Categories
SELANGOR

IWK perlu bertindak segera atasi mendapan jalan

OLEH SABIRAH AZIZ

PUCHONG, 15 DIS: Indah Water Konsortium (IWK) diminta segera membaiki paip bocor yang menyebabkan mendapan jalan, di TK5/1, Taman Kinrara, Seksyen 5, di sini, sejak dua hari lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, hal itu ekoran tahap ketahanan dalaman paip lama terbabit tidak dapat menampung air kumbahan yang menyebabkan ia sering bocor.

“Paip ini sebenarnya tidak perlu ditukar kerana ia tidak rosak tetapi menjadi bocor daripada “inner layer” yang tertanggal simennya hingga mengakibatkan pemendapan jalan.

“Justeru, IWK akan membaiki paip ini yang mempunyai kedalaman tujuh meter di bawah tanah dalam tempoh kira-kira tiga minggu, manakala “inner layer” itu akan dibaik pulih pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan melawat mendapan jalan, di kawasan itu.

Katanya, jalan berkenaan adalah salah satu jalan utama yang sibuk kerana menghubungkan pengguna TK4, TK5, Taman Mawar dan Taman Puchong Jaya.

“Mendapan jalan ini turut berlaku lebih kurang enam bulan. Oleh itu, IWK merancang untuk membaiki paip lama ini dengan memasang teknologi baharu bagi melindungi paip berkenaan.

“Bagaimanapun, proses akan bermula pada tahun hadapan kerana perlu menunggu satu paip baharu siap terlebih dahulu dengan kumbahan dari paip lama ini akan dialihkan ke paip baharu itu.

“Saya juga ingin menyarankan pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati apabila melalui jalan ini,” katanya.

Turut hadir, Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), George Yap.