Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Budaya membaca lahir generasi berjaya

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 24 APR: Kira-kira 1,000 murid dari pelbagai sekolah seluruh negeri menyertai program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 minit’, di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), di sini, hari ini.

Pengarah PPAS, Mastura Muhammad berkata, program itu bertujuan membentuk masyarakat ke arah minat membaca walaupun dalam tempoh singkat.

Katanya, sebanyak 102 perpustakaan seluruh Selangor turut terbabit dalam aktiviti itu.

“Konsep Jom Baca Bersama ini adalah idea dari hari Earth Hour dengan masyarakat berhenti seketika membaca buku selama 10 minit.

“Tahun lalu sahaja seramai 835,000 orang terbabit dalam program ini,” katanya.

Majlis disempurnakan isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin.

Sementara itu, Shamshida berkata, program itu mampu memberi manfaat kepada semua golongan kerana ia bukan sahaja menggalakkan membaca tetapi turut menambah pengetahuan.

“Program galakan membaca 10 minit ini hanyalah pencetus atau pembakar semangat kepada anda untuk terus menyemarakkannya sebagai amalan harian dan meneruskannya secara konsisten.” katanya.

Program yang mula dilaksanakan, pada 2014 itu dijalankan serentak di seluruh negeri mengikut cadangan tarikh ditetapkan Majlis Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM).

Categories
SELANGOR

Jom Baca Bersama Untuk 10 minit pupuk budaya rajin membaca

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 APR: Usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan masyrakat diteruskan dengan penganjuran program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 minit’ di seluruh negara bermula jam 11 pagi, 25 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakru Radzi Ab Ghani, berkata penganjuran program berkenaan dilaksanakan sempena Sambutan Hari Membaca Sedunia yang diadakan setiap tahun.

POSTER FESBUK 2016CKatanya, kempen itu juga diadakan sebagai usaha pihak PREC mengembeling tenaga bagi mengajak orang awam mencintai amalan membaca.

“Aktiviti ini berjaya mengumpulkan 2.5 juta orang untuk berhenti sejenak dan duduk membaca bersama 10 minit pada tahun lalu. Tahun ini, kita mensasarkan penyertaan tiga juta orang,” katanya dalam kenyataan.

Kempen itu juga mendapat kerjasama pelbagai pihak antaranya Perpustakaan Negara Malaysia, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Malaysia dan Persatuan Pustakawan Malaysia.

Orang awam disarankan menyokong usaha tersebut bagi melahirkan Masyarakat Malaysia yang cintakan budaya membaca.

Laporan statistik Perpustakaan Negara sebelum ini mendedahkan, purata buku yang dibaca seorang rakyat Malaysia hanya dua hingga lapan buku setahun.

-NFN-