Categories
SELANGOR

IWK perlu bertindak segera atasi mendapan jalan

OLEH SABIRAH AZIZ

PUCHONG, 15 DIS: Indah Water Konsortium (IWK) diminta segera membaiki paip bocor yang menyebabkan mendapan jalan, di TK5/1, Taman Kinrara, Seksyen 5, di sini, sejak dua hari lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, hal itu ekoran tahap ketahanan dalaman paip lama terbabit tidak dapat menampung air kumbahan yang menyebabkan ia sering bocor.

“Paip ini sebenarnya tidak perlu ditukar kerana ia tidak rosak tetapi menjadi bocor daripada “inner layer” yang tertanggal simennya hingga mengakibatkan pemendapan jalan.

“Justeru, IWK akan membaiki paip ini yang mempunyai kedalaman tujuh meter di bawah tanah dalam tempoh kira-kira tiga minggu, manakala “inner layer” itu akan dibaik pulih pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan melawat mendapan jalan, di kawasan itu.

Katanya, jalan berkenaan adalah salah satu jalan utama yang sibuk kerana menghubungkan pengguna TK4, TK5, Taman Mawar dan Taman Puchong Jaya.

“Mendapan jalan ini turut berlaku lebih kurang enam bulan. Oleh itu, IWK merancang untuk membaiki paip lama ini dengan memasang teknologi baharu bagi melindungi paip berkenaan.

“Bagaimanapun, proses akan bermula pada tahun hadapan kerana perlu menunggu satu paip baharu siap terlebih dahulu dengan kumbahan dari paip lama ini akan dialihkan ke paip baharu itu.

“Saya juga ingin menyarankan pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati apabila melalui jalan ini,” katanya.

Turut hadir, Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), George Yap.

Categories
SELANGOR

Kontraktor gagal selenggara naik taraf pembentungan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Kerja menaik taraf sistem pembentungan di Petaling Jaya tidak diselenggara dengan baik pihak kontraktor yang dilantik Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP).

Adun Bukit Gasing, R Rajiv, berkata terdapat beberapa masalah yang berlaku akibat mengakibatkan beberapa faktor yang perlu diambil berat.

“Kontraktor tidak mengeluarkan sebarang notis tempoh kerja naik taraf itu akan siap dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

IMG_7540“Selain itu, faktor keselamatan pengguna jalan raya juga perlu dititik beratkan, tetapi pihak JPP tidak mengambil sebarang tindakan walaupun dimaklumkan,” katanya pada sidang media di Jalan 1/21, di sini, hari ini.

Rajiv berkata, paling mengecewakan kontraktor tidak menurap semula jalan dengan sempurna selepas kerja naik taraf selesai.

“Kontraktor hanya menurap ala kadar kerana jalan tidak rata seperti sedia kala kemudian meneruskan kerja mengorek di jalan yang lain.

“Lebih malang, JPP sebagai pembayar dan Indah Water Konsortium (IWK) tidak memantau kontraktor dilantik dengan baik.

“Petaling Jaya antara bandar raya yang menjadi tumpuan, jika keadaan ini berterusan ia mengganggu keadaan di sini khususnya keselamatan orang ramai,” katanya.

-NFN-