Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba guna helikopter pantau penduduk terperangkap banjir

KUALA BERANG, 27 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan melakukan pemantauan dari udara di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir terutama di Hulu Terengganu bagi memastikan proses evakuasi atau pemindahan mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata pada masa ini helikopter milik jabatan itu sedang melakukan proses memindahkan seorang pesakit dari Pulau Perhentian ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

“Selepas itu helikopter itu akan terus ke kawasan Kampung Lubok Pait di Hulu Terengganu untuk melihat dahulu macam mana situasi di sana kerana buat masa ini hanya bot boleh akses ke sana.

“Anggota kita pun ada di sana dan ada yang terputus hubungan, tapi buat masa ini kami dah bawa lebih kurang 200 penduduk ke kawasan lebih tinggi dan selamat menggunakan bot,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kampung Lubok Pait antara kawasan yang terjejas teruk apabila air naik mendadak sejak awal pagi tadi dan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa kampung di Hulu Terengganu turut dinaiki air sehingga menimbulkan keresahan penduduk.

Beberapa video dan gambar tular dalam media sosial menunjukkan ramai penduduk terperangkap di bumbung rumah dan tempat tinggi apabila kawasan mereka terputus hubungan dan hanya boleh dilalui dengan bot.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 10 laluan di lima daerah di Terengganu ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan banjir yang melanda sejak tiga hari lepas.

Menurut kenyataan itu, laluan yang ditutup kepada semua jenis kenderaan di Kemaman ialah Jalan Pelantoh yang dinaiki air hingga 0.6 meter (m), Jalan Air Putih (Seberang Tayor – 0.3 m dan Loji Air Sungai Pinang – 0.76 m) manakala di Besut, Jalan Jertih-Keruak ditutup kerana ditenggelami air sedalam satu meter.

“Di Setiu pula melibatkan laluan Jalan Pengkalan Merbau-Pelong (Kampung Seri Kenangan) yang dinaiki air setinggi 1.5 m, Jalan Kampung Bukit-Alur Lik (2 m) dan Jalan Permaisuri-Kampung Hulu Seladang (0.75 m).

“Di Dungun, Jalan Tepus-Kuala Jengai (Kampung Rantau Panjang) pula ditenggelami air sedalam 0.8 m manakala di Hulu Terengganu, laluan yang ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah Jalan Simpang Gaung ke Sungai Tong (1.2 m) dan Jalan Bukit Diman-Tersat berhampiran Kampung Pengkalan Ajal (2 m),” menurut kenyataan itu.

Selain itu, beberapa laluan turut ditutup kepada semua jenis kenderaan ringan dan pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan oleh JKR.

Pengguna jalan raya turut dinasihatkan agar tidak mengambil risiko melalui jalan yang ditutup bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba pindah aset ke Terengganu hadapi banjir gelombang keempat

KUALA NERUS, 15 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memindahkan beberapa aset kenderaan dari negeri Pantai Barat ke Terengganu sebagai persediaan menghadapi banjir gelombang keempat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata langkah tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan logistik dan masa tindak balas bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

Beliau berkata ia juga berikutan jumlah aset terutama lori melebihi lima tan yang ada di dalam negeri pada masa ini tidak mencukupi untuk menampung sekiranya berlaku bencana banjir besar memandangkan Terengganu mempunyai banyak lokasi berisiko banjir dan kawasan pantai yang luas.

“Banjir gelombang keempat yang dijangka berlaku pada 24 hingga 25 Disember ini berkemungkinan lebih besar berbanding gelombang ketiga kerana berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.

“Masalah kita di Terengganu terutama di kawasan luar bandar ialah orang ramai suka menunggu saat-saat akhir dan kritikal untuk berpindah, jadi kita perlu banyak lori untuk memindahkan penduduk dari banyak kampung secara serentak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Apresiasi Usahawan Melayu Terengganu (MAPUMT) 2019 di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Raja Kamarul Bahrin Shah berkata pihak kerajaan juga sedang meneliti keperluan bagi menambah aset-aset penting seperti lori besar dan helikopter untuk pelbagai kegunaan.

Menurut beliau kerajaan tidak boleh berpuas hati dengan jumlah aset yang ada kerana jumlah populasi penduduk yang semakin meningkat dan memerlukan tambahan aset untuk tujuan mencari dan menyelamat (SAR), memindahkan mangsa banjir, kebakaran hutan dan sebagainya.

“Sebagai contoh JBPM sekarang hanya ada lapan helikopter sahaja untuk kegunaan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Jadi dalam mesyuarat khas bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail minggu lepas kita dah bincang dan nilai keperluan untuk tambah aset sedia ada,” katanya.

