Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan integriti kesan anggota polis terlibat proses, jual air ketum

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah mengesan penglibatan anggota polis dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum, kata Pengarahnya Datuk Zamri Yahya.

Beliau berkata kegiatan itu dikesan apabila terdapat anggota polis menyalahguna berek kediaman yang dijadikan tempat memproses dan menjual air ketum.

“Kejadian ini amat membimbangkan kerana pembabitan anggota polis dalam kegiatan berkenaan tidak pernah berlaku dan tidak pernah dikesan sebelum ini.

“Jika dahulu terdapat laporan pengambilan ketum dalam kalangan anggota namun kini beralih kepada kegiatan menjual dan memproses dengan mereka turut mengupah orang lain dengan bayaran sekitar RM80 sehari untuk menjualnya,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, beberapa siri tangkapan telah dibuat terhadap lebih 10 anggota polis disyaki terbabit dengan aktiviti memproses dan menjual air ketum menerusi beberapa serbuan hasil risikan lanjut, baru-baru ini.

“Anggota berpangkat Sarjan dan ke bawah itu ditahan di dua lokasi di sini dan di berek Polis Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak yang dijadikan tempat memproses air ketum berkenaan.

“Mereka mencari pelanggan dan menjualnya untuk mendapat duit sampingan biarpun menerima gaji bulanan menjalankan tugas hakiki polis,” katanya.

Pada masa sama, Zamri memaklumkan tangkapan lain turut dibuat terhadap anggota polis kerana penglibatan menyalahguna kereta peronda (MPV) polis bagi tujuan menyeludup ketum ke Thailand.

“Susulan itu, polis giat mengadakan siasatan untuk mengenal pasti sejauh mana penglibatan mereka dalam permasalahan ini. Ini berjaya ditemui tidak termasuk yang belum dibongkarkan,” katanya.

Menurut Zamri, kesemua anggota terbabit berdepan tindakan digantung tugas atau ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukit Aman sahkan terima maklumat pegawai, anggota polis lindungi premis judi

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Polis mengesahkan menerima maklumat mengenai segelintir pegawai dan anggota polis disyaki melindungi premis judi haram di sekitar Sungai Buloh, dekat sini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu pejabat polis Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata ketika ini pihaknya sedang meneliti maklumat yang diterima termasuklah premis-premis judi yang ada di sekitar Sungai Buloh.

Beliau berkata perkara yang diteliti antaranya termasuklah serbuan dan rampasan perjudian yang telah dijalankan serta beberapa isu berkaitan.

“Jika terbukti ada pegawai dan anggota polis terlibat dalam penyelewengan tugas dan melindungi sindiket berkenaan maka tindakan tatatertib keras akan dikenakan kepada mereka.

“Sekiranya ada pegawai dan anggota polis menerima rasuah ia akan dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama.

Bernama semalam melaporkan SPRM akan menyiasat dakwaan terhadap pihak berkuasa yang cuba melindungi premis haram, perjudian haram dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supperintendan Shafa’aton Abu Bakar menafikan dakwaan itu dan menyatakan polis telah membuka kertas siasatan serta akan memanggil pengguna laman sosial berkenaan untuk memberikan keterangan.

– BERNAMA