Categories
AGENSI SELANGOR

JPS Selangor laksana cabut undi agihan tender dalam talian

SHAH ALAM, 18 JUN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor buat kali pertama melaksanakan cabutan undi secara dalam talian bagi kerja agihan tender di negeri ini, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata pelaksanaan itu dilihat lebih telus untuk kontraktor mendapatkan 228 tender membabitkan peruntukan RM9.5 juta.

“Cabutan undi dalam talian ini dilakukan menerusi siaran langsung Facebook JPS sekali gus membuktikan ketelusan Selangor memberi kerja undi.

“Selain itu kontraktor-kontraktor juga dapat bersaing lebih sihat. Melihat kelancaran proses ini, kita akan sambung pelaksanaannya pada fasa kedua nanti,” katanya selepas Majlis Cabut Undi Online JPS di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Daerah Petaling, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JPS Selangor, Datuk Ir Gapar Asan dan Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar.

Menurut Ir Izham, kontraktor yang berjaya dalam cabutan undi fasa pertama tidak layak untuk menyertai cabutan undi kerja tender fasa kedua kerana Kerajaan Negeri mahu semua kontraktor diberi peluang selain membolehkan ekonomi dirangsang.

Seramai 1,467 kontraktor mendaftar dalam fasa pertama yang berlangsung hari ini dan keputusan undian itu akan dipaparkan esok.

Pada 3 Jun, Ir Izham memaklumkan Selangor memperuntukkan RM13.862 juta untuk pelaksanaan agihan tender projek penyelenggaraan jalan dan pengairan di Selangor.

Sejumlah RM5.489 juta disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk agihan tender 137 projek kontraktor kecil manakala baki kepada JPS meliputi 208 projek.

Categories
SELANGOR

Sungai tercemar: Tahap kesedaran awam masih rendah

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 12 OGOS: Tahap kesedaran masyarakat untuk bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai masih di tahap rendah apabila jumlah sisa pepejal yang dibuang ke sungai terus meningkat.

Pengarah Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Selangor, Azmi Ibrahim berkata, hal ini berikutan pada 2015 JPS mengeluarkan 23 tan sisa pepejal sebelum meningkat 12 tan kepada 35 tan pada 2016.

“Sekiranya kita berterusan membiarkan keadaan ini berlaku kita akan melihat Sungai Gombak semakin tercemar dengan sampah dan sisa buangan yang pastinya menyebabkan kualiti air sungai menurun dari kelas III kepada kelas IV.

IMG_20170812_115344-1024x655“Marilah kita bersama-sama bertanggungjawab terhadap sampah kita dan belilah barangan mengikut keperluan sahaja bagi mengurangkan penghasilan sampah dan sisa buangan,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen #mybijaksampah di Kampung Kerdas, di sini, hari ini.

Kempen #mybijaksampah bertujuan mendidik masyarakat mengurangkan pembuangan sisa pepejal di sungai melalui konsep 4R: Mengurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse), Kitar Semula (Recycle) dan Jana Semula (Reloop).

Katanya, pada masa ini JPS Selangor menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan aktiviti dengan lebih proaktif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya di sekitar sungai di Selangor.

“Malah ramai yang tidak sedar bahawa sampah atau sisa pepejal yang dibuang merata-rata seperti di tepi jalan atau ke dalam longkang akan dialirkan ke dalam sungai,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media majlis sama, Pengarah Pengurusan Lembangan Sungai JPS Malaysia, Ng Kok Seng berkata, JPS membelanjakan kira-kira RM60,000 setiap bulan bagi memungut dan menyelenggara tiga perangkap sampah di Sungai Gombak.

“Wang cukai rakyat ini dapat dijimatkan sekiranya masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga alam sekitar,” katanya.