Katanya lagi tambahan aset baharu itu boleh juga digunakan oleh agensi lain seperti polis dan maritim untuk keperluan yang sesuai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PBT, bomba siap sedia 100 peratus hadapi banjir

PUTRAJAYA, 26 OKT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terutamanya di kawasan yang sering dilanda banjir di seluruh negara, kini sudah bersiap-sedia 100 peratus bagi menghadapi situasi tersebut, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, di peringkat PBT sudah diwujudkan pasukan pantas yang akan turun ke padang dengan segera apabila banjir melanda kawasan masing-masing.

“Tahun ini hujan dilihat berlaku lebih awal iaitu pada bulan ini. Saya berdoa tidak ada bencana lebih besar daripada apa yang ada pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melepaskan 2,000 peserta Kayuhan Wanita 2019 di sini, hari ini.

Sehingga Jumaat (25 Oktober) jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara adalah 1,351 orang daripada 386 keluarga.

Negeri-negeri yang dilanda banjir ialah Johor, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

MET Malaysia pada 21 September lepas mengeluarkan kenyataan antara lain perubahan angin monsun dijangka bermula 24 September sehingga awal November depan yang boleh mengakibatkan angin kencang, hujan lebat yang berpotensi berlaku banjir di negeri Pantai Barat Semenanjung, Pantai Barat Sabah serta Barat dan Tengah Sarawak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Timbang semula cadangan elaun kritikal untuk bomba

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Kerajaan diharap menimbang semula cadangan meningkatkan kebajikan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk elaun kritikal untuk jabatan itu.

Aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, oleh kerana elaun kritikal tidak dapat diberikan pada tahun ini, kerajaan diharap dapat memasukkannya bersama cadangan kenaikan gaji bagi anggota JBPM dalam Belanjawan 2020.

Katanya, cadangan untuk meningkatkan kebajikan anggota bomba perlu disokong semua pihak kerana tugas pasukan itu kini lebih mencabar seperti agensi penting lain.

“Elaun kritikal itu akan memberi manfaat kepada lebih 14,000 warga JBPM di seluruh negara. Dilaporkan jika elaun itu diluluskan, sejumlah RM18 juta diperlukan untuk diedarkan kepada anggota bomba pada kadar RM200 seorang sebulan.

“JBPM juga bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan keselamatan dan pencegahan kebakaran serta menyediakan perkhidmatan bantuan kemanusiaan yang cekap dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye turut merujuk kepada titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini yang menyatakan keprihatinan Seri Paduka terhadap keperluan meningkatkan kebajikan anggota bomba termasuk menyediakan elaun kritikal.

Katanya, kerajaan harus menyediakan peruntukan mencukupi bagi pembangunan sumber manusia JBPM supaya mereka mempunyai kemahiran teknikal untuk menangani sebarang kes kecemasan termasuk untuk membeli jentera, peralatan canggih serta peralatan perlindungan diri (PBE) terkini.

“Saya juga berharap usaha berterusan dapat dilakukan untuk memperbaiki tempat kerja dan perumahan anggota bomba serta keluarga mereka supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja sementara keluarga mereka pula dapat hidup dalam suasana yang kondusif,” katanya.

Katanya, kematian tragis anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dan kejadian lemas yang mengorbankan enam anggota bomba pada Oktober tahun lalu adalah beberapa insiden para wira yang tidak didendang mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan orang lain.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bomba terima 103,998 panggilan kecemasan sepanjang 2018

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Sejumlah 103,998 panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sepanjang tahun lalu dengan 36,046 panggilan membabitkan kebakaran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, panggilan kecemasan yang diterima tahun lalu adalah paling tinggi, iaitu mencecah 100,000 untuk tempoh 10 tahun.

“Ia sesuatu yang membimbangkan… selain kebakaran, sebanyak 58,492 adalah panggilan kecemasan membabitkan penyelamatan dan khidmat khas (9,141). Kami juga terima 319 panggilan palsu.

“Jumlah panggilan membabitkan kebakaran turut meningkat jika dibandingkan dengan jumlah panggilan yang diterima pada tahun sebelum ini iaitu 29,356,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya berusaha untuk menurunkan kadar itu dengan mengenal pasti lokasi berisiko kebakaran dan pencegahan yang diambil turut merangkumi prinsip 4E iaitu Penguatkuasaan (Enforcement), Pendidikan (Education), Kejuruteraan (Engineering) dan Pengurusan Kecemasan (Emergency Management)

Tahun ini, sejumlah 45,528 panggilan kecemasan diterima dalam tempoh Januari hingga April melibatkan 24,767 berkaitan kebakaran, penyelamatan (20,024), khidmat khas (593) dan panggilan palsu (144).

-BERNAMA