Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor anjur sambutan Tahun Baru Cina dalam talian

SHAH ALAM, 1 FEB: Selangor menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina dalam talian secara besar-besaran menerusi rangkaian media sosial pada 12 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) berkata ia sebagai alternatif menikmati perayaan itu dalam suasana norma baharu.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim, sebanyak 12 persembahan istimewa bakal ditampilkan secara langsung selama 68 minit bermula jam 9 malam.

“Beberapa kumpulan terkenal akan membuat persembahan nyanyian, tarian dan kebudayaan bermutu tinggi kepada penonton.

“Program juga diselitkan dengan ucapan dan mesej positif Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Orang ramai boleh menonton di laman Facebook Amirudin dengan carian ami.mbselangor serta beberapa media elektronik.

Kumpulan kebudayaan bakal membuat persembahan ialah:

1. Emcees’ Talk Show – Soo Wee Seng & Soo Rui Yang
2. Reunion – Hands Percussion Malaysia
3. Reminiscence – Han Fong Dance Ensemble
4. The Conqueror – Sara Heng & Hands Percussion Malaysia
5. Don’t Worry, My Dear – Fresco Harmonica Ensemble
6. Teochew Puppet Documentary – Teochew Puppet & Opera
7. A New Bloom- Ong Chia Kun & Howz & Jimmy Ch’ng
8. Lion Dance Documentary – The King of Lion Dance
9. Lion Dance – Subang Hong Teck
10. Horse Dance – Shui Tung Fang Band
11. CNY Song 2021 – Tha Jie Ying
12. Gong Xi Gong Xi – Barisan EXCO

 

Categories
SELANGOR

Sambutan Tahun Baru Cina anjuran MACMA meriah

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 5 MAC: Seramai 600 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina 2018 anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Selangor.

Presidennya, Syafiq Raffiqin Liow berkata, jumlah berkenaan menunjukkan program itu mendapat sambutan memberangsangkan.

“Pada awalnya kami menjangkakan seramai 500 sahaja akan hadir pada program ini namun tidak sangka ramai hadir meluangkan masa.

“Dalam program ini, kami juga menyediakan kaunter maklumat, pertunjukan budaya masyarakat Cina dan jamuan makan,” katanya selepas menghadiri sambutan perayaan itu di Surau Saujana Impian, di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Langat (Orang Besar Daerah), Datuk Engku Abdul Jalil Abdul Rani.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan Ahli Dewan Negeri Kajang (ADN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada masa sama, Syafiq berkata, tujuan program diadakan untuk mengeratkan hubungan pelbagai kaum dan agama dalam sambutan perayaan.

“Pihak kami sentiasa mengadakan program seumpama ini, namun sambutan pada kali ini adalah dalam skala besar.

“Di samping itu, kita juga menjemput dan membawa komuniti Cina bukan muslim meninjau surau bagi melihat sendiri adab dan budaya agama Islam,” katanya sambil menambah ia adalah salah satu cara berdakwah yang berkesan.

Sambutan itu bertemakan ‘Menuju Ke Arah Komuniti Harmoni’, anjuran bersama JAIS, Majlis Agama Islam Selangor dan Team Selangor.

Ia mendapat kerjasama badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Unity dan Hidayah Centre Foundation.

=EZY=