Categories
SELANGOR

Jom Baca 10 Minit Selangor jadi ‘trend’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 JULAI: Inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan Program Jom Baca 10 minit kini menjadi pemangkin kepada negeri lain di seluruh negara.

Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Dr Halimah Ali, berkata program itu kini dilaksanakan di seluruh negeri, mencontohi Selangor yang melancarkannya sejak April lalu.

“Program yang dijalankan serentak di Selangor ini diterima baik di seluruh negara selepas kita menjadi pemula.

“Kejayaan ini didorong iltizam tinggi pihak PPAS dengan penyertaan 850,481 peserta hanya di Selangor sahaja dan untuk seluruh negara kita berjaya mengumpulkan lebih 4 juta peserta,” katanya pada Majlis Pelancaran Pesta Buku 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, malam tadi.

IMG_6755Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Exco Hal Ehwal Agama, Dato’ Yunus Hairi.

Pada masa sama, Halimah berkata, kejayaan program itu membuktikan produk PPAS berjaya diterima baik di peringkat nasional untuk memartabatkan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita akan terus mendahului dan menjadi pemula kepada perubahan menggalakkan amalan membaca di seluruh Malaysia,” katanya.

Program Jom Baca 10 Minit adalah gerak kerja PPAS menggalakkan amalan membaca kepada semua peringkat umur dengan sasaran penyertaan terdiri daripada kakitangan awam, swasta, pelajar sekolah dan pelajar universiti.

Ia hasil inspirasi Earth Hour yang dicetuskan PPAS bagi meraikan Hari Buku Sedunia pada 23 April setiap tahun.

-AA-