Categories
SELANGOR

Limas putuskan tapak baharu Gurdwara Sahib Selayang

SELAYANG, 11 APRIL: Tapak baharu Gurdwara Sahib Selayang akan diteliti memandangkan lokasi ketika ini kurang sesuai akibat pembangunan.

Justeru, Dato’ Menteri Besar berkata Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) akan membuat keputusan supaya lokasi baharu dapat menampung jumlah penganut Sikh yang datang beribadah.

“Tapak sekarang ini memang kepunyaan mereka tetapi atas faktor pembangunan, ia sudah tidak sesuai dan kita sedang cari tapak baharu.

“Ia nanti akan diwarta. Sebenarnya tapak baharu itu sudah ada cuma ia agak kecil kira-kira suku ekar dan mengikut keperluan, tapak baharu perlu seluas satu ekar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas melakukan lawatan spontan di rumah ibadat terbabit.

Menurutnya saiz tapak harus bersesuaian memandangkan ramai penganut agama itu datang menjalankan aktiviti keagamaan.

“Sebahagian yang tinggal di Gombak, Rawang dan Sungai Buloh akan datang ke sini. Jadi kita perlukan satu tempat yang besar,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor anjur sambutan Tahun Baru Cina dalam talian

SHAH ALAM, 1 FEB: Selangor menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina dalam talian secara besar-besaran menerusi rangkaian media sosial pada 12 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) berkata ia sebagai alternatif menikmati perayaan itu dalam suasana norma baharu.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim, sebanyak 12 persembahan istimewa bakal ditampilkan secara langsung selama 68 minit bermula jam 9 malam.

“Beberapa kumpulan terkenal akan membuat persembahan nyanyian, tarian dan kebudayaan bermutu tinggi kepada penonton.

“Program juga diselitkan dengan ucapan dan mesej positif Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Orang ramai boleh menonton di laman Facebook Amirudin dengan carian ami.mbselangor serta beberapa media elektronik.

Kumpulan kebudayaan bakal membuat persembahan ialah:

1. Emcees’ Talk Show – Soo Wee Seng & Soo Rui Yang
2. Reunion – Hands Percussion Malaysia
3. Reminiscence – Han Fong Dance Ensemble
4. The Conqueror – Sara Heng & Hands Percussion Malaysia
5. Don’t Worry, My Dear – Fresco Harmonica Ensemble
6. Teochew Puppet Documentary – Teochew Puppet & Opera
7. A New Bloom- Ong Chia Kun & Howz & Jimmy Ch’ng
8. Lion Dance Documentary – The King of Lion Dance
9. Lion Dance – Subang Hong Teck
10. Horse Dance – Shui Tung Fang Band
11. CNY Song 2021 – Tha Jie Ying
12. Gong Xi Gong Xi – Barisan EXCO

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam kini dikenali LIMAS

SHAH ALAM, 22 DIS: Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam ditukar kepada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS).

EXCO berkenaan Hee Loy Sian berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan perkara itu bagi mengiktiraf sumbangan dan bantuan badan agama mengekalkan keharmonian dan kecemerlangan negeri.

“Dimaklumkan juga, mulai tahun hadapan Kerajaan Selangor akan menambah RM1 juta untuk pemurnian institusi keagamaan.

“Pertambahan kepada RM7 juta itu membabitkan pemberian sumbangan kepada agama Buddha, Tao, Hindu, Silk, Kristian dan Katolik,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Perayaan Hari Krismas Peringkat Negeri Selangor 2020 di sini semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM6 juta setahun kepada institusi agama berkenaan.