Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Santuni rakyat, MB jelajah Parlimen Kuala Langat esok

SHAH ALAM, 20 MAC: Program Jelajah Kita Selangor oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual berlangsung esok di sekitar Parlimen Kuala Langat.

Jelajah seawal jam 7.30 pagi dimulakan dengan agihan kit pembasmi kuman sekitar Pasar Awam Banting disusuli lawatan ke Masjid Diraja Sultan Ala’eddin, Kampung Bandar.

Turut dilawati Jeti Kelanang untuk bertemu nelayan, Kampung Tongkah Morib, penyampaian sumbangan masjid di Telok Datok dan ziarah prihatin sekitar Jenjarom.

“Pelbagai program diatur untuk menyantuni rakyat. Jumpa di sana!” tulis Amirudin di Facebook.

Beliau turut dijadual menyerahkan bakul makanan di Kampung Manikavasagam, Pulau Carey dan program bersama belia di Padang Awam Kampung Sijangkang.

Pada 6 Mac, Amirudin memulakan jelajah siri pertama di DUN Lembah Jaya diikuti DUN Bukit Antarabangsa pada keesokannya.

Program sama turut berlangsung pada 14 Mac membabitkan Parlimen Shah Alam mengikut tatacara operasi piawaian (SOP) ketat.

Foto Facebook Amirudin Shari
Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bumbung rosak pangsapuri kos rendah Seksyen 7 dibaiki segera

SHAH ALAM, 14 MAC: Masalah bumbung rosak sebahagian 58 blok pangsapuri kos rendah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Seksyen 7 diatasi dalam masa terdekat.

Dato’ Menteri Besar berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meneliti jenis kerosakan terbabit sebelum kerja pembaikian atau penukaran bumbung dijalankan.

“Ia melibatkan ramai penduduk. Satu blok ada 60 unit rumah jadi kita akan tengok kaedah penyelesaian paling sesuai. Anggaran kos untuk satu blok melebihi RM200,000.

“Jadi kita tunggu keseluruhan penelitian dibuat MBSA serta jumlah kos yang diperlukan. Perkara ini akan diumumkan selepas kita terima,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas meninjau bumbung pangsapuri Blok 48, Seksyen 7 dekat sini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan menyelesaikan isu pemilikan tanah gelanggang sepak takraw kawasan berkenaan sebelum kerja pembaikan berjalan.

“Peruntukan antara RM200,000 hingga RM300,00 memang ada cuma sekarang kita minta mereka serahkan kepada kita untuk uruskan bagi kemudahan mereka.

“Tanah milik pihak pengurusan tapi gelanggang ini untuk kegunaan orang ramai. Kita akan runding balik mengenainya,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Manfaatkan tanah lapang, bertani guna fertigasi

SHAH ALAM, 14 MAC: Dato’ Menteri Besar menggalakkan masyarakat memanfaatkan tanah lapang dengan tanaman menggunakan kaedah fertigasi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu dapat membantu mengurangkan import makanan dan jimatkan perbelanjaan makanan asas.

“Usaha Persatuan Usahawan Tani Batu Tiga ini wajar dicontohi apabila mereka sanggup menyewa tanah lebih 1.21 hektar untuk membuat projek fertigasi.

“Saya difahamkan fasa pertama sebanyak 2,000 pokok cili berjaya disemai dan akan diperluaskan lagi dari semasa ke semasa dengan pelbagai jenis tanaman,” katanya selepas melancarkan Projek Fertigasi Cili Dalam Bandar di Seksyen 18.

Beliau berkata projek itu perlu pemantauan supaya penghasilan tanaman tidak berlaku lambakan pada masa akan datang.

“Perlu ada pengawalan tetapi buat masa ini kita usaha banyakkan dahulu hasil tanaman.

“Sudah sampai masa nanti kita aturkan untuk wujudkan pangkalan data supaya hasilnya tidak berlebihan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Peniaga Pasar Moden Sri Muda dapat pelepasan fi lesen

SHAH ALAM, 14 MAC: Peniaga di Pasar Moden Sri Muda diberi pengecualian fi lesen sementara untuk tempoh setahun, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri untuk membantu mereka mencari sumber pendapatan dalam situasi wabak Covid-19.

Pasar Moden Seksyen 25, Shah Alam pada 14 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Katanya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi pengecualian bayaran lesen sekitar RM150 hingga RM200 untuk tempoh setahun kepada peniaga.

“Tindakan ini dibuat selepas mengambil kira kesukaran para peniaga yang terjejas pendapatan ketika pandemik,” katanya selepas merasmikan Pasar Moden Sri Muda, Seksyen 22 di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim berkata pembinaan pasar itu mengambil tempoh empat tahun dan siap pada Disember tahun lalu dengan kos RM28 juta.

Beliau berkata, reka bentuk pasar itu mengetengahkan konsep pasar bertingkat dilengkapi kemudahan laluan pengunjung terus bersambung antara tingkat tanpa perlu menaiki tangga.

“Pasar ini mempunyai 60 unit pasar basah (halal), empat unit (tidak halal) serta 56 unit pasar kering. Turut dilengkapi 79 gerai makanan dan minuman, 18 unit kios serta 32 unit bilik sejuk beku bagi menyimpan keperluan jualan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan lesen perniagaan kepada peniaga ketika Majlis Perasmian Pasar Moden Seksyen 25, Shah Alam pada 14 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Pasar ini boleh menampung jumlah lebih 800 orang dalam satu-satu masa malah ia turut dilengkapi kamera litar tertutup untuk memastikan keselamatan pengunjung,” katanya.

Pasar itu turut mempunyai medan selera, tandas awam, ruang solat, kemudahan Orang Kelainan Upaya dan tiga tingkat ruang tempat letak kenderaan yang boleh memuatkan 216 parkir kereta serta 75 lot petak motor.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Masjid Seksyen 7 terima sumbangan RM10,000

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menyumbangkan RM10,000 kepada Masjid Seksyen 7 di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata serahan itu bertujuan membantu pengurusan rumah ibadat itu menampung perbelanjaan dalam membuat persiapan menjelang Ramadan.

“Sumbangan ini adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat MBI. Semoga bantuan ini dapat dimanfaatkan pihak masjid dan ahli kariah yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan Solat Zuhur di Masjid Seksyen 7 di sini menerusi Program Jelajah Kita Selangor di sekitar Parlimen Shah Alam, hari ini.

Jelajah itu juga bertujuan memberi peluang kepada pimpinan untuk mendengar luahan rakyat bagi meningkatkan perkhidmatan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB jelajah Shah Alam hari ini, selami isu rakyat

SHAH ALAM, 14 MAC: Program Jelajah Kita Selangor oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual berlangsung hari ini di sekitar parlimen Shah Alam.

Jelajah dimulakan dengan perasmian pasar moden Seksyen 25 pada jam 9 pagi disusuli program Pemberdayaan Komuniti Bersih dan Ceria di Pangsapuri Seri Nipah.

Turut dilawati Pangsapuri Indah Ria Seksyen 22, projek fertigasi cili dalam bandar di Seksyen 18 dan binaan gelanggang tertutup sepak takraw di Seksyen 7.

“Jelajah ini memberi peluang kepada pimpinan untuk mendengar luahan rakyat bagi meningkatkan perkhidmatan,” tulis Dato’ Menteri Besar di Twitter semalam.

Pada sebelah petang, Amirudin dijadual meninjau blok 48, Seksyen 7 yang berdepan isu bumbung kediaman dan beramah mesra bersama peniaga di Kompleks PKNS.

Beliau turut meraikan sambutan Hari Wania Sedunia bersama Wanita KEADILAN Selangor di Best Western i-City sebelum mengakhiri program di Taman Ekstrem Seksyen 13.

Pada 6 Mac, Amirudin memulakan Jelajah Kita Selangor di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya disusuli DUN Bukit Antarabangsa keesokannya.

Sumber: Twitter Dato’ Seri Amirudin Shari

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Jelajah Kita Selangor di Parlimen Shah Alam esok

SHAH ALAM, 13 MAC: Dato’ Menteri Besar dijadual meneruskan jelajah ke Parlimen Shah Alam esok bagi menyelami isu masyarakat di kawasan berkenaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan beliau akan menyertai beberapa program di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan DUN Kota Anggerik menerusi Jelajah Kita Selangor.

“Jelajah ini memberi peluang kepada pimpinan untuk mendengar luahan rakyat bagi meningkatkan perkhidmatan,” tulisnya di Twitter.

Sabtu lalu, Amirudin memulakan jelajah siri pertama di DUN Lembah Jaya diikuti DUN Bukit Antarabangsa pada keesokannya.

Program itu dilaksanakan dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengelak penularan Covid-19.

Sumber: Twitter Dato’ Seri Amirudin Shari

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Sri Wira terharu terima sumbangan makanan

AMPANG, 8 MAC: Penduduk Pangsapuri Sri Wira, Ukay Perdana di sini terharu menerima sumbangan bakul makanan daripada Kerajaan Negeri.

Nurin Jazlina Hamsaton, 21, berkata sumbangan berkenaan amat bermakna apabila bapanya, Hamsaton Hamsan, 59, hilang punca pendapatan akibat diserang strok lima bulan lepas.

“Kehidupan kami sekeluarga memang susah apatah lagi dengan situasi pandemik Covid-19. Emak pula sudah tidak mampu bekerja kerana faktor usia dan saya pula sedang belajar.

“Sumbangan ini berharga buat kami. Saya berterima kasih atas keprihatinan Dato’ Menteri Besar yang sanggup turun dan menyampaikan sendiri bakul makanan kepada keluarga susah di sini,” kata pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Sabak Bernam.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada penduduk memerlukan di Taman Ukay Perdana, Ampang sempena Jelajah Kita Selangor ke parlimen itu pada 7 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Mohd Suib Othman, 66, pula tidak menyangka kerana pertama kali terpilih menerima sumbangan makanan secara terus berbanding sebelum ini dalam bentuk baucar dan perlu membuat penebusan di pasar raya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas bantuan yang sedikit sebanyak dapat meringankan kos perbelanjaan barangan dapur selain menampung bekalan sedia ada.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan, pendapatan saya sebagai guru al-Quran terjejas. Jika sebelum ini, hampir setiap hari saya mengajar dari rumah ke rumah tetapi sekarang permintaan kurang dan terpaksa buat dalam talian,” kata bapa tiga anak.

Terdahulu, mereka antara 100 penerima bantuan bakul makanan yang disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Kita Selangor di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat KEADILAN Ranting, Taman Bukit Mulia semalam.

Bantuan itu diselaras pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jelajah Kita Selangor bakal diteruskan di Kuala Langat, Kapar

AMPANG, 8 MAC: Dato’ Menteri Besar mahu meneruskan Jelajah Kita Selangor ke Parlimen Kuala Langat dan Kapar dalam masa terdekat bagi menyelami isu di kawasan itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut akan diputuskan minggu hadapan bergantung pada keutamaan dan kekosongan jadual.

“Kita sedang nilai semula mungkin ke Kuala Langat atau Kapar tetapi saya akan cuba setiap minggu sekurang-kurangnya sehari untuk turun padang di seluruh parlimen untuk bertemu penduduk.

“Kita mahu lihat isu-isu kritikal dibangkitkan penduduk di kawasan terbabit dan mencari tindakan segera,” katanya selepas mengadakan jelajah hari kedua di Parlimen Ampang di sini semalam.

Pada Sabtu, Amirudin memulakan jelajah siri pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya diikuti DUN Bukit Antarabangsa semalam.

Acara tradisi itu dilaksanakan dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengelak penularan Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Had jemaah ke masjid demi keselamatan umat, elak Islam difitnah

AMPANG, 7 MAC: Keputusan mengehadkan bilangan jemaah ke masjid dan surau di Selangor bagi mencegah perebakan Covid-19 seperti berlaku di Masjid Seri Petaling pada Mac tahun lepas.

Dato’ Menteri Besar berkata sehubungan itu umat Islam diminta bersabar kerana tindakan tersebut demi kebaikan bersama serta mengelak fitnah.

“Saya ada menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk berbincang hati ke hati dan tuanku berulang kali menekankan mahu menjaga kemuliaan agama.

“Tuanku selaku ketua agama Islam mahu mengelak fitnah terhadap orang Islam seperti mengatakan golongan tabligh menjadi punca kes Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan kepada Masjid Bandar Baru Ampang dan Masjid Jamiul-Huda, Kampung Melayu Ampang dalam program Jelajah Kita Selangor ke Parlimen Ampang hari ini.

Kluster Perhimpunan Sri Petaling melibatkan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling mula dikesan pada 11 Mac dan diisytihar tamat pada 8 Julai tahun lepas.

Seramai 42,023 individu disaring dalam kluster terbesar Covid-19 di negara ini dengan 3,375 daripadanya positif.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Selangor sedia salur dana bina jejantas di Ukay Perdana

AMPANG, 7 MAC: Kerajaaan Negeri sedia menyalurkan peruntukan bagi pembinaan jejantas menghubungkan Masjid Ukay Perdana ke Pusat Komersial Ukay Perdana di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan pemaju yang diberi tanggungjawab mengendalikan projek dijangka memanfaatkan hampir 30,000 masyarakat setempat.

“Kita turun padang ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa untuk melihat isu yang perlu diselesaikan segera seperti di Masjid Ukay Perdana, ia melibatkan (pembinaan) jejantas, jadi kita akan keluarkan dana untuk kemudahan itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke masjid berkenaan sempena Jelajah Kita Selangor di Parlimen Ampang hari ini.

Difahamkan, pembinaan jejantas itu bakal memudahkan jemaah untuk ke masjid tanpa melalui Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) atau membuat pusingan-U yang agak jauh.

Malah, ia turut menjadi mercu tanda dan tarikan pengunjung ke masjid berkenaan termasuk kawasan Ukay Perdana.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berharap Kementerian Pendidikan dapat membina sekolah baharu di kawasan berhampiran Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana di tapak disediakan Kerajaan Negeri kerana ia akan membantu lebih 20,000 keluarga yang terpaksa menghantar anak ke sekolah lebih jauh.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor laksana kempen daftar vaksin minggu hadapan

AMPANG, 7 MAC: Kerajaan Negeri akan melaksanakan kempen pendaftaran vaksin bermula minggu hadapan bagi memudahkan masyarakat menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Dato’ Menteri Besar berkata pemimpin akar umbi digerakkan dalam menyebarkan maklumat tersebut seterusnya memastikan tiada individu tercicir menerima suntikan berkenaan.

“Setakat ini pendaftaran masih rendah dan bagi mencapai 27 juta penduduk Malaysia (mengambil vaksin) akan mengambil masa lebih setahun untuk selesai.

“Justeru saya sedang mengkoordinasi dengan ketua kampung dan ahli majlis untuk membantu orang ramai dalam program pendaftaran ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui pada Jelajah Kita Selangor di Parlimen Ampang hari ini.

Sementara itu, beliau berkata lebih 10,000 petugas barisan hadapan di negeri ini meliputi anggota kesihatan dan keselamatan menerima suntikan vaksin fasa pertama setakat semalam.

Amirudin menjelaskan tumpuan kini terhadap persediaan bagi pemberian vaksin skala besar menjelang fasa kedua dan ketiga yang membabitkan penggunaan kemudahan fasiliti.

“Kita mengadakan mesyuarat mingguan untuk susun tenaga kerja dalam kalangan pihak berkaitan kerana sedar fasa seterusnya paling kritikal,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Amirudin bersama EXCO Kerajaan Negeri antara 42 individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam.

Turut disuntik, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.