Categories
NASIONAL

Tidak pindahkan Orang Asli Kuala Koh – JAKOA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUN: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menafikan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang mendakwa jabatan itu akan memindahkan Orang Asli Kuala Koh ke satu tempat yang baharu.

Dalam kenyataan, JAKOA memaklumkan pihaknya tidak pernah menyatakan hasrat untuk memindahkan kaum itu ke mana-mana lokasi baharu, malah perkara itu tidak pernah dibangkitkan melalui media atau dalam mesyuarat peringkat jabatan.

Katanya, perkara itu kerana pemindahan ke lokasi baharu bukan solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Perancangan rapi merentas agensi perlu difomulasikan untuk merealisasikan pembangunan yang holistik, bersepadu dan lestari.

“JAKOA dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melaksanakan beberapa projek pembangunan di perkampungan berkaitan, di antaranya bantuan perumahan sebanyak 16 rumah yang dibina di bawah Program Bina Rumah (PBR),” kata kenyataan itu.

Malah, JAKOA berkata, pihaknya akan terus menyalurkan bantuan kepada komuniti pada masa akan datang sehingga mereka semua mempunyai rumah yang selesa.

Pada masa sama, katanya, bagi mengangani kes kematian 15 Orang Asli Suku Kaum Bated di Kampung Kuala Koh, JAKOA membuat keputusan untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan Daerah Kelantan.

“Ia supaya masyarakat Orang Asli suku Kaum Bateq ini dapat diberikan suntikan imunisasi lengkap ketika masih bayi dan kanak-kanak. Ini dapat mencegah mereka daripada penyakit seperti ini yang sedang melanda masyarakat sekarang.

“Selain kempen dan ceramah berkaitan kesedaran dan kepentingan menjaga kesihatan. Kita komited dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kelantan untuk membuat Sistem Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS).

“Tindakan akan diambil secepat mungkin atau sebaik sahaja Kampung Kuala Koh diisytiharkan selamat daripada wabak dan kembali ke zon hijau,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pusat Larang Kerjasama Dengan Selangor Bagi Selesaikan Masalah Orang Asal

SHAH ALAM, 29 NOV : Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) didakwa tidak dibenarkan untuk mengadakan perhubungan rasmi bersama Kerajaan Selangor bagi menyelesaikan isu pewartaan tanah Orang Asal di negeri ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong mendakwa, arahan larangan kepada pihak Jakoa itu telah dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat.

Ekoran itu katanya, Kerajaan Negeri terpaksa mengambil pendekatan dengan mengadakan mesyuarat di luar pejabat untuk menyelesaikan sebarang masalah berbangkit berkenaan Orang Asal.

Bagaimanapun, jelasnya, pihak Jakoa mempunyai hubungan baik bersama Pejabat Daerah dan Tanah serta jabatan-jabatan negeri lain.

“Saya rasa sedikit tersinggung kerana Kerajaan Negeri Selangor memang tiada perhubungan secara langsung dengan Jakoa.

?Apabila saya panggil Pengarah Jakoa Selangor dua tahun lalu untuk adakan mesyuarat berhubung isu pewartaan tanah orang asal, mesyuarat itu tidak diadakan di Pejabat SUK atau Pejabat Jakoa, tetapi diadakan di luar.

“Ini kerana mereka tidak dibenarkan untuk mengadakan mesyuarat rasmi dengan pejabat saya.

?Walaubagaimanapun di peringkat daerah, Jakoa dan Pejabat Tanah mempunyai hubungan yang lebih baik. Saya harap pihak Jakoa lebih profesional.

“Saya tiada niat untuk mengutuk sesiapa, kita hanya mahu bekerjasama secara baik. Kita mahu selesaikan isu pewartaan tanah orang asal sahaja,” katanya semasa menjawab pertanyaan Lee Kim Sin (PKR-Kajang) berhubung isu penempatan orang asal di negeri ini.

Namun, menurut Elizabeth, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya pihak Jakoa mempunyai hubungan baik bersama Pejabat Tanah dan Daerah asalkan segala isu dapat diselesaikan dengan baik.