Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Peniaga jangan tunggu lagi, terap arus digital sekarang

AMPANG, 20 SEPT: Dato’ Menteri Besar mahu keupayaan mengadaptasi arus digital dalam perniagaan bermula dari sekarang, bukan menunggu lima hingga 10 tahun lagi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan pantas teknologi menuntut usahawan untuk lebih proaktif dengan mengubah strategi pemasaran supaya mampu bertahan dalam perniagaan.

“Usahawan perlu ubah minda dan sedar bahawa masa depan adalah sekarang…kalau kita tidak buat kita akan tertinggal, kalau kita tidak bersedia maka kita akan terlepas.

“Kita sebenarnya sedang menuju ke arah kehidupan pintar dengan elemen seperti e-dagang atau perniagaan dalam talian menjadi gaya hidup baharu yang perlu diterima ramai,” katanya.

Beliau berucap merasmikan program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 Siri Ketiga di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini semalam.

Jelajah dikendalikan Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec), unit di bawah Invest Selangor sudah berlangsung di Klang, Bangi dan Ampang. Lokasi seterusnya di Gombak dan Kuala Selangor.

Bertemakan “Kuasai Dunia Perdagangan Digital”, jelajah itu bertujuan memberi khidmat bantuan dan dorongan kepada syarikat serta usahawan tempatan untuk memulakan bisnes e-dagang.

Amirudin menjelaskan perniagaan secara maya berupaya mengembangkan potensi usahawan untuk bersaing dalam pasaran tempatan dan global.

“Buktinya melalui Selangor E-Bazar Raya bersama Shopee pada Mei hingga Julai lalu, kita berjaya mengaut hasil RM341 juta dan menarik 8,400 peniaga dengan 6,400 daripadanya baharu menceburi perniagaan dalam talian,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor lengkapkan usahawan dengan kemahiran, teroka e-dagang tingkat ekonomi

KLANG, 22 OGOS: Kerajaan Negeri akan menyediakan latihan kemahiran kepada usahawan baharu menerokai dunia e-dagang lebih meluas, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata rekod untung program e-Bazar Raya Selangor pada Mei lalu menunjukkan pasaran secara maya mampu berkembang dan menjamin ekonomi.

“Kemahiran menjadi asas penting dalam norma baharu selepas berlakunya penularan Covid-19 dan kita galakkan usahawan berkecimpung dalam industri ini.

“Melalui SITEC (Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor) kita akan bentuk kemahiran. Kita tak kan berjaya jika hanya sediakan modal tapi dengan kemahiran mereka dapat memanfatkan sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 hari ini.

Peserta mendengar taklimat disampaikan ketika Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 di Bukit Raja, Klang pada 22 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Menurut Chang Khim, industri e-dagang memerlukan modal rendah namun sekiranya diurus dengn baik ia mampu mencatatkan keuntungan tinggi.

“Sebelum Covid-19 kita dah masuk era perniagaan dalam talian ini. Namun masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan, kita bergantung kepada konsep ini dan ternyata ia memberangsangkan,” katanya.

Pada Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif Kerajaan Negeri mengadakan e-Bazar Raya Selangor mencatat pulangan RM341.5 juta, jauh melangkaui sasaran awal RM8 juta.

Kempen dua bulan bermula Mei dengan modal RM1 juta itu disertai 8,400 usahawan dan 6,400 daripadanya golongan konvensional yang ada wadah e-dagang manakala 2,000 lagi peniaga aktif sedia ada.

Dalam program siri kedua mendapat kerjasama Lazada, Shopee, Boost, Avana, Ninja Van, Bungkusit, Hijrah Selangor dan Youbeli, seramai 200 peserta menyertainya.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Lazada catat aliran penjual 300 peratus sejak PKP

KLANG, 22 OGOS: Platform e-dagang terkemuka Malaysia, Lazada merekodkan peningkatan 300 peratus aliran penjual sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana Mac lalu.

Pengurus Universiti Lazada Malaysia, Hansini Thedchanamoorthy berkata penutupan banyak sektor ketika itu memberi kesan terhadap ekonomi dan menjadi faktor peningkatan berganda kemasukan penjual baharu.

“Ketika PKP dikuatkuasakan Lazada sudah kenal pasti masalah yang timbul dan kita ambil langkah menawarkan Pakej Kedai Pintar untuk menarik penjual baharu.

“Tindakan kami mendapat sambutan kerana ketika itu ramai terkesan termsuk dibuang kerja. Jadi kami sasarkan perniagaan secara dalam talian boleh berjalan dan membantu ramai pihak,” katanya ketika ditemui di program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 hari ini.

Pengurus Universiti Lazada Malaysia, Hansini Thedchanamoorthy. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Menurut Hansini, pihaknya turut menjangkakan kenaikan untung direkodkan penjual Lazada berikutan penerapan normal baharu susulan penularan pandemik Covid-19.

“Sekarang orang ramai memilih pembelian secara maya atas faktor keselamatan dan kesihatan. Harga dalam talian juga lebih murah kerana banyak potongan harga ditawarkan. Jadi ini membawa keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Hansini berkata penjual baharu yang menyertai Lazada melalui program anjuran Kerajaan Selangor hari ini mendapat lebih nilai tambah apabila dibekalkan informasi terkini dan lengkap.

Melalui program berkenaan, peserta akan didedahkan dunia e-dagang termasuk platform perniagaan, urus tadbir dan penghantaran barang.

Selain Lazada, program di bawah Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) memasuki tahun keenam itu turut mendapat kerjasama Shopee, Boost, Avana, Ninja Van, Bungkusit, Hijrah Selangor dan Youbeli.