Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Merdeka 2020 milik bersama, semua kaum ‘perangi’ Covid-19 – MB

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sambutan kemerdekaan ke-63 dianggap milik bersama apabila masyarakat tanpa mengira kaum berperang untuk menentang Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata petugas barisan hadapan juga dihargai pada sambutan kali ini termasuk petugas hospital, pasukan keselamatan, sukarelawan mahupun penghantar makanan yang memenuhi keperluan seharian rakyat ketika tempoh kawalan.

“Justeru, merdeka tahun ini adalah merdeka kita bersama kerana semuanya terlibat termasuk mereka yang bekerja di lapangan ataupun yang tidak kelihatan. Oleh itu marilah kita raikan merdeka tahun ini dengan semangat kita bersama,” katanya menerusi video Hari Kebangsaan ke-63 yang didedikasi khas untuk rakyat Selangor.

Pada masa sama, Amirudin berkata rakyat di negara ini mampu mengharungi pelbagai cabaran sejak awal termasuk rusuhan, cabaran ekonomi dan kali ini ‘berperang’ dengan Covid-19.

Katanya, ia adalah pengalaman baru dan pengajaran penting bahawa semangat muafakat dan perpaduan kaum menjamin kejayaan negara.

“Dengan cabaran yang kita tak pernah fikir dan jangka, kita dapat atasi kerana semua pihak sudah bekerja keras, bekerja satu sama lain menghargai dan memberikan sepenuh kerjasama bagi memastikan perang Covid-19 berjaya ditempuhi.

“Pelbagai cabaran dan rintangan yang dilalui dapat mengekalkan muafakat dan perpaduan kita di antara satu sama lain,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambutan Hari Kebangsaan 2020 dalam norma baharu

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan 2020 esok akan melakar sejarah tersendiri apabila ia diadakan dengan amalan norma baharu bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang dikuatkuasakan.

Jika sambutan sebelum ini dimeriahkan dengan perbarisan dan perarakan pasukan beruniform serta agensi kerajaan dan swasta tetapi pada kali ini perarakan seumpamanya tidak diadakan dan digantikan dengan acara membabitkan pergerakan dan jumlah minimum hadirin.

Acara kali ini, dijadual bermula jam 8 pagi di Dataran Pahlawan, Putrajaya itu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiada penyertaan daripada komponen lain bagi menjaga penjarakan fizikal susulan pandemik Covid-19.

Majlis dijadualkan bermula dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Pahlawan dengan disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut sama menyambut keberangkatan Seri Paduka berdua ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Ia kemudian diikuti dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ sebelum Seri Paduka berdua berangkat ke Dewan Serbaguna untuk Al-Sultan Abdullah menyampaikan Titah Diraja Sempena Hari Kebangsaan 2020.

Sebaik selesai Titah Diraja, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta orang kenamaan dijadual akan menyaksikan siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di layar besar yang disediakan oleh RTM.

‘Malaysia Prihatin’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan tahun ini dengan membawa maksud yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selari dengan keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hari Kebangsaan: Jabatan Penerangan anjur program wadah rakyat

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Sebanyak 11 program dianjurkan di peringkat kebangsaan oleh Jabatan Penerangan sebagai wadah kepada rakyat bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dalam kebiasaan baharu tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Hashim Bedu berkata walaupun sambutan kali ini berbeza dalam keadaan negara menghadapi pandemik Covid-19, kemeriahan boleh dirasai melalui penganjuran program berbentuk patriotisme.

“Dalam keterbatasan itu, kemeriahan dan semangat kita untuk sama-sama menjayakan sambutan Bulan Kebangsaan dan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat tidak akan padam, walaupun tidak ada perbarisan besar-besaran yang lazim kita laksanakan seperti tahun-tahun sebelum ini.

“…orang ramai boleh menyertai program yang dilaksanakan dan sekurang-kurangnya menzahirkan rasa cintakan negara melalui penyertaan pertandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam tadi dengan tajuk ‘Malaysia Prihatin’.

Katanya, antara program yang dijalankan adalah Merdeka@Komuniti, Pertandingan Bintang Patriotik Smule 2020, Sayembara Sajak Merdeka, Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka dan Pentarama Live Jam Edisi Merdeka.

Malaysia Prihatin dipilih menjadi tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini serta menggunakan logo berbentuk hati dengan latar warna bendera Jalur Gemilang sebagai lambang keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

– BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Guru terjemah cintakan negara melalui landskap Jalur Gemilang

BALIK PULAU, 15 OGOS: Benarlah kata orang, menterjemahkan cinta pada negara itu banyak caranya dan satu daripadanya adalah menzahirkan rasa itu pada sentuhan landskap rumah, dengan ribuan Jalur Gemilang.

Bagi seorang guru Normala Md Desa, 57, hatinya cukup tenang dan amat gembira tatkala melihat deretan bendera yang dipasang sendiri di laman rumahnya, berkibar ditiup angin.

“Saya rasa puas bila tengok bendera Malaysia berkibar ditiup angin, sangat cantik pemandangan pada waktu itu dan di situ lahirnya rasa semangat jati diri kepada negara Malaysia tercinta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perlis, hari ini.

Bercerita lanjut, ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, saban tahun beliau dan anaknya akan bertungkus lumus untuk menghias rumah mereka, menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Setiap tahun kami hias perkarangan rumah ini menjelang sambutan merdeka dan kami juga ada tema, jika sebelum ini temanya adalah perpaduan ia berbeza untuk kali ini, maka tema sambutan untuk tahun ini saya angkatkan kisah kita berjuang untuk melawan Covid-19.

“Jadi saya telah mereka cipta replika Covid-19 dengan menggunakan aloi iaitu 14 batang aloi dan kemudian membentuknya. Selain itu saya juga memaparkan poster bagi tempoh PKP yang telah kita jalankan sejak dari PKP fasa pertama hinggalah yang terkini (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya.

Guru Tadika Perpaduan Pantai Jerejak itu berkata, simbolik replika Covid-19 itu adalah sebagai tanda rakyat Malaysia sedang kuat berjuang, melawan penyakit tersebut yang melanda dunia kini.

“Jika dahulu zaman moyang, datuk, nenek kita berjuang melawan penjajah hingga berjaya mendapatkan tanah Melayu, hari ini kita berjuang pula melawan penyakit yang membunuh secara senyap…berjuang untuk satu perkara yang kita tidak dapat lihat, (ini) lebih hebat,” katanya.

Normala yang turut dibantu anak perempuannya yang mewarisi minatnya, Nurul Nadiah Tajuddin, 24, berkata semangat kecintaan terhadap negara perlu disemai dan ada pada setiap insan.

“Pasanglah walau satu bendera di rumah dan dari sekeping bendera itu hayatilah pengorbanan, dan bukan senang untuk kita memperoleh kemerdekaan.

“Untuk anak murid saya di tabika selalu saya terapkan perkara ini, macam budak-budak tidak faham apa maksud kemerdekaan, dari sini kita mula ajar,” katanya yang turut memasang bendera dan menghias tabika bersama-sama anak-anak muridnya.

Sebelum ini, Normala turut menghias rumahnya dengan bendera dan membina replika keretapi Bukit Bendera dan beberapa replika lain, dengan kos RM3,000.

Selain replika keretapi Bukit Bendera, wanita itu turut menghasilkan replika Jambatan Pulau Pinang yang dihasilkan menggunakan paip dan papan, serta Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang dibuat menggunakan 945 botol mineral, turut diletakkan di perkarangan rumahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Logo Hari Kebangsaan 2020, lambang rakyat bersatu hadapi Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Malaysia Prihatin yang dipilih menjadi tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini membawa maksud yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selari dengan keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Gabungan perkataan ‘Malaysia’ dan ‘Prihatin’ menggambarkan seluruh rakyat di negara ini turut sama memerangi wabak itu serta kecaknaan kerajaan dengan melakukan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat.

Untuk sambutan kali ini, logo berbentuk hati menjadi pilihan dengan warna-warna bendera Jalur Gemilang menjadi latarnya, melambangkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Tujuh jalur merah putih yang membentuk hati, membawa maksud terjalinnya keberanian dan ketersediaan dalam menghadapi segala rintangan dengan keikhlasan dan kesungguhan.

Sementara warna biru tua pula memberi erti kesatuan hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum yang hidup dengan aman dan harmoni.

Stigma bunga raya yang digabungkan bersama logo berbentuk hati itu pula menzahirkan bahawa negara menuju kejayaan, manakala lima titik merah adalah simbolik kepada lima kelopak bunga raya menggambarkan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi kunci perpaduan di negara ini.

Bulan sabit dan bintang pecah 14 pula menggambarkan Islam sebagai agama Persekutuan dan perpaduan 13 negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Ini merupakan kali kelima logo berbentuk hati digunakan selepas 1994, 1997, 2015 dan 2016.

-BERNAMA