PM ‘sorok’ kos belanja jet RM40.8 juta

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba menyembunyikan perbelanjaan jet RM40.8 juta daripada rakyat.

Categories
NASIONAL

Duit habis ratus juta tapi meriam tak boleh tembak, jet tak boleh terbang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Kerajaan Persekutuan disaran mengambil tindakan dalam Belanjawan 2016 yang dibentangkan nanti bagi mengelakkan aset pertahanan negara bernilai ratusan juta ringgit tersadai begitu sahaja.

Ahli Parlimen Lumut, Imran Abd Hamid (PKR), berkata sebelum ini banyak aset pertahanan negara tidak boleh berfungsi berikutan tidak diselenggara dengan baik.

imran abdul hamid forum mac 31 01“Kita tak mahu lagi duit habis tetapi meriam tak boleh dioperasikan atau dengan perkataan lain tak boleh tembak oleh kerana reka bentuk yang kita terima.

“Tahun lepas dah dirancangkan dan saya harap sistem baru dipasangkan di kapal yang dimaksudkan.

“Ini bukan saja berlaku di Tentera Laut tetapi begitu juga dengan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” kata beliau ketika ditemui Selangor Kini di lobi Parlimen di sini hari ini.

Jelasnya, semasa masih berkhidmat sebagai Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beliau sendiri pernah melihat meriam Howitzer 155mm milik Tentera Darat tidak boleh beroperasi dalam lawatan di sebuah kem artileri di Gemas.

“Kita sangat tak berpuas hati dengan perkara ini dan kita juga ada jet pejuang tetapi tidak dapat dioperasikan akibat kegagalan mengurus aset,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenapa kerajaan bayar lebih RM109 juta beli jet peribadi ACJ320?

Oleh: Rafizi Ramli

Sebelum ini, saya telah mendedahkan kos sebanyak RM465 juta yang akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan selama 15 tahun untuk membayar pembelian jet peribadi baru ACJ320.

Saya juga telah mendedahkan kos naiktaraf kabin sebanyak RM28 juta yang telah dimasukkan di dalam harga keseluruhan jet peribadi ini. Sehingga kini, tidak ada satu penafian pun dari Perdana Menteri mengenai maklumat kos ini.

newjet1Saya ingin menyatakan pada hari ini bahawa kos RM465 juta itu sebenarnya lebih tinggi dari harga sebenar yang sepatutnya ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan jika jet peribadi ACJ320 itu dibeli terus oleh Kerajaan Persekutuan tanpa melalui syarikat swasta.

Malangnya, Kerajaan Persekutuan telah menggunakan khidmat sebuah syarikat swasta iaitu Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd (“JPO”) untuk membeli jet peribadi ACJ320 yang kemudiannya dijual pula kepada Kerajaan Persekutuan.

Maklumat harga dan nilai pasaran jet peribadi ACJ320 ini boleh diperolehi dari perunding penerbangan antarabangsa iaitu Ascend Flight Global Consultancy.

Maklumat mengenai takrifan dan kaedah penilaian harga sesebuah jet atau helicopter boleh diperolehi di lamannya iaitu http://www.ascendworldwide.com/2014/03/the-ascend-approach-to-aircraft-valuation.html

Dalam siasatan oleh National Oversight & Whistleblowers (NOW) mengenai kes ini, NOW telah berjaya mendapatkan nilaian harga semasa jet peribadi ACJ320 ini seperti yang dipaparkan di laman Ascend Flight Global Consultancy seperti berikut (capaian kepada maklumat ini hanya terhad kepada syarikat atau individu yang melanggan khidmat Ascend):

flightgobal
Berdasarkan maklumat dari Ascend Flight Global Consultancy ini, nilaian harga ACJ320 oleh Ascend Flight Global Consultancy adalah seperti berikut:

1. Harga pasaran (“half life market value”) berdasarkan urusniaga terkini bagi jet sama model dan sama umur – USD70.4 juta atau RM246.4 juta (pada kadar tukaran RM3.50 kepada USD1)

2. Harga asas (“half life base value”) berdasarkan nilai ekonomi yang boleh dijana oleh jet sama model dan sama umur – USD62.86 juta atau RM220 juta

Ini bermakna harga sebenar jet peribadi ACJ320 ini adalah di antara RM220 juta hingga RM246 juta.

Melalui salinan perjalinan jual beli di antara JPO dan Air Luther AG, saya boleh mengesahkan bahawa JPO bersetuju membayar USD89 juta iaitu USD19 juta lebih mahal dari harga maksima mengikut nilaian semasa.

Dari harga USD89 juta itu, USD8 juta adalah bagi naiktaraf kabin seperti yang saya dedahkan semalam dan baki USD11 juta (bersamaan RM39 juta) adalah bayaran yang melebihi harga pasaran semasa.

Tidak cukup dengan pembayaran yang melebihi harga pasaran ini, JPO kemudiannya menjual pula jet peribadi ACJ320 ini pada harga sewa beli yang menyebabkan Kerajaan Malaysia terpaksa membayar lebih tinggi dari kos sekiranya ia membeli sendiri jet peribadi tanpa melalui JPO.

Dengan menggunakan harga ACJ320 pada USD89 juta seperti yang dijual oleh Air Luther AG, sekiranya Kerajaan Persekutuan membeli sendiri jet peribadi ini terus dari Air Luther AG, jumlah bayaran bagi tempoh 15 tahun pada kadar faedah 4% setahun (iaitu kadar pinjaman yang biasa dibuat oleh Kerajaan Persekutuan) adalah RM395 juta.

Jumlah ini adalah RM70 juta lebih murah dari jumlah perjanjian sewa beli di antara Kerajaan Persekutuan dan JPO.

Maka, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menjawab soalan-soalan ini:

1. Kenapa Kerajaan Persekutuan bersetuju membayar harga yang RM39 juta lebih mahal dari harga pasaran mengikut nilaian harga sebenar ACJ320?

2. Kenapa Kerajaan Persekutuan tidak membeli terus ACJ320 dari Air Luther sedangkan itu lebih murah? Tindakan membeli dari JPO menyebabkan Kerajaan Persekutuan membayar RM70 juta lebih mahal berbanding jika Kerajaan Persekutuan membeli terus dari Air Luther.

Keseluruhannya, bukan sahaja pembelian jet peribadi baru ACJ320 ini adalah membazir, ia juga dibuat pada kos yang jauh lebih tinggi dari harga nilaian maksima jet itu.

Berdasarkan perkiraan saya, Kerajaan Malaysia membayar RM109 juta lebih mahal dari harga sebenarnya (iaitu RM39 juta harga yang lebih mahal dari nilaian maksima harga pasaran dan RM70 juta melalui perjanjian sewa beli yang lebih mahal berbanding jika Kerajaan Persekutuan membeli terus).

* Rafizi Ramli adalah Ahli Parlimen Pandan dan Naib Presiden PKR

Categories
NASIONAL

Rafizi: Rosmah ke Indianapolis tinjau jet baru?

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak patut memberikan penjelasan sama ada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berada di Indianapolis, Amerika Syarikat meninjau sendiri kerja naiktaraf jet peribadi baru yang dibeli Kerajaan Malaysia.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, berkata persoalan itu timbul ekoran pesawat dimiliki kerajaan iaitu ACJ319 9M-NAA singgah di Indianapolis selama enam hari secara misteri pada 26 Disember 2014 dan pada masa sama Kerajaan Malaysia membeli jet peribadi baru, ACJ320 9H-AWK.

newjet1Katanya mengikut semakan perjalanan di laman www.flightradar24.com, jet peribadi 9M-NAA itu kekal berada di Indianapolis selama enam hari sebelum berlepas ke Los Angeles, New York, London, Dubai dan destinasi terakhir di Bangkok.

“Sehingga sekarang, pentadbiran Najib enggan memaklumkan siapakah sebenarnya yang berada di atas pesawat 9M-NAA itu sedangkan beliau berada di Malaysia menguruskan bencana banjir.

“Persoalan lebih besar yang menjadi misteri apakah istimewanya Indianapolis sehingga pesawat 9M-NAA itu singgah selama 6 hari di situ?” katanya dalam satu kenyataan.

Rafizi berkata berdasarkan siasatan dilakukan National Oversight & Whistleblowers (NOW) mengenai pembelian jet peribadi baru oleh pentadbiran Najib, ia sebelum ini dimiliki sebuah syarikat yang berpangkalan di Indianapolis.

Katanya perjanjian sewa beli jet peribadi baru itu ditandatangani pada 1 Disember 2014 dan pihak syarikat berkenaan mengumumkan bahawa ia telah selesai menaiktaraf jet peribadi kegunaan Ketua Negara Malaysia setelah kerja-kerja naiktaraf bermula dalam bulan Jun 2013.

“Berdasarkan maklumat ini, adalah tidak munasabah bahawa jet peribadi sedia ada ACJ319 9M-NAA singgah di Comlux, Indianapolis untuk kerja-kerja naiktaraf kabin kerana pesawat itu baru sahaja dinaiktaraf setahun sebelum itu.

“Makanya, persoalan yang berlegar ialah ada kemungkinan besar penumpang yang menaiki ACJ319 9M-NAA singgah di Indianapolis untuk meninjau sendiri kerja-kerja menaiktaraf jet peribadi baru yang dibeli Kerajaan Malaysia.

“Oleh kerana Najib sudah pulang ke Malaysia pada ketika itu, soalan seterusnya yang berlegar ialah siapakah sebenarnya VVIP yang singgah di pengkalan Comlux yang sedang menaiktaraf jet peribadi baru yang dibeli Kerajaan Malaysia?” katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Rafizi berkata keengganan Najib mengesahkan siapa VVIP yang menggunakan pesawat ACJ319 9M-NAA dan tujuannya singgah di Indianapolis selama enam hari hanya akan menguatkan spekulasi terbabit.

“Tanpa jawapan yang telus, perkara-perkara begini akan terus menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya lagi.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu jet baru: Jangan heret nama baik Agong, perincikan penggunaan semua jet

Oleh: Rafizi Ramli

Saya kesal kerana maklumbalas pertama dari Jabatan Perdana Menteri berhubung kontroversi pembelian jet peribadi (“private jet”) baru adalah dengan mengheret nama baik DYMM Yang DiPertuan Agong, kononnya pembelian ini perlu untuk kegunaan Yang DiPertuan Agong.

Tindakan ini tidak bertanggungjawab kerana rakyat dapat membezakan berapa kali Yang DiPertuan Agong terlibat di dalam lawatan-lawatan rasmi ke luar negara berbanding dengan Perdana Menteri sendiri.

newjet1Bagi tempoh 2008 hingga 2013 seperti jawapan Parlimen kepada soalan YB Nga Kor Ming, kerajaan terpaksa membayar kos RM44 juta bagi semua lawatan ke luar negara melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Itu kos operasi sahaja tidak termasuk kos pembelian dan sewa beli jet-jet peribadi kerajaan.

Oleh itu, jika benar jet peribadi baru ini diperlukan untuk kegunaan Yang DiPertuan Agong seperti yang didakwa Jabatan Perdana Menteri, saya mencabar Dato’ Seri Najib Tun Razak memperincikan setiap perjalanan jet-jet peribadi milik kerajaan dan siapakah yang menggunakan jet-jet peribadi ini termasuklah Boeing Business Jet (BBJ) dan Airbus Commercial Jetliner (ACJ319) yang sedia ada? Berapa kali sebulan jet-jet ini digunakan hingga jumlah jet yang sedia ada tidak mencukupi dan perlu ditambah lagi?

Alasan Jabatan Perdana Menteri bahawa pembelian ini perlu untuk menggantikan jet BBJ (Boeing Business Jet) yang telah lama juga tidak boleh diterimapakai.

Tempoh boleh guna sebuah jet Boeing komersil adalah di antara 20 hingga 25 tahun bila disenggara mengikut jadual seperti amalan industri penerbangan.

Jet BBJ yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia hanya berusia 16 tahun dan tidak pun digunakan sekerap jet komersil kerana hanya digunakan sekali-sekala untuk keperluan rasmi kerajaan.

Oleh yang demikian, alasan yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri tidak boleh diterima rakyat kerana masih belum menjawab di mana kewajaran membeli satu lagi jet peribadi untuk kegunaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri beliau.

Saya menasihati Perdana Menteri berterus terang sahaja dan tidak menggunakan pegawai-pegawai di Jabatan Perdana Menteri untuk mengelak dari menjawab isu ini.

* Rafizi Ramli adalah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan