Categories
AGENDA NASIONAL

Empat polis ditahan, berhibur di balai bersama wanita, arak dalam bilik ala disko

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Seorang ketua balai adalah antara empat anggota polis yang ditahan kerana berhibur di sebuah balai polis di Kajang dekat sini petang semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata selain anggota polis itu, empat wanita tempatan turut ditahan dalam serbuan pada kira-kira 6 petang itu.

“Saya mengesahkan JIPS Bukit Aman ada membuat serbuan di sebuah balai polis di daerah Kajang petang semalam.

“Semua lapan individu yang ditahan berumur lingkungan 21 hingga 54 tahun, mereka disiasat kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala empat anggota polis yang terlibat turut berdepan tindakan tatatertib,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bernama difahamkan dalam serbuan semalam, empat anggota polis berpangkat Sub Insp, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan bersama empat wanita ditahan ketika sedang berhibur di dalam bilik khas di balai polis berkenaan.

Difahamkan dalam serbuan oleh JIPS Bukit Aman itu, polis turut merampas antaranya beberapa botol air disyaki air ketum, botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, mikrofon dan televisyen.

Ketika serbuan dilakukan, difahamkan juga bilik itu dalam keadaan gelap dengan lampu disko berputar dan sekumpulan lelaki serta wanita menari dan berkaraoke.

Sementara itu, Azri berkata tindakan pegawai, anggota dan orang awam terbabit yang berhibur di sebuah bilik di balai polis adalah menyalahi SOP Covid-19.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang melanggar SOP yang digariskan kerajaan.

Siasatan lanjut masih dijalankan, katanya sambil memberitahu JIPS menjalankan siasatan berhubung salah laku dan tatatertib manakala yang lain diserahkan kepada bahagian-bahagian berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan integriti kesan anggota polis terlibat proses, jual air ketum

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah mengesan penglibatan anggota polis dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum, kata Pengarahnya Datuk Zamri Yahya.

Beliau berkata kegiatan itu dikesan apabila terdapat anggota polis menyalahguna berek kediaman yang dijadikan tempat memproses dan menjual air ketum.

“Kejadian ini amat membimbangkan kerana pembabitan anggota polis dalam kegiatan berkenaan tidak pernah berlaku dan tidak pernah dikesan sebelum ini.

“Jika dahulu terdapat laporan pengambilan ketum dalam kalangan anggota namun kini beralih kepada kegiatan menjual dan memproses dengan mereka turut mengupah orang lain dengan bayaran sekitar RM80 sehari untuk menjualnya,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, beberapa siri tangkapan telah dibuat terhadap lebih 10 anggota polis disyaki terbabit dengan aktiviti memproses dan menjual air ketum menerusi beberapa serbuan hasil risikan lanjut, baru-baru ini.

“Anggota berpangkat Sarjan dan ke bawah itu ditahan di dua lokasi di sini dan di berek Polis Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak yang dijadikan tempat memproses air ketum berkenaan.

“Mereka mencari pelanggan dan menjualnya untuk mendapat duit sampingan biarpun menerima gaji bulanan menjalankan tugas hakiki polis,” katanya.

Pada masa sama, Zamri memaklumkan tangkapan lain turut dibuat terhadap anggota polis kerana penglibatan menyalahguna kereta peronda (MPV) polis bagi tujuan menyeludup ketum ke Thailand.

“Susulan itu, polis giat mengadakan siasatan untuk mengenal pasti sejauh mana penglibatan mereka dalam permasalahan ini. Ini berjaya ditemui tidak termasuk yang belum dibongkarkan,” katanya.

Menurut Zamri, kesemua anggota terbabit berdepan tindakan digantung tugas atau ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah.

– BERNAMA