Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB jelajah Parlimen Ampang, rasmi bilik gerakan

AMPANG, 7 MAC: Dato’ Menteri Besar mengadakan program Jelajah Kita Selangor ke Parlimen Ampang petang tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari memulakan lawatan dengan menunaikan solat Zohor di Masjid Bandar Baru Ampang seterusnya menyampaikan sumbangan masing-masing RM5,000 kepada masjid tersebut dan Masjid Jamiul-Huda, Kampung Melayu Ampang.

Beliau turut menyampaikan bantuan makanan kepada 100 kariah masjid.

Program jelajah diteruskan dengan sumbangan wang tunai dan makanan kepada pesakit buah pinggang, Chua Boon Chin, 40, serta kerusi roda dan makanan kepada Yap Choen Wah, 51, yang menetap di Bandar Baru Ampang.

Amirudin turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan makanan kepada pesakit barah Abdullah Kasim, 65, di Taman Cahaya.

Siri jelajah berakhir dengan perasmian Bilik Gerakan Utama Parlimen Ampang di Santai@ Ampang Point.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB teruskan Jelajah Kita Selangor, lawat Stelvio Bukit Antarabangsa

AMPANG, 7 MAC: Dato’ Menteri Besar meneruskan Jelajah Kita Selangor hari kedua di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada penduduk memerlukan di Kampung Baharu Kuala Ampang, Ampang sempena Jelajah Kita Selangor di parlimen itu pada 7 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Dato’ Seri Amirudin Shari yang ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad memulakan lawatan seawal jam 7.30 pagi dengan sesi ‘walkabout’ di Pasar Kampung Baharu Kuala Ampang.

Dalam sesi itu, beliau mengagihkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada peniaga serta pengunjung pasar sebagai langkah pencegahan Covid-19.

Amirudin kemudian menyerahkan pek barangan asas kepada 100 keluarga berpendapatan rendah (B40) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baharu Kuala Ampang.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad berkesempatan bergambar berlatarbelakang lokasi riadah The Stelvio Bukit Antarabangsa, Ampang pada 7 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Usai penyerahan tersebut, beliau mengadakan lawatan tapak ke Stelvio Bukit Antarabangsa yang menjadi lokasi kayuhan basikal dan riadah popular sebelum bersarapan bersama pengerusi persatuan penduduk, badan pengurusan bersama dan nazir Masjid Bukit Antarabangsa.

Amirudin turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Penduduk Pangsapuri Sri Wira selain merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat KEADILAN, Ranting di Taman Bukit Mulia.

Beliau dijadualkan turun padang ke beberapa lokasi sekitar bagi merasmikan pejabat ahli majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan pejabat jawatankuasa penduduk zon 6 serta melawat tokong Kau Ong Yah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB mula Jelajah Kita Selangor di Parlimen Ampang hari ini

AMPANG, 6 MAC: Dato’ Menteri Besar memulakan Jelajah Kita Selangor hari ini di Parlimen Ampang dengan sesi ‘walkabout’ di Pasar Pagi Kampung Dato Mufti Shuib.

Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sesi itu turut menyelami dan mendengar luahan peniaga serta bertemu dengan pengunjung pasar.

Pada program awal itu beliau turut menyerahkan pelitup muka, pencuci tangan dan akhbar Selangorkini bagi membantu rakyat mengetahui informasi terkini mengenai Pakej Kita Selangor.

Beliau juga meluangkan masa untuk beramah mesra dengan pengusaha gerai dan kedai makanan di sekitar pasar.

Amirudin dijadualkan turun padang ke beberapa kawasan dan program bertemu rakyat bermula pagi sehingga malam.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Jelajah Kita Selangor bermula di Parlimen Ampang esok

SHAH ALAM, 5 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meneruskan tradisi menyantuni rakyat menerusi Jelajah Kita Selangor.

Menerusi Facebook beliau memaklumkan jelajah itu bermula esok dan Ahad di Parlimen Ampang.

“Jelajah Kita Selangor akan dimulakan di Parlimen Ampang bermula dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya pada hari Sabtu dan DUN Bukit Antarabangsa pada hari Ahad.

“Program akan dilaksanakan dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat. Jumpa anda di sana!,” katanya.