Categories
AGENDA NASIONAL

Hari Kebangsaan: Jabatan Penerangan anjur program wadah rakyat

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Sebanyak 11 program dianjurkan di peringkat kebangsaan oleh Jabatan Penerangan sebagai wadah kepada rakyat bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dalam kebiasaan baharu tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Hashim Bedu berkata walaupun sambutan kali ini berbeza dalam keadaan negara menghadapi pandemik Covid-19, kemeriahan boleh dirasai melalui penganjuran program berbentuk patriotisme.

“Dalam keterbatasan itu, kemeriahan dan semangat kita untuk sama-sama menjayakan sambutan Bulan Kebangsaan dan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat tidak akan padam, walaupun tidak ada perbarisan besar-besaran yang lazim kita laksanakan seperti tahun-tahun sebelum ini.

“…orang ramai boleh menyertai program yang dilaksanakan dan sekurang-kurangnya menzahirkan rasa cintakan negara melalui penyertaan pertandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam tadi dengan tajuk ‘Malaysia Prihatin’.

Katanya, antara program yang dijalankan adalah Merdeka@Komuniti, Pertandingan Bintang Patriotik Smule 2020, Sayembara Sajak Merdeka, Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka dan Pentarama Live Jam Edisi Merdeka.

Malaysia Prihatin dipilih menjadi tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini serta menggunakan logo berbentuk hati dengan latar warna bendera Jalur Gemilang sebagai lambang keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jabatan Penerangan nafi iklan jawatan kosong hanya untuk Bumiputera

PUTRAJAYA, 21 MEI: Jabatan Penerangan Malaysia menafi mengiklankan jawatan Pembantu Penerangan Gred S19 hanya untuk Bumiputera seperti yang disiarkan di laman sesawang persendirian Kerjaya.Co.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya juga tidak pernah mengeluarkan sebarang iklan jawatan kosong bagi kemasukan ke jabatan itu.

“Untuk makluman, sebarang urusan pengambilan bagi peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam adalah di bawah bidang kuasa SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) dan permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui http://www.spa.gov.my,” katanya.

Jabatan Penerangan berkata orang ramai boleh mengakses iklan sebenar di laman sesawang SPA melalui pautan http://www.spa.gov.my/web/guest/iklanpeluang-kerjaya-dalam-perkhidmatan-aw-12.

-BERNAMA