramli Mohd Tahir. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Program Kibar Jalur Gemilang dan Kempen Kebersihan Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Kali ke-62 di Kompleks Penghulu Batu 14 di sini, hari ini.

Ramli berkata, syarikat perindustrian antara pihak yang banyak menghasilkan sampah namun masih banyak antara mereka masih tidak melantik kontraktor untuk melupuskan sisa pepejal di kawasan sepatutnya.

Katanya, antara faktor mendorong tindakan ini disebabkan ingin menjimatkan kos perniagaan masing-masing.

Selain itu, beliau berkata, KDEBWM juga mengesan terdapat kontraktor luar Selangor yang sengaja membuang sampah haram mereka di dalam kawasan pentabdiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini.

“KDEBWM sedia berkerjasama dengan PBT bagi mengatasi isu yang berlarutan sekian lama ini.

“Penguatkuasaan perlu lebih kerap. Kita cuba tangani dengan baik, kalau nampak lori roro, kita akan buat serbuan dengan PBT dan orang ramai juga perlu bekerjasama dengan membuat aduan jika ternampak.

“Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) juga cadangkan kepada kita untuk ambil alih pengurusan sisa pepejal di kawasan kilang Kuala Langat,” katanya